Soalan
Suami bergurau mengatakan perut isterinya sama seperti perut ibunya. Di mana hendak maksudkan buncit seperti ibunya yang sudah tua. Kadang-kadang suami juga sering bergurau mengatakan perut isterinya sama besar seperti perut suaminya. Adakah situasi di mana suami mengatakan perut isterinya sama seperti perut ibunya dianggap lafaz zihar juga.
Isteri cuba mendapatkan penjelasan yang jelas apakah yang dimaksudkan sama seperti ibunya, lalu suami menjelaskan buncit seperti ibunya yang sudah tua atau makna kata lain suami ingin mengatakan isterinya sudah buncit seperti orang tua tetapi mengambil contoh orang terdekat seperti ibunya. Sedangkan isterinya mengetahui akan zihar tetapi suaminya tidak tahu akan zihar. Setelah isterinya menceritakan maksudnya, suami tidak lagi bergurau. Akan tetapi, isteri keliru akan lafaznya yang lalu. Minta tolong perjelaskan.
Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam keatas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan keatas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Definisi Zihar
Zihar dari segi bahasa adalah az-Zohr (belakang) kerana gambaran zihar yang asal adalah bilamana seorang lelaki berkata kepada isterinya: “Engkau ke atasku ibarat az-Zohr ummi (belakang ibuku).
Pada zaman Jahiliyyah zihar digunakan oleh suami yang membenci isterinya tetapi enggan menceraikannya lalu dia melakukan zihar. Mereka menganggap status Perempuan yang telah dizaharkan itu sudah tak bersuami lagi tapi masih tidak boleh berkahwin dengan suami yang baru (bukan bersuami dan bukan juga bujang).
Manakala dari sudut syarak bermaksud: “Suami menyamakan isterinya yang bukan dalam talak bain dengan seseorang wanita yang haram berkahwin selama lamanya dengannya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 3 hlm. 352)
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, zihar ialah perbuatan suami melafazkan kata-kata yang menyamakan salah satu anggota isterinya dengan ibunya atau mahramnya sehingga haram suami tersebut menyetubuhi isterinya dalam keadaan demikian, si suami wajib membayar kifarat zihar. Ia juga memberi maksud; perkataan suami menyamakan isteri dengan anggota belakang ibunya bagi menggambarkan seolah-olah isterinya haram disetubuhi seperti mana haramnya ia menyetubuhi ibu kandungnya sendiri atau mahramnya yang lain.
Rukun rukun Zihar
Zihar mempuyai empat rukun iaitu;
Pertama: Muzahir iaitu suami.
Kedua: Muzahar Minha iaitu isteri
Ketiga: Sighah iaitu lafaz zihar
Keempat: Mushabbah bihi seperti ibu kandung.
Hukum Melakukan Zihar
Berkenaan hukum melakukan zihar, Allah SWT berfirman:
الَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنكُم مِّن نِّسَائِهِم مَّا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ ۖ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلَّا اللَّائِي وَلَدْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنكَرًا مِّنَ الْقَوْلِ وَزُورًا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ
Maksudnya: Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka daripada kalangan kamu bahawanya mereka itu (para isteri) diserupakan sebagai ibu-ibu mereka (dari sudut keharaman). Sesungguhnya ibu-ibu mereka itu tidaklah melainkan yang mengandungkan mereka. Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.
(Surah al-Mujadalah: 2)
Merujuk kepada ayat di atas, zihar disifatkan sebagai ucapan yang mungkar lagi dusta. Keduanya itu merupakan suatu bentuk keharaman yang menjadikan zihar dalam maksudnya yang sebenar hukumnya adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: “Sesungguhnya telah diistidlalkan (dijadikan dalil untuk mengeluarkan hukum) firman Allah SWT:
وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنكَرًا مِّنَ الْقَوْلِ وَزُورًا ۚ
Maksudnya: “Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta, bahawa zihar adalah haram.”
(Surah al-Mujadalah: 2)
(Lihat Fath al Bari Syarh Sahih al-Bukhari, jld. 10 hlm. 542)
Manakala Syeikh Syamsuddin Ibnu Syihab ad-Din ar-Ramli menyebut: “Ia (zihar) haram, bahkan (termasuk) dosa besar, kerana menukar hukum Allah SWT dan menggantikannya (iaitu mengubah status isteri yang halal dinikahi dan disetubuhi kepada status haram melakukannya sepertimana haram mengahwini ibu). Ini perkara yang lebih bahaya daripada kebanyakan dosa-dosa besar kerana melibatkan isu kekufuran, jikalau tidak kerana (pelaku zihar) tidak beriktikad (untuk mengubah hukum Allah SWT, sudah tentu dikira kufur), dan (perlakuan zihar ini) menyerupai perbuatan kufur dan perkara lain, kerana itu Allah SWT mengatakannya sebagai sesuatu yang mungkar dan dusta.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, jld. 7 hlm. 82)
Implikasi Zihar
Imam al-Nawawi menerangkan mengenai dua hukum yang terkait (implikasi) daripada zihar:
Pertama: Haram menyetubuhi isterinya sehingga si suami itu membayar kaffarah zihar.
Kedua: Wajib membayar kaffarah sekiranya si suami itu melakukan al-‘aud pengertian Al-‘Aud ialah perbuatan (si suami) mengekalkan pernikahan dengan isteri yang dizihar pada tempoh yang memungkinkan beliau menceraikan isterinya itu tetapi beliau tidak melakukannya. (Lihat: Raudhah at-Tholibin, jld. 6, hlm. 244-245, Mughni al Muhtaj, jld. 3 hlm.357)
Manakala kaffarah zihar adalah seperti berikut:
Pertama: Bebaskan seorang hamba yang Islam. Sekiranya tiada; maka
Kedua: perlu berpuasa dua bulan secara berturutan. Sekiranya tidak mampu berpuasa atas sebab sakit yang berlarutan atau terlalu tua; maka
Ketiga: perlu beri makan kepada 60 orang fakir miskin. Setiap seorang satu cupak makanan.
Mesyuarat jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah memutuskan bahawa nilaian kaffarah satu cupak makanan bagi Negeri Pulau Pinang adalah sebanyak RM 10.00. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُوا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا ۚ ذَٰلِكُمْ تُوعَظُونَ بِهِ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka, kemudian ingin menarik semula apa yang telah mereka katakan maka (kaffarah ke atas mereka) dengan memerdekakan seorang hamba sebelum keduanya (suami isteri) itu bercampur. Dan sesiapa yang tidak mendapatinya hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut, sebelum mereka berdua bersama. Sesiapa yang tidak mampu (untuk berpuasa dalam tempoh itu) hendaklah dia memberi makan kepada 60 orang miskin. Yang demikian itu supaya kamu beriman kepada Allah dan juga RasulNya. Dan itulah hudud (batasan) Allah. Dan buat orang kafir itu azab yang pedih.
[Surah al-Mujadalah: 3-4]
Kesimpulan
Para Ulama Mazhab Syafei membincangkan perkataan suami; “perut awak seperti perut ibu saya”, dan ungkapan tersebut dihukumkan sebagai zihar jika dia berkata; “Awak adalah haram keatas saya seperti haramya perut ibuku”. Ini kerana perkataan tersebut secara jelas bertujuan mengharamkan isterinya ke atas dirinya sendiri.
Namun sekiranya perkataan itu adalah untuk memuji kecantikan isteri atau tujuan hanya untuk bergurau seperti apa yang terjadi kepada puan yang bertanya atau tanpa ada apa-apa tujuan, maka perkataan itu tidaklah termasuk dalam kes zihar yang diharamkan syarak.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Wallahu’aklam.
Sumber: Mufti Pulau Pinang
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI