Solat Jamak Untuk Golongan Yang Sakit, “Harus” Dalam Keadaan Sakit Teruk Saja

Share

Solat jamak adalah menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, iaitu menghimpunkan solat Zohor dengan Asar, atau Maghrib dengan Isyak dalam satu waktu yang sama, sama ada dalam waktu yang pertama atau yang kedua.

Umum mengetahui ia adalah untuk kemudahan bagi golongan musafir, namun adakah solat jamak ini dibolehkan untuk orang yang sakit?

Menjelaskan tentang persoalan ini kata Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil terdapat beberapa pandangan tentang solat jamak untuk orang yang sakit.

Pandangan mazhab Syafi’i

Pandangan mazhab Syafi’i bahawa sakit bukan keuzuran yang membenarkan seseorang untuk menjamakkan dua solat.

Oleh yang demikian, orang yang sakit walaupun tenat sekalipun tidak boleh menjamakkan antara dua solat menurut pendapat yang muktamad.

Namun menurut pendapat kedua Imam Syafi’i (menurut kenyataan al-Azra’i dan al-Isnawi) dan pandangan peribadi Imam Nawawi mengharuskan orang yang sakit menjamakkan dua solat sama ada takhir atau takdim. Perkara ini dinyatakan oleh Sheikh Shato al-Bakri di dalam karyanya, Iʿānat al-Ṭālibīn:

ولا يجوز الجمع بنحو وحل ومرض على المشهور في المذهب، لكن المختار من حيث كأن كان يحم مثلا وقت الثانية قدمها بشروط جمع التقديم، أو وقت الاولى أخرها بنية الجمع في وقت الاولى.

Maksudnya: “Tidak boleh (haram) menjamakkan solat disebabkan lumpur (di jalanan disebabkan hujan) dan sakit menurut pendapat yang masyhur(rajih) menurut mazhab Syafi’i.

Tetapi pendapat yang terpilih (di sisi al-Nawawi) seperti mana seseorang yang demam panas (kuat) misalnya (dijangka berlarutan dan bertambah) pada waktu yang kedua, lalu melakukan jamak takdim dengan syarat-syarat jamak takdim, atau sakit itu bermula pada waktu solat yang pertama lalu ditakhirkan dengan niat jamak pada waktu solat yang pertama.”

Harus solat jamak bagi golongan yang sakit

Walau bagaimanapun, majoriti ulama mutakhir Syafi’iyyah menyokong pandangan Imam al-Nawawi dan qaul kedua Imam Syafi’i yang mengharuskan jamak solat bagi orang yang sakit kerana kekuatan dalilnya.

Ia dinyatakan sendiri oleh Sheikh Zainuddin al-Malibari di dalam karyanya, Fatḥ al-Muʿīn:

يجوز الجمع بالمرض تقديما وتأخيرا على المختار

Maksudnya: “Harus menjamakkan solat secara takdim dan takhir disebabkan sakit menurut pandangan yang dipilih (oleh Imam al-Nawawi).”

Ulama mutakhir mazhab Syafi’I telah menetapkan piawaian sakit yang membenarkan si pesakit menjamakkan dua solat sepertimana yang dijelaskan di dalam kitab Iʿānat al-Ṭālibīn:

وضبط جمع متأخرون المرض هنا بأنه ما يشق معه فعل كل فرض في وقته، كمشقة المشي في المطر، بحيث تبتل ثيابه .وقال آخرون: لا بد من مشقة ظاهرة زيادة على ذلك، بحيث تبيح الجلوس في الفرض.

Maksudkan:

“Sejumlah ulama mutakhir (mazhab Syafi’i) menetapkan piawaian sakit di sini ialah sakit yang menyukarkan pesakit untuk melaksanakan setiap solat fardu pada waktunya seperti kesukaran berjalan ketika hujan yang membasahkan pakaiannya.

Menurut sebahagian ulama yang lain, kepayahan itu mestilah terzahir dengan jelas yang lebih dari kadar itu, iaitu sakit yang mengharuskan solat fardu dalam keadaan duduk.”

Kesimpulan

i. Menurut pandangan Imam al-Nawawi dan ulama mutakhir mazhab Syafi’i, Orang yang ditimpa sakit harus menjamakkan antara dua solat sama ada jamak takdim atau takhir. Oleh yang demikian, masyarakat awam boleh beramal dengan pandangan ini.

ii. Sakit yang mengharuskan solat mestilah sakit yang kuat atau teruk sehingga pesakit itu sukar untuk mendirikan solat pada setiap waktu akibat sakit tenat yang dialaminya, seperti sakit yang susah untuk berwuduk dengan sendiri, sakit yang tidak boleh bangun dan sakit ketika hendak bersalin.

iii. Manakala sakit ringan seperti pening kepala dan demam ringan tidak dibenarkan solat jamak sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Shato al-Bakri di dalam Iʿānat al-Ṭālibīn.

iv. Solat jamak dalam perbahasan ini hanya melibatkan jamak sahaja, iaitu tidak diharuskan mengqasarkan solat dalam keadaan sakit. Melainkan si pesakit berada dalam keadaan musafir.

 

Sumber: Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil @Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Artikel Berkaitan: Boleh Ke Jamak Solat Ketika Banjir? Bencana Itu Ujian Tapi Solat Tetap Wajib Ditunaikan

 

Published by
Team Kashoorga