Tidak dinafikan aura penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza memang sangat kuat. Dengan pengikut berjumlah hampir 7 juta di laman Instagram, pastilah apa saja yang dibuat menjadi ikutan atau insipirasi kepada orang lain.
Seperti yang berlaku melalui sebuah lagu yang dinyanyikan Siti di laman YouTube Siti Official Video apabila seorang peminat mengakui telah memeluk Islam selepas mendengar nyanyian Siti menerusi lagu ‘Aisyah Istri Rasulullah’.
Perkara ini telah dikongsi di ruangan komen saluran You Tube berkenaan. Menurut peminatnya itu yang memang sangat meminati Siti dan sejak mendengar lagu berkenaan, dia telah memeluk agama Islam.
Malah turut bertanya kepada ustaz adakah disebakan lagu ini punca dia memeluk Islam.
“Ustaz berkata, lagu nyanyian CTDK ini adalah ‘asbab’ saya memeluk Islam. Allah salurkan hidayah pada saya melalui indah pada maksud lagu ini dengan nyanyian CTDK. Semoga saya terus kuat mencintai sosok nama yang dimaksudkan dalam lagu ini. Terima kasih CTDK,” katanya.
Mengulas mengenai perkara itu, Siti berkata, dia berdoa semoga peminatnya itu akan terus istiqomah.
“Saya dapat tahu hal ini kerana ditulis di ruangan komen video lagu Aisyah Isteri Rasulullah yang saya nyanyikan semula. Bagi saya, Allah sudah memberikan dia hidayah dan lirik lagu itu mempunyai kebaikan dan keistimewaan yang menggerakkan hatinya. Semuanya Allah yang mengatur.
“Apa saja kebaikan yang berlaku, saya sangat bersyukur kerana ada perkara yang kita lakukan memberi dorongan kebaikan kepada orang lain. Doa saya supaya dia akan istiqamah kerana menjadi insan terpilih mendapatkan hidayah Allah,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu Siti juga sebagai penyanyi akan berusaha untuk menerapkan nilai yang baik dalam setiap lagu nyanyiannya.
“Secara jujur, sebagai penyanyi, saya juga berusaha menerapkan nilai-nilai baik dan positif di dalam lagu-lagu saya.
“Inilah yang saya usahakan kerana saya tahu, siapa pun kita, masing-masing ada peranan untuk mendorong orang lain menjadi insan yang lebih baik, bersemangat, tidak mudah putus asa serta bangkit,” katanya.
Video yang dimuat naik di saluran berkenaan sejak 10 April lalu telah mendapat tontonan lebih sejuta.
Lagu asal Aisyah nyanyian Projector Band itu dinyanyikan semula dalam versi lirik Islamik hasil sentuhan Ustaz Hasbi Muh Ali pada 2017 menggunakan tajuk Aisyah RA.
SUMBER: YOU TUBE & INSTAGRAM CTDK