Hati siapa yang tidak bimbang jika anak yang masih kecil diuji oleh Tuhan dengan dugaan yang tak dapat kita bayangkan. Terasa mahu saja diri menggantikan tempat anak kecil ini kerana tidak tahan melihat derita ditanggung.
Begitu juga dengan kisah anak pelawak dan peserta Maharaja Lawak Mega 2019, Ali Puteh yang dikatakan masih dalam keadaan kritikal selepas 12 jam mengharungi pembedahan jantung.
Bayi kecil yang dinamakan Sharifah Nur Ainul Mardhiah mengalami masalah komplikasi lain di bahagian paru-paru (selepas pembedahan) dan kini masih lagi menggunakan alat bantuan pernafasan kerana mengalami masalah paru-paru.
Menulis dalam posting terbaru, Ali berkata sudah empat hari anaknya berada di bawah jagaan rapi ICU di Hospital Serdang.
Anaknya kini 100 peratus bergantung pada bantuan oksigen. Ali juga mengharapkan ada sinar dan keajaiban dari Allah dan turut berterima kasih pada semua yang mendoakan kesembuhan anak kecilnya itu.
Salam semua…hari ke 4 dah…anak sy ainul mardhiah masih lagi dibawah jagaan rapi picu hospital serdang..terus kuat dan kuat ank walid dan ibu…semua org mendoakan kamu syg..semua org rindu kan kamu…buat masa sekarang keadaan anak sy masih 100 peratus bergantung pada bantuan oksigen…semoga ada sinar dan keajaiban dari allah buat kamu syg…terima kasih semua yg tak putus2 berdoa dan terus berdoa buat anak sy SHARIFAH NUR AINUL MARDHIAH
Dia yang kelihatan sangat tenang ketika membuat persembahahan di pentas MLM, namun sebenarnya berdepan dugaan sangat berat.
Anak keduanya yang dilahirkan secara normal pada Ogos lalu disahkan mengalami masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang.
Dalam ruangan komen, netizen turut menitipkan kata-kata semangat buat Ali Puteh dan juga berharap agar segala urusannya dipermudahkan.
hidayuzainon Semoga ainul cepat sembuh..in sya Allah semuanya baik2
lovebabyschahoney Semoga bby ainul cpt sembuh..dipermudahkan segala urusan.
yraqaleesya Gws ainul mardhiah sayang.. Semoga Allah swt permudahkan semua urusan Ainul n family.. keep strong walid n umi Ainul..
ezatyzul In Shaa Allah ada sinar buat baby Ainul.. Semoga di permudahkan segala urusan dan cepat sembuh serta sihat hendakNya.. Aamiinn..
KASHOORGA: Mari kita doakan kesembuhan anak Ali Puteh. Hanya doa boleh kita dipanjatkan kepadaNya agar Allah memberi kesembuhan pada si comel ini. Semoga Ali dan keluarga tabah menghadapi dugaan kecil ini.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM ALI PUTEH
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Adakah BMF Gagal? Kempen Ini Berkaitan Ujian Keimanan, Bukan Material – Coach Fadzil
Kempen Buy Muslim First pernah tular beberapa tahun lalu dan ketika itu dilihat semangatnya begitu kuat di kalangan orang islam. Namun selepas beberapa tahun, ia dilihat semakin “luntur”.
Pengusaha Malakat Mall, Fadzil Hashim yang terletak di Cyber Jaya berkongsi mengenai kempen ini bagi menjawab persoalan adalah BMF gagal dan sebaliknya?
Saya terbaca beberapa posting di media sosial yang memberi komen, nasihat dan secara tak langsung bercakap mengenai kempen Buy Muslim First. Adakah BMF gagal? Adakah Malakat Mall yang diterajui oleh saya dan rakan-rakan menggunakan kempen BMF ini untuk mendapat sokongan?
NGO YANG PERJUANGKAN BMF, BUKAN PARTI POLITIK
Pertama, sebelum kita menerima sesuatu keputusan itu, kita kena tengok bagaimana kita menilai kejayaan. BMF digerakkan oleh pelbagai NGO yang di antaranya Toqqi; PPIM, Ustaz Masridzi; Perkid dan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam serta NGO-NGO Islam.
Untuk apa BMF ini? Apa manfaat kepada mereka kalau BMF ini super berjaya? Siapakah pejuang-pejuang BMF ini dan apa kepentingan mereka? BMF ini bukan dimulakan oleh kerajaan. Kerajaan sampai tak suka pun BMF ini.
Saya memang setuju dengan perjuangan BMF, bukan kerana kepentingan. Konsep yang dibawa oleh BMF ini adalah value-action kepada ujian keimanan. Ia bukan ujian material. Sesiapa yang mempunyai satu perasaan kecintaan sesama saudara seIslamnya, maka BMF ini hanya perlu dimaklumkan dan mereka akan ikut sama.
USAH BERTINDAK BERPANDUKAN AKAL SAHAJA
Tapi bagi mereka yang rasa pelik bila orang Islam sokong orang Islam, maka mungkin tuan-puan kena check balik dengan guru-guru tuan puan. Sebab kebanyakan daripada kita hanya ikut fikiran dan hati sendiri.
Hati yang sempurna pun kena ikut panduan dari guru yang mursyid juga. Sebab agama yang disampaikan oleh mereka yang mewarisi Nabi saw adalah para ulama. Ulama pula adalah guru mursyid. Kalau tiada guru mursyid, maka payahlah.
Hati kita bukan berpandukan wahyu. Kita hanya ikut logik akal. Jadi kita berbalik semula kepada ‘laqad kaana lakum fii rasuulillaahi uswatun hasanah (Sungguh, telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu ~ Al-Ahzab: 21).
Kalau kita hendak buat apa-apa, kita kena fikir dahulu. Selepas fikir, kita kena semak kembali apa yang Nabi saw tunjukkan. Dua rujukan yang Rasulullah saw katakan, iaitu jika kita berpegang kepada sunnah dan al-Quran, maka kita akan selamat di dunia dan akhirat.
BMF SEIRING DENGAN TINDAKAN NABI SAW
Berbalik kepada kempen BMF yang dikatakan gagal. Kita kena tengok kembali sama ada BMF ini bersifat Islamik atau sebaliknya? Apakah ini yang disarankan oleh Baginda SAW atau tidak. Kalau Nabi SAW tak buat, atau ia bertentangan dengan apa yang Nabi tunjukkan kepada kita maka ia bukan sahaja tak wajar malah tak boleh diikut pun.
Dan tak bolehlah kita katakan Nabi saw tak sokong kempen BMF kerana Nabi saw tiada hendak mengesahkan. Kita ada ramai ulama yang kita boleh rujuk. Ada banyak tulisan-tulisan dan ceramah-ceramah ulama. Di antaranya ialah dari Ustaz Haslin Bollywood yang menyampaikan bagaimana Nabi membina pasar Islam yang pertama.
Nabi membuat pasar dan meminta para sahabat untuk menginfaq harta mereka. Sebab itu kalau kita hendak ikut cara Nabi saw, kita kena ambil dana daripada masyarakat. Kalau kita buat sendirian ia tak sepenuhnya ikut cara yang Nabi saw lakukan.
Bila pasar itu dimiliki bersama, maka tanggungjawab untuk memajukan pasar itu adalah tanggungjawab orang yang menginfaq harta. Jadi, kalau kita dah infaq harta kita di pasar itu, kita datanglah ke situ.
Pasar Islam pertama yang terbina telah dirosakkan oleh Yahudi. Mereka potong tali khemah. Maka para sahabat bertemu Rasulullah dan mengadu. Masa itu Nabi SAW tak memerintah untuk memerangi.
Sebaliknya Baginda menyarankan pasar itu dibina kembali malah diperbesarkan lagi. Golongan Ansar dan Muhajirin bersatu membina semula pasar itu dan ia dibuka kembali. Hanya dalam masa enam bulan sahaja dibuka semula, pasar Yahudi pula ditutup kerana orang Islam berpindah belanja di pasar Islam.
DI MANA KITA BERBELANJA?
Tetapi kita sendiri rasa iman kita dah okey. Bila kita diuji sebagai pengguna, cuba tanya diri, di mana kita membeli barang keperluan?
Saya bukannya mahu mengkhususkan kepada Malakat Mall. Tetapi ingin bertanya pembelian barangan kita dengan orang Islam yang hendak membantu orang Islam, bukan semata-mata kerana dia Islam.
Ada beza kita membeli barangan dari orang Islam hingga dia menjadi kaya. Atas niat apa kita membeli daripadanya? Apakah kerana dia Islam sahaja? Tapi kalau kita tengok mereka yang mengamalkan cara Islamik seperti syarikat Global Ikhwan, kita tertanya bagaimana kumpulan itu kuat?
Kerana ada pelanggannya yang datang dari Shah Alam untuk membeli di Global Ikhwan, Rawang. Mengapa dia membeli di tempat yang jauh? Kerana iman. Kerana cinta.
Logiknya memang kita hendak yang paling murah. Orang yang cari barang yang paling murah. Kita sedang berusaha untuk buat program Duta Malakat. Dalam ekonomi yang betul bila semua murah ialah gaji yang murah, segala-galanya murah. Maka ekonomi tidak dapat dibina dengan baik. Tapi tak mengapa. Kita faham yang ini diminta oleh masyarakat.
BILA ORANG TIDAK BERIMAN URUS MAKANAN KITA…
Berbalik kepada cerita BMF, adakah ia gagal? Kempen yang dijalankan oleh NGO ini, bukan hari-hari mereka bercakap mengenai BMF. Banyak lagi isu-isu lain seperti penindasan, isu kambing yang tidak disembelih menurut syarat Islam yang mereka suarakan.
Cuma, bila urusan makanan umat diserahkan kepada mereka yang tidak beriman, inilah yang jadi. Kita okey tak kalau ayam kita diuruskan oleh orang yang tidak beriman? Bila tiada iman, walaupun dia baik, dia tidak menjaga aspek-aspek keimanan. Inilah problem kita.
Kalau dikatakan BMF ini gagal, ia adalah kerana kita yang mengagalkan. Kita rasa yang BMF ini tak patut kerana tinggal dalam masyarakat majmuk yang mana kita kena jaga hati orang lain.
Saya setuju dari aspek yang kita tak boleh mengguris hati orang tanpa sebab. Tapi kita boleh beri cadangan kepada mereka. Contohnya, andainya mereka hendak menjual makanan halal, ia dibolehkan tetapi perlu mempunyai rakan niaga yang boleh betul-betul menjaga aspek keimanan.
Baharulah dia layak dan dikatakan betul-betul ikhlas hendak menjaga makanan halal. Tapi kalau sekadar mendapat kelulusan kertas sahaja, maka kita ada kekuatiran bahawa makanan itu tidak halal atau tidak sempurna dijaga halalnya.
Bila dikatakan BMF itu gagal, apabila pasar Yahudi ditutup, apa maksudnya? Maksudnya sudah ada versi kempen Buy Muslim First ketika itu. Kalau nak berniaga di pasar Islam, mesti betulkan iman dahulu. Tapi kalau pasar itu bukan pasar orang beriman, maka ini yang terjadi pada hari ini.
KITA MASIH BELUM BERJAYA
Gagal ialah apabila kita masuk neraka. Di dunia ini tiada kegagalan lagi melainkan gagal mengamalkan agama dengan sempurna. Pada hari ini apakah kita telah berjaya amalkan agama yang sempurna?
Pada saya kita masih belum berjaya lagi mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Islam bukannya agama teori atau Islam ketika hendak bersembahyang atau berpuasa. Sebaliknya urusan muamalat kita mestilah menurut cara Islam.
Walaupun pasar ini adalah tempat yang tidak disukai ALLAH sebab terdapat penipuan dan kelalaian di situ, tetapi Nabi saw sendiri memerintah pasar ditubuhkan. Jadi BMF dilihat oleh mereka yang kurang kefahaman bahawa BMF ini adalah sesuatu yang tidak Islamik.
Nabi saw bersabda, ‘Tidak sempurna iman seseorang jika dia tidak mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai diri sendiri.’ Tapi kalau kempen BMF ini dilihat seperti tenggelam timbul, kitalah kena baiki iman kita dengan fikir dan faham.
KEKUATAN KITA BERGANTUNG PADA KEKUATAN UMAT
Asasnya ialah akidah yang sempurna yang akan melahirkan ketaatan kita kepada ibadah. Buat yang disuruh, tinggal yang dilarang. Maka ibadah yang sempurna akan melahirkan akhlak yang sempurna. Akhlak yang sempurna pula akan melahirkan satu kekuatan untuk kita bermuasyarah.
‘Ku anfusakum wa ahlikum naro.’ Jagalah diri dan keluargamu dari api neraka. Tapi kalau nak jaga diri dan keluarga, kita kena jaga masyarakat. Kita kena jaga komuniti dahulu. Sebab, kalau komuniti tak kuat, anak kita yang kononnya kuat akan hancur juga.
Selepas itu kita bermualat menurut Islam. Tidak boleh tidak berasa apa bila membeli di mana-mana asalkan kita bersembahyang. Ia bukan begitu, sebab Islam itu cara hidup. Dengan cara itu baharulah terbinanya negara yang berasaskan kepada cinta pada ALLAH, pada Nabi, ikut perintah ALLAH, menurut cara Nabi saw.
Ini yang kita nak buat. Kalau BMF gagal, dari satusegi orang akan nampak ia gagal kerana tak dapat lahirkan pasaraya sehebat orang lain. Tapi jangan lupa. Bila kita hendak hebat, jangan jadi hebat seperti kafir Quraisy.
Kita hendak jadi seperti tentera Badar. Nampak tak ramai tetapi dia boleh menang. Malakat Mall sendiri telah ALLAH berikan kejayaan awal. Walaupun ada set-back. ALLAH hendak menguji kita apakah kita memperbaiki usaha, kesilapan, menerima teguran, memperbetul dan memperkemas.
Jangan pula kita putus asa. Malakat ini bukan saya yang punya. Saya cuma peneraju buat masa ini. Saya nak mengajak semua orang agar bersama dengan kami samada menjadi anggota pengurusan, penasihat atau apa sahaja.
USAHA UNTUK ANAK CUCU KITA
Sebab inilah pasar yang kita hendak bina bersama. Untuk siapa? Untuk semua. Untuk anak kita mungkin okey. Tapi untuk cucu kita… kalau kita tak bina sekarang, hingga 40 tahun akan datang kita masih tak selesai dengan masalah makanan halal, tak halal.
Anak-anak kita kalau kerja di pasaraya lain, mereka tak solat. Nak amal agama pun payah. Majoriti tak dapat sembahyang Jumaat. Dan banyak kata-kata yang orang Melayu malas, sebab itu perlu import pekerja dari luar negara. Kita ambil dari Myanmar. Kita tak salahkan mereka
.
Tapi di Malakat, kita boleh ambil 100 % orang Islam? Kita boleh gajikan bukan Islam tiada masalah. Tapi kenapa kita boleh ambil pekerja Islam di Grocer dan F & B. Dah dekat tiga tahun dah.
Kesemuanya lebih 1,000 orang kakitangan. Ramai yang berhenti dan ramai yang masih ada. Ada yang sertai kami semula.
Maksudnya, orang kita juga boleh. Tapi oleh kerana ramai para peniaga kita ambil mudah dengan mengawal orang yang tak bebas bergerak di negara ini kerana pasport, visa dan sebagainya.
MALAKAT ADALAH KEPUNYAAN KITA
Belajarlah agar tidak menghukum tetapi bagaimana kita boleh bantu. Sesiapa boleh menegur pada staf kami jika dia tampak tidak friendly. Boleh nyatakan kepadanya ‘sebagai staf di Malakat yang bawa perjuangan agama, menjadi ‘wakil’ kepada Nabi, maka kenalah senyum.’
Kalau tak boleh tegur secara langsung, boleh Whatsapp, PM dan sebagainya. Jangan kita menilai sebagai seorang hakim. Kita hendaklah fikirkan bagaimana aku boleh menjadi asbab seseorang itu taat kepada ALLAH mengikut cara Nabi. Ini yang matlamat hidup kita.
Jika kita berbuat begitu, walaupun kita ke pasar, rupa-rupanya ada peluang untuk kita dapat pahala. Sebab itu kalau ke pasar kerana ALLAH, yang sedikit jauh dan kalau mahal pun, kita datang berbelanja.
HARGA KAMI MASIH BERPATUTAN
Saya pula akan berusaha. Jika harga mahal, tolong beritahu. Kami akan check. Sepatutnya ia tak mahal. Kalau termahal, sangat-sangat sedikit. Kalau ikan misalnya, ia adalah kerana mereka bekalkan ikan sejuk beku. Kami bekalkan ikan segar.
Mereka bekalkan ayam sejuk beku. Kami bekalkan ayam yang disembelih pada hari yang sama. Sebab itu harganya berbeza. Tapi kalau barangan utama seperti beras, minyak tidak ada beza.
BMF BUKAN UNTUK MEMBENCI ORANG LAIN
Sekali lagi bagi mereka yang berasakan BMF gagal, saya kata BMF belum berjaya sepenuhnya dan kita minta kawan-kawan yang memperjuangkan BMF mengambil fakta sahaja. Tidak perlu bawa imej bahawa pejuang BMF ini membenci orang yang tidak beriman.
Kita sayang semua sebab kita umat Nabi saw. Baginda sendiri bila tengok orang Yahudi meninggal dunia pun Baginda sedih. Kita pun hendaklah jadi begitu. Bagaimana nak bawa mereka dengan memberi tarbiah, ‘Encik dah berniaga dengan orang Islam. Apa kata kalau encik belajar sedikit tentang Islam?’
Kita beri mereka faham dan dapat nikmat rasa. Kita kena banyak merasa. Bagaimana kita memiliki sedangkan kita dimiliki. Memang hal ini memang payah hendak dihayati. Memanglah akhir zaman ini ia sukar.
Saya teringat kata-kata Ustaz Masridzi (Pengasas Perkid), bahawa kita kena paksa cinta, paksa usaha.
KITA DAN AIR MINERAL
Saya kalau melihat barang, contohnya mineral water. Bila saya nampak di rumah orang Islam jenama yang tak sepatutnya, saya rasa tak selesa. Tetapi insya-ALLAH, kami sendiri akan keluarkan jenama Malakat.
Kita bukannya hendak buat tetapi orang lain tak mahu buat. Bila kita hendak mineral botol kecil pun tak ada.
Hendak bekalan yang tetap pun payah. Insya-ALLAH kita akan kilangkan dari orang kita juga.
PERLU ADA SEMANGAT BERJEMAAH
Kalau pada hujung minggu, kita perlu hanya setengah jam untuk ke mari. Di kawasan Lembah Kelang ini, jaraknya hanyalah antara 30-45 minit. Bukannya jauh sangat. Madinah yang jauh pun kita pergi kerana cinta.
Nabi saw bukan menyarankan kita jaga agama dalam konteks solat sahaja, malah kesemuanya. Sebab itu kita perlu ada kekuatan. Kekuatannya datang dari tuan-tuan. Jomlah duduk dalam jemaah.
Kalau pun ada jemaah, janganlah hanya duduk dalam jemaah masing-masing. Seharusnya disatukan. Di mana? Di antara tempatnya ialah di pasarlah. Tetapi, kita kena bina bekalan makanan kita sendiri, sekurang-kurangnya makanan asas.
Jika terjadinya malhamah atau perang besar, kita hendak ke mana? Kalaupun kita ada emas yang fizikal pun, ia tak boleh menyelamatkan. Tapi simpan emas lebih baik daripada menyimpan ringgit.
Malaysia mengimport 50 bilion bahan makanan. Kita kena bina ladang komuniti yang boleh menampung seluruh ekosistem pertanian untuk ternakan dan pertanian. Kami dah mulakan pun. Di Malakat ini kami buat perlbagai benda. Bukan untuk kami tetapi untuk semua.
BMF TIDAK GAGAL SELAGI KITA IKUTI PERINTAH
Akhir kata, apakah BMF gagal? Bagi saya ia tak gagal lagi. Dan ia tidak akan gagal kerana ia merupakan perintah kepada kita untuk menjaga kepentingan umat. Kalau orang Islam berniaga dalam pasar yang benar-benar Islam, dia tak akan rugi.
Sebabnya? Kalau dia rugi, dia akan mendapat bantuan dari orang Islam yang lain. Dia mungkin tak untung besar tetapi payah nak rugi. Malah dia tak akan bankrap. Dalam ekonomi Islam tak ada konsep bankrap kecuali seseorang itu sengaja tidak mahu membayar hutangnya.
BMF tidak akan gagal. Saya cukup yakin. Biar kita fokus pada kandungan. Dan NGO-NGO janganlah bercakap sahaja tetapi membeli barangan di tempat lain. ALLAH beri peringatan agar kita tidak bercakap pada benda yang kita tidak lakukan.
CADANGAN BUAT NGO-NGO
Untuk NGO-NGO, anda perlu dapatkan guru-guru yang mursyid. Jangan lakukan secara bersendirian menggunakan akal semata-mata. Kita mesti ada ulama dan guru mursyid yang membimbing kita dan para jemaah. Para ulama akan berganding dengan orang yang melaksanakan kerja agar menjaga hubungan dengan ALLAH.
Dengan hubungan itu, maka segala tindakan akan dilakukan dengan penuh bijaksana. Mereka memiliki firasat dan panduan Illahi. Kita pun akan peroleh ilham dari Illahi tetapi kita perlu rujuk pada ulama.
BMF belum gagal. Ia perlu dijaga bersama. Kita kena jaga iman dan amal agar kita dapat bangkit kembali. Pasar kita baharu dibuka pun selepas PKP ini. Saya cukup yakin dengan suasana yang cun.
Ruang dan peluang untuk membuat wang yang halal. Pada masa yang sama kita menjaga akhlak, akidah, muasyarah dan terjadilah muamalah yang berpandukan syarak, insya-ALLAH.
Jazakallah khair.
Assalamualaikum.
#CoachFadzil #MalakatMall
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Walau Pun Tidak Boleh Berpuasa, Ada Perkara Yang Perlu Diambil Kira Hingga Masuk Waktu Berbuka
Banyak persoalan tentang keadaan yang menyebabkan seseorang itu tidak perlu berpuasa. Untuk tidak menimbulkan kekeliruan, ini penjelasannya.
Soalan: Seseorang yang boleh berbuka kerana musafir, bolehkah dia teruskan makan apabila sudah sampai ke tempat yang dituju ataupun kena tahan diri sehingga waktu berbuka. Macam itu juga bagi yang sakit pada awal hari tapi sembuh sebelum waktu berbuka, bolehkah dia terus makan atau kena tunggu sehingga masuk waktu berbuka?
Jawapan:
1. Para ulama berbeza pendapat mengenai seseorang musafir yang berbuka puasa; apakah dia wajib menahan diri dari makan dan minum apabila sudah sampai ke negeri atau tempat tujunya, sedangkan orang ramai berpuasa.
Pendapat yang terpilih; dia tidak wajib menahan diri dari makan dan minum kerana dia tidak berpuasa dan perbuatan itu tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Ia bukan puasa yang sah kerana dia telah pun berbuka. Tiada dalil syarak yang mewajibkannya berbuat demikian.
Kata Abdullah bin Masud r.a:
مَنْ أَكَلَ أَوَّلَ النَّهَارِ فَلْيَأْكُلْ آخِرَهُ
“Sesiapa yang makan pada awal hari, maka dia boleh makan pada akhir hari” (Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra).
Demikian juga bagi wanita haid, nifas dan sakit. Mereka boleh makan tanpa perlu menahan diri pada siang hari pada bulan Ramadan.
2. Namun hendaklah mereka menyembunyikan perbuatan makan di siang hari tersebut. Sekalipun syarak mengizinkan mereka, namun orang ramai tidak mengetahuinya, maka itu akan menjadi tohmahan dan fitnah.
Begitu juga ia boleh menggalakkan perbuatan tidak berpuasa bagi mereka yang tidak layak berbuka pada bulan Ramadan. Islam agama yang berusaha mengelakkan fitnah dan salah sangka dalam kalangan manusia.
3. Maka seseorang yang mempunyai alasan yang diizinkan syarak untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan seperti faktor musafir ini –seperti perbahasan di atas-, maka dia boleh berbuka dan diganti pada hari-hari yang lain.
Sumber: Dr Maza.com
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ustazah Oki Setiana Dewi Kongsi Kelebihan BISMILLAH, Saat Dibaca Barang Hilang Dijumpai Kembali
Pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustazah Oki Setiana Dewi sememangnya tidak asing bagi kita di sini. Ini kerana ilmu agama dikongsikannya berkaitan alam rumahtangga dan lain-lain lagi amat disenangi ramai.
Di fb rasminya, Oki Setiana Dewi, Ustazah ini berkongsi satu ilmu yang cukup mudah diamalkan tapi manfaatnya amat besar iaitu kelebihan membaca ayat BISMILLAH (dengan nama Allah).
Ini kerana ayat yang membawa maksud Dengan Nama Allah ini membawa maksud yang amat besar pada yang mengamalkannya. Dalam perkongsiannya, Ustazah Oki Setiana berkongsi satu cerita di mana seorang isteri cuba diduga oleh suaminya yang hendak memalukannya dengan menghilangkan barang namun dengan lafaz Bismillah itu, Allah memberikan pertolongan dengan sekelip mata.
Berikut adalah perkongsiannya. Moga bermanfaat buat kita mengamalkannya dalam setiap perbuatan kita lakukan.
Alkisah, ada seorang perempuan yang memiliki suami yang munafik lagi buruk perangainya. Kebiasaan perempuan itu, apabila hendak mengerjakan sesuatu selalu membaca Bismillah. Sehingga pada suatu ketika, sang suami berkata dalam hati, ” Aku akan melakukan sesuatu yang mempermalukanmu”.
Kemudian suami memberi isterinya sebuah kantong (kampit) sambil berkata, “Simpan dan jagalah kantong ini!”
Maka sang isteri meletakkan kantong tersebut di suatu tempat dan menutupinya.
Setelah beberapa lama, sang suami dengan berpura-pura lupa mengambil kantong tersebut dan membuang semua isinya di sebuah sumur (perigi/ telaga) dekat rumahnya. Kemudian suami ini menanyakan dan meminta kantong tersebut pada istrinya.
Sang isteri pun pergi ke tempat penyimpanan kantong tersebut untuk mengambil,
‘Maka Allah memerintahkan Jibril agar segera turun ke bumi dan mengembalikan kantong yang tadi telah dibuang oleh sang suami ke tempatnya. Sehingga ketika sang isteri menghulurkan tangannya untuk mengambil kantong tersebut, maka ia dapat menemukannya di situ.
Atas kejadian ini, hairanlah suaminya. Lalu dia pun bertaubat. Itulah di antara keutamaan dan keberkatan orang yang selalu membaca Bismillah dalam mengerjakan segala sesuatu.
BACA DI SINI: Apa Ada Pada Kalimah Bismillah, 4 Rezeki Besar Allah Janjikan Jika Kita Menyebutnya Selalu
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI