Baru ini, Mahkamah Sesyen memerintahkan Ali Puteh membayar RM60,000 kepada bekas kakak iparnya, Nor Hidayah kerana menulis hantaran yang disifatkan menghina di instagramnya.
Masa yang sama, ramai mengulas isu harta pusaka yang menjadi rebutan. Semasa penghakiman, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan memaklumkan pihak yang mengejar harta bukannya isteri arwah (Abam Bocey) sebaliknya plaintif-plaintif.
Ketika membaca keputusan penghakimannya, Zulqarnain berkata, setelah meneliti semua keterangan saksi dan hujahan peguam, mahkamah berpuas hati bahawa pihak yang mengejar harta ialah bukannya defendan sebaliknya plaintif-plaintif.
Katanya, ia jelas pada hari kedua Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia, ahli keluarga plaintif adalah pihak yang mengajak Siti Nor Hidayah untuk berbincang mengenai harta arwah.
“Malah telefon arwah diambil oleh Ali Puteh manakala beg duit arwah diambil (arwah) ibunya.
“Perbuatan itu seolah-olah tidak memahami kesedihan isteri arwah yang juga dalam dilema sedang memikirkan bagaimana untuk mengharungi masa depan dan membesarkan anak yang masih kecil,” katanya.
Ali Puteh waris faraid pusaka arwah Abam?
Ya betul. Walaupun Abam memiliki anak lelaki, kenapa adik beradik turut jadi waris faraid arwah Abam? Baca sampai habis.
Isu yang viral hari ini, kes saman Ali Puteh terhadap kakak iparnya, Nor Hidayah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Tapi saya bukan nak ulas kes itu. Itu urusan keluarga mereka. Saya sekadar ingin berkongsi tentang pembahagian pusaka arwah Abam.
Saya tidak pasti urusan pusaka dan pembahagian harta Abam dah selesai atau belum, ini yang berlaku jika urusan pusaka masih belum selesai dan berlaku kematian berlapis sebagai contoh untuk kita belajar jika pengurusan pusaka lambat diuruskan, akan jadi waris faraid berlapis.
Pengajaran dari kisah pusaka arwah Abam.
Waris Abam.
Ketika Abam meninggal dunia (2020), waris beliau ialah :
1. Bapa kandung = 1/6.
2. Ibu kandung = 1/6.
3. Seorang Isteri = 1/8.
4. Seorang anak lelaki = baki.
Tetapi ibu Abam telah turut meninggal dunia (2021) – kematian berlapis terjadi sebelum pusaka Abam diselesaikan. Kini bahagian ibu Abam (1/6 = 4/24 samakan penyebut pecahan) akan diwarisi oleh waris lapis kedua iaitu waris ibu Abam iaitu anak-anak beliau.
Kini, disebabkan pusaka Abam tidak segera diuruskan, Ali Puteh dan adik beradiknya seibu sebapa telah menjadi waris faraid kepada harta pusaka Abam kerana mewarisi pusaka bahagian ibu mereka.
Kesannya?
Jika segera diuruskan, hanya 4 orang waris kini waris telah bertambah.
Dokumentasi setiap waris diperlukan untuk proses pengurusan harta pusaka.
Hubungan sesama waris? Saya tak nak ulas.
Tetapi jika hubungan tidak mesra, proses pengurusan pusaka akan menjadi bermasalah dan mengambil masa terlalu lama kerana turun naik mahkamah.
Itu ujian buat keluarga mereka. Jadikanlah pengajaran buat kita.