Allah bagi pinjam seketika, reda dengan ketentuan Allah. ‘9 tahun saya tunggu kelahirannya, tapi dia ‘pergi’ dulu.’ Memang berat ujian ini, namun sebagai hamba-Nya dirinya reda dengan takdir Ilahi.
Lebih menyayat hati, dia bukan hanya kehilangan satu-satunya anak tunggalnya tetapi turut kehilangan ayahanda tercinta. Allahuakbar sungguh menyayat hati. Ternyata Allah lebih menyayangi kedua-duanya.
Artikel Berkaitan:
‘Allah Beri Bila Tiba Masa Yang Tepat.’ Rezeki Miliki Zuriat Selepas 14 Tahun Menanti
Demikian luahan Zarina Azmi, 34, yang merupakan ibu kepada kanak-kanak setahun tujuh bulan yang lemas bersama datuknya di sebuah kolam terbiar dekat Taman Kempas, Sungai Petani, Kedah.
Menurut Zarina, dia dan suami, Muhammad Yuzarith Martin Abdullah, 35, bagaimanapun reda dengan ketentuan Allah yang meminjamkan anak tunggal kesayangan, Muhammad Ziyaad Mikhail seketika biarpun telah sembilan tahun menanti kelahiran cahaya mata.
Dalam kejadian itu, Zarina turut kehilangan bapa tersayang, Azmi Abdullah, 77, yang ditemukan terapung dalam sebuah kolam bersama Muhammad Ziyaad selepas kedua-kedua beredar dari kedai makan di mana tempatnya bekerja dengan menaiki motosikal untuk keluar bersama.
“Sepanjang hari (Isnin), Muhammad Ziyaad asyik peluk saja, seolah-olah tak puas bermanja sebelum datuknya datang ambil kira-kira jam 5 petang.
“Namun, tak lama kemudian saya dikejutkan dengan berita yang ayah dan anak ditemukan lemas di kolam berhampiran,” jelasnya sebak.
Kejadian disedari apabila kedua-dua beranak itu tidak pulang ke rumah sehingga jam 7 petang, menyebabkan mereka keluar mencari di sekitar kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, luluh hatinya apabila menemukan jasad datuk dan cucu itu lemas dan terapung dalam kolam tersebut.
Sementara itu, adik kepada Azmi, Yusof Abdullah, 61, menjelaskan kali terakhir dia bertemu arwah abangnya bulan lalu dan terkejut apabila menerima panggilan berhubung kejadian.
“Arwah dah lama pencen sebagai tukang kebun sekolah dan sejak itu dia banyak menghabiskan masa di rumah selain bermain dengan cucu dan menjadi rutin membawa cucunya itu meronda waktu petang dengan menaiki motosikal,” katanya.
Menurut Yusof, dia difahamkan bahawa kejadian kemungkinan berlaku apabila kanak-kanak itu turun dari motosikal dan berlari ke arah kolam sebelum terjatuh.
Tambah Yusof, kemungkinan Azmi yang ternampak cucunya jatuh terus berlari ke arah kolam dan cuba menyelamatkan, namun turut lemas.
“Kalau tengok keadaan kolam itu, airnya tak dalam mana pun tapi mungkin disebabkan licin akibat lumut, arwah tak berdaya nak selamatkan diri.
“Apapun yang berlaku, semuanya sudah suratan takdir dan kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurut Yusof, Azmi mempunyai lima anak serta 10 cucu dan Muhammad Ziyaad Mikhail serta ibu bapanya tinggal bersama.
Jenazah kedua-dua beranak itu kemudian dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal selepas selesai urusan bedah siasat untuk proses pengebumian.
Baca Di Sini:
Kashoorga: Pasti ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku, semoga keluarga ini tabah meneruskan hidup.
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.