‘Allah beri bila tiba masa yang tepat.’ Rezeki miliki zuriat selepas 14 tahun menanti, tiada kata yang dapat diungkap, melainkan rasa syukur tidak terhingga apabila doa selama ini dimakbulkan.
Setelah mendirikan rumah tangga, pasti setiap pasangan mendambakan untuk memperoleh cahaya mata. Namun manusia hanya merancang dan Allah juga sebaik-baik perancang.
Artikel Berkaitan:
“Sepanjang 14 tahun perkahwinan, saya tidak pernah hamil dan tak tahu nak gomol (peluk dan cium) anak siapa tetapi akhirnya rezeki memihak kepada kami untuk memiliki anak sendiri. Dapatlah gomol puas-puas,” kata Nurashhyikin Abd Latip.
Nurashhyikin, 36, mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi videonya bersama suami, Ridhuan Ramli, 44, dan anak tunggal mereka, Muhammad Tariq El Aiman yang kini berusia lima bulan dengan keterangan penantian 14 tahun untuk menimbang cahaya mata sendiri.
Jelas Nurashhyikin, kehadiran Muhammad Tariq El Aiman dianggap seperti rezeki terindah yang tidak disangka kerana impiannya untuk memiliki anak sendiri akhirnya tercapai.
Menurutnya, sepanjang 14 tahun dia banyak memendam rasa berhadapan pertanyaan orang sekeliling mengenai zuriat, namun mengakui tidak mengambil hati dengan perkara itu sebaliknya dia dan suami sentiasa berlapang dada.
“Saya ambil pendekatan kalau ada, adalah kalau tidak itu bukan rezeki kami tetapi kami tetap berusaha dan sepanjang tempoh berdua kami kerap ditanya mengenai anak tetapi keluarga sentiasa beri sokongan.
“Tak sangka Allah SWT hadirkan rezeki dalam sekelip mata dan 14 Februari lalu anak yang dinanti selama 14 tahun selamat dilahirkan dengan sihat.
“Saya dan suami sangat gembira dengan rezeki ini terutama suami apabila dia akhirnya mempunyai zuriat sendiri ketika berusia 44 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, dia tidak pernah berasa rezekinya lambat biarpun tempoh perkahwinan melebihi satu jangka masa yang lama kerana baginya rezeki Allah SWT akan tiba tepat pada masanya mengikut perancang terbaik untuk hidup mereka.
“Anak ini juga saya anggap seperti pengganti arwah ayah kerana berita kehadirannya kami terima selepas dua minggu ayah meninggal dunia.
“Ketika ayah sakit saya yang menjaga dan menguruskannya di hospital tetapi tak sangka rupanya anak sudah berada bersama saya ketika itu.
“Saya tahu saya hamil ketika kandungan berusia empat bulan dan dalam kesedihan kehilangan ayah tersayang Allah hadirkan zuriat yang sekian lama ditunggu-tunggu,” katanya.
Baca Di Sini:
Rider Sebak Dapat Tip & Nota Dari Seorang Wanita Mohon Doakan Dirinya Cepat Dapat Anak
Kashoorga: Bila sampai saat dan ketikanya, pasti Allah akan makbulkan doa kita.
Sumber: myMetro
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.