Memilih dan mencari jodoh tidak perlu terburu-buru. Tidak mengapa jika perlu selektif memilih calon isteri atau suami asalkan rumah tangga yang dibina mampu kekal hingga ke jannah.
Sememangnya jodoh itu rahsia Allah namun itu bukan bermakna kita hanya berpeluk tubuh tanpa usaha ke arah mendapatkan jodoh. Seperti perkongsian Amir Syahir ini tentang soal jodoh.
Mungkin ada yang berazam untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini tetapi jodoh yang dinanti-nanti masih belum kunjung tiba? Boleh baca sebagai panduan dalam proses mencari pasangan.
Kita takkan tahu mana satu pilihan yang terbaik. Yang kita tahu ialah, kita yakin dengan pilihan kita. Allah lebih mengetahui. Allah akan bagi kau seseorang yang kau perlu dan bukannya yang kau mahu.
Proses taaruf merupakan salah satu cara untuk tahu adakah dia pilihan yang terbaik.
Dalam proses berkenalan, kitaakan mula nampak kelemahan dan kelebihan masing-masing. Antara calon yang terbaik ialah apabila dia sudi menerima kita seadanya. Kita pun mestilah membuat perkara yang sama kepada dia.
Tapi janganlah nak taaruf dalam bilik berdua-duaan pula. Taaruf tengah malam dekat taman bunga. Tu lain jadinya.
Dalam Islam, proses pencarian dengan empat faktor iaitu agama, harta, paras rupa dan keturunan. Pilihlah yang beragama maka kita akan selamat dunia akhirat. Tak semestinya dia ustaz ataupun ustazah. Cukuplah dia tak tinggal solat, tak ambil kesempatan ke atas kita, tahu hukum agama dan tahu batas pergaulan.
Cari lah keserasian dengan dia. Serasi boleh dikatakan kita senang dengan dia. Nak buat apa pun tak dikongkong oleh dia selagi tidak melanggar hukum agama.
Tak semestinya kita suka pergi hiking, tetapi dia tak suka, maksudnya tak serasi. Yang penting dia sentiasa sokong hobi kita. Persamaan itu saling mendekatkan dan perbezaan itu pula saling melengkapi.
Antaranya boleh tanya tentang latar belakang keluarganya, pendidikannya, ciri-ciri pasangan yang dicarinya. Tanya apa yang dia suka dan tak suka.
Boleh tanya apa matlamat masa depannya dalam keluarga nanti, juga perancangan kerjaya. Juga boleh tanya impian yang hendak dikecapi dalam hidup.
Si dia ada sifat bertimbang rasa dan boleh bertolak ansur. Bukannya asyik dia saja nak menang. Nak suruh kita dengar cakap dia saja.
Kita jadi diri sendiri. Tak perlu kau pinjam baju berjenama kawan, pinjam kereta Audi kawan untuk pikat si dia. Elakkan berlakon, bersandiwara, sembunyikan perkara yang dia patut tahu, sebab nanti akan diketahui juga.
Apabila dah selesai melalui proses semua tu, jangan lupa beristikharah dan berdoa memohon petunjuk daripada Ilahi. Adakah dia jodoh yang terbaik.
Yang penting, jangan terlalu harapkan dia, jangan letak harapan yang tinggi masa proses berkenalan supaya tak timbul kekecewaan jika si dia bukan jodoh kita nanti. Niatkan hati, ini ialah proses mencari isteri/suami, bukannya mencari malaikat. Nak cari yang paling sempurna susah. Jangan membawa harapan yang terlalu tinggi.
Kalau nak ajak si dia berkenalan kata saja “Awak, nak ke kita berkawan dulu. Kenal hati budi masing-masing. Tapi, kalau masa tu awak dah ada orang lain, saya akan mengundurkan diri.” Simple.
Semoga Allah permudahkan urusan jodoh dan proses mencari pasangan nanti. Amin. Banyakkan berdoa dan solat hajat ye.
Sumber kredit: FB: Amir Syahir