Memang terdapat hadis dari Nabi SAW mengenai larangan untuk tidur secara meniarap. Ini sepertimana riwayat daripada Ya`ish daripada ayahnya, Tikhfah bin Qaysi al-Ghifari RA bahawa pada suatu hari ketika beliau sedang tidur di dalam masjid dalam keadaan meniarap, lalu ada seseorang yang menggerakkanku (membangunkanku) dengan mengunakan kaki lalu berkata:
إِنَّ هَذِهِ ضِجْعَةٌ يُبْغِضُهَا اللَّهُ. قَالَ فَنَظَرْتُ فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: Sesungguhnya ini adalah cara tidur yang dimurkai Allah. Kemudian Tikhfah RA berkata: “Lalu aku melihat lelaki itu (yang membangunkanku) adalah Rasulullah SAW. Riwayat Abu Daud (5040) & al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad (1187)
Dalam hadis dengan lafaz yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda:
قُمْ وَاقْعُدْ فَإِنَّهَا نَوْمَةٌ جَهَنَّمِيَّةٌ
Maksudnya: Bangun dan duduk, sesungguhnya ini adalah cara tidurnya penghuni neraka.
Riwayat Ibn Majah (3725)HUKUM TIDUR MENIARAP
Jelas terdapat larangan agar tidak tidur secara meniarap. Di dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi`e, tidur secara sengaja dalam keadaan sebegini adalah makruh. Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu`:
وَيُكْرَهُ الِاضْطِجَاعُ عَلَى بَطْنِهِ
Maksudnya: dan dimakruhkan untuk tidur di atas perut (secara meniarap).
Al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah juga menyebutkan bahawa sunat juga mengejutkan mereka yang tidur dalam keadaan meniarap.
KESIMPULAN
Larangan dari tidur secara meniarap berdasarkan hadis yang disebutkan di atas difahami oleh ulama` Syafi`eyyah adalah bersifat makruh. Seeloknya dijauhkan dari perbuatan tersebut.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri