Kerohanian

Allah Perintah Kita Tinggalkan Golongan Yang Mempersendakan Islam

Share

Tindakan meletakkan kalimah Allah pada stoking sememang dilihat satu penghinaan. Mereka yang melakukan perkara yang mempersendakan agama Islam sebegini seharusnya tidak harus dibiarkan.

Tapi apa yang seharusnya umat Islam lakukan dengan golongan sebegini berpandukan al-Quran.

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, Allah memerintahkan umat Islam menjauhkan diri dari golongan sebegini.

Hari ini muncul golongan yang dilihat seakan bermain-main dengan sentimen agama. Allah memerintahkan kita agar menjauhkan diri dari golongan sebegini. Mereka tidak layak untuk diberikan perhatian sebaliknya mereka hanya menjemput azab Allah.

Firman Allah:
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا ۗ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا

Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). (Surah al-An’am: 70)

Sifat kumpulan munafik

Pada hakikatnya, sifat mempersenda Allah dan Rasul ini lahir dari benak kumpulan munafik yang memusuhi Islam pada zaman Rasulullah. Dalam Perang Tabuk, Allah mendedahkan sikap mereka yang mempersenda perjuangan Rasulullah.

Perkara ini dipaterikan di dalam al-Quran di mana Allah berfirman:
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (Surah al-Taubah: 65)

Menurut al-Imam al-Baghawi, sekumpulan orang munafik mengejek-ejek perjuangan Rasulullah yang berusaha menyebarkan dakwah hingga ke sempadan wilayah Rom. Mereka mempersenda usaha dakwah Baginda dan menakut-nakut para mujahidin bahawa mereka akan kalah bertempur dengan kerajaan Rom nanti. Allah mendedahkan sikap buruk mereka ini sehingga dinukilkan di dalam al-Quran.

Kisah hamba perempuan yang sering mengutuk Nabi

Saidina Abdullah bin Abbas pernah menceritakan tentang seorang lelaki yang memiliki Umm Walad (seorang hamba perempuan yang melahirkan anak kepada tuannya). Perempuan ini (Umm Walad tersebut) sering mengutuk (mencaci: tashtumu) Nabi.

Setelah dinasihati oleh lelaki ini berkali-kali, perempuan tersebut masih kekal dengan sifatnya yang menghina Rasulullah. Hilang sabar dengan sikap perempuan itu, lelaki tersebut mengenakan hukuman. Apabila perkara ini disampaikan kepada Nabi, Rasulullah berkata perjanjian keamanan yang diberikan kepada perempuan tersebut telah terbatal kerana menyakiti Nabi.

Adakalanya tindakan yang tegas perlu dilaksanakan bagi mendidik masyarakat tentang batasan-batasan yang perlu mereka fahami dalam memuliakan kalimah Allah. Kesatuan umat Islam dalam menjaga agama merupakan langkah yang dipuji Allah.

Sumber: Dr Ahmad Sanusi Azmi

Published by
Team Kashoorga