‘Allah uji sebab sayang, mungkin selama ini kita lalai.’ Sabarlah duhai hati dan solatlah dengan sempurna. Kadang-kadang dalam setiap ujian yang Allah berikan adalah untuk kita kembali dekat pada-Nya.
Namanya manusia, kerap kali hanyut dan lupa pada Allah jika hidup terlalu selesa tanpa ujian. Jadi setiap kali diuji, didik hati bersabar dan tadahkan tangan memohon petunjuk dari Allah.
Malah menurut Puan Rohana Saad, mereka yang kerap diuji adalah antara hamba yang disayangi Allah. Ikuti perkongsiannya:
Artikel Berkaitan:
Kerap diuji sebab kita ini ‘special’
Pujuklah hatimu andai dugaan yang mendatang itu seakan menghimpit mu. Bukan Allah tidak peduli. Malah, bukan Allah hendak menyeksamu.
Bukan Allah sudah tidak melihat usaha dan doa-doamu, bukan Dia tidak kisah air mata mu. Dia cuma hendak kamu tahu bahawa Dia menyayangimu. Sangat menyayangimu.
Bukan Allah tidak tahu, betapa dengan ujian dari-Nya ini, membuat kau terduduk, membuat kau menangis dan membuat kau lebih banyak ingat Dia. Tidak mengapa duhai hati, sabarlah dan solatlah.
Allah sendiri berpesan dalam Al-Quran:
Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.”- (Al-Baqarah: 153)
Daripada berbillion manusia di muka bumi ini, engkau pilihannya. Dia memilihmu kerana Dia ingin kau kembali pada-Nya. Mungkin selama ini, kau lalai dari mengingatiNya dengan sebenar-benarnya, mungkin selama ini kau kurang bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan padamu.
Limpahan nikmat yang kau perolehi jarang sekali kau syukuri. Bahkan kau tambahi dengan keluhan. Maka, muhasabahlah. Pujuklah hati mu andai dugaan yang datang itu seakan bertubi-tubi bagi mu.
Allah tahu itu dan ketahuilah Allah sentiasa memerhati mu dengan pandangan kasih sayang. Dia sentiasa ingin yang terbaik untuk kehidupan mu. PerancanganNya sungguh berseni dan sungguh sempurna.
Dia tahu kau merancang itu dan ini, Dia tahu kau mahu itu dan ini, namun yang terjadi adalah sebaliknya. Kau perlu ingat dan pasakkan dalam jiwa, Dialah sebaik-baik perancang. Mungkin ujian yang hadir ini ialah sebagai turning point kita agar kembali kepada-Nya.
Allah beri tempoh yang tertentu untuk kita lalui ujian ini. Pelbagai cara yang kita usahakan dalam melalui ujian itu dan bermacam-macam jenis orang yang kita jumpa.
Mungkin ada masa kau terduduk seketika, mencari ketenangan dari-Nya, mungkin ada masa kau mengumpul segala kekuatan untuk kembali bangkit dari rasa putus asa mu.
Ada masa kau mampu bertahan, namun ada masa kau rebah, tidak tertahan dan airmatamu pun tumpah membasahi pipi. Kau menangis semahumu, kau berdialog semahumu.
Dan Dia adalah saksi segala saksi atas segala yang kau lakukan termasuk yang terlintas dihatimu semasa mendepani ujiannya ini. Dan sampai satu saat, semuanya berakhir, ujian ini ALLAH izinkan berlalu pergi.
Dan ada ujian yang lain menanti pula…
Baca Di Sini:
Lapan Hikmah Di Sebalik Ujian, Tanda Allah Sayang Kepada HambaNya
Kashoorga: Semoga Allah sentiasa menyayangi kita.
Sumber: Puan Rohana Saad
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.