Kebanyakan kita pasti berhutang, bezanya banyak atau sikit. Bagi yang menanggung hutang yang banyak selain dari berusaha bekerja membayarnya, iringi juga dengan amalan yang dikongsi dalam Maktabah Al Bakri ini dalam usaha memudahkan kita melangsainya. Ini kerana tanpa pertolongan, rahmat dan Izin-Nya mana mungkin kita berjaya dalam melangsaikan hutang.
1. Solat Subuh berjemaah
Ini kerana banyak kelebihan pelaksanaan solat berjemaah. Inilah yang dilakukan oleh salaf al-Soleh. Ini juga kerana sentiasa awal ke masjid di waktu pagi termasuk dalam usaha meraih keberkatan kepada Allah serta keredhaan-Nya. Benarlah doa Nabi SAW seperti riwayat Sakhr al-Ghamidi, bahawa Nabi SAW bersabda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِى فِى بُكُورِهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah umatku di waktu pagi.”
Ibn Battal berkata: Hadis ini tidaklah menunjukkan bahawa selain waktu pagi adalah tidak diberkati. Sesuatu yang dilakukan oleh Nabi SAW (pada waktu tertentu) adalah waktu yang berkat dan Baginda SAW adalah sebaik-baik uswah (suri teladan) bagi umatnya. Adapun Nabi SAW mengkhususkan waktu pagi dengan mendoakan keberkatan pada waktu tersebut berbanding waktu-waktu yang lain adalah kerana waktu pagi tersebut adalah waktu yang biasa digunakan manusia untuk memulakan aktiviti. Waktu tersebut adalah waktu yang bersemangat untuk memulakan aktiviti. Oleh itu, Nabi SAW mengkhususkan doa pada waktu tersebut supaya seluruh umatnya memperoleh keberkatan di dalamnya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 9/163)
2. Selalu membaca surah al-Waqi’ah setiap malam
Daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً
Maksudnya: “Siapa yang membaca surah al-Waqi’ah setiap malam, nescaya tidak kefakiran selamanya.”
Riwayat al-Harith dalam al-Musnad (721), Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (680), dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (2498). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Ihya’ (1/450)
Meskipun hadith berkenaan membaca Surah al-Waqiah ini bertaraf dhaif, namun tidak menjadi masalah untuk mengamalkannya.
3. Sering istighfar dengan sebanyak-banyaknya setiap hari
Firman Allah SWT:
فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارٗا (10) يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡكُم مِّدۡرَارٗا (11) وَيُمۡدِدۡكُم بِأَمۡوَٰلٖ وَبَنِينَ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ جَنَّٰتٖ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ أَنۡهَٰرٗا
Maksudnya: “Sehingga Aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu: Dan Dia akan memberi kepada kamu Dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh: 10-12)
4. Perbanyakkan doa dan taubat terutamanya ketika senang
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكُرَبِ فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ
Maksudnya: “Sesiapa yang suka Allah kurniakan permohonannya ketika dalam kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa senang.”
Riwayat al-Tirmizi (3391) dan al-Hakim (544). Dinyatakan sebagai hasan dalam Sahih al-Jami’ (6290)
5. Perbanyakkan Qiamullail
Benarlah sabda Baginda SAW: Daripada Bilal bin Rabah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
عَلَيكُمْ بِقيَامِ اللَّيلِ، فَإِنَّهُ دأبُ الصَّالِحِينَ قَبْلكُمْ، وإنَّ قِيَامَ اللَّيلِ قُربَةٌ إِلى اللهِ، ومَنْهاةُ عنِ الإِثْمِ، وتَكْفِيرٌ للسَّيئَاتِ، ومَطْرَدَةٌ للدَّاءِ عَن الْجَسَدِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu melaksanakan qiamullail kerana ia merupakan perjalanan orang soleh sebelummu dan sesungguhnya qiamullail mendekatkan kepada Allah, menegah daripada dosa, menghapuskan kesalahan dan menjauhkan daripada penyakit.”
Riwayat al-Tirmizi (3558), al-Hakim (308) dan al-Baihaqi (502)
6. Perbanyakkan sedekah
Hal ini bertepatan satu hadis di mana Allah utuskan Malaikat yang mendoakan kepada yang memberi sedekah setiap pagi dan malam. Doanya ialah:
اللهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Maksudnya: “Ya Allah kurniakanlah kepada pemberi sedekah gantian dan kepada yang kedekut kehilangan.” Riwayat al-Bukhari (1442), Muslim (1010), Ahmad (21721), Ibn Hibban (686) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2891)
7. Menyambung hubungan silaturrahim
Daripada Anas bin Malik Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ أَوْ يُنْسَأَ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ .
Maksudnya: “Siapa yang mahu Allah kurniakan rezeki dan panjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.” Riwayat al-Bukhari (1961) dan Muslim (2557)
8. Perbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW
Syeikh Abdul Qadir al-Jailani al-Hasani Rahimahullah menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW di dalam kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibn Farhun yang berkata: “Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW mempunyai empat puluh dua kelebihan.” Hal ini tertulis di dalam kitabnya Hadaiq al-Anwar.
Moga-moga dengan amalan ini, Allah SWT memberi kita keluasan rezeki dan dipermudahkan untuk melangsaikan hutang.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI