Sebagai orang Islam apabila berpindah ke rumah baharu, kita dinasihatkan amalkan beberapa perkara ini bagi menolak gangguan syaitan. Apakah amalan itu? Kita baca kupasan Mufti
Assalamualaikum Ustaz,
Saya akan masuk rumah baharu dalam masa terdekat. Apakah amalan-amalan terbaik untuk saya lakukan, sebelum dan selepas masuk rumah baharu tersebut? Ada yang menasihati untuk baca Surah Al-Baqarah. Bolehkah saya menghabiskan bacaannya berperingkat-peringkat, contohnya saya membaca 1/3 surah hari ini, esoknya 1/3 dan lusanya 1/3?
Jazakallahukhaira.
JAWAPAN:
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Waalaikumussalam wbt, Tidak ada amalan khusus yang diperintahkan syarak ketika memasuki rumah baru. Adalah lebih baik kita berdoa supaya rumah diberkati dan kita yang mendiami rumah turut diberkati Namun begitu, jika bertujuan untuk mengharapkan keselamatan dan perlindungan dengan Allah SWT daripada kejahatan dan syaitan, maka dianjurkan kita melazimi empat perkara berikut:
1. Membaca Surah al-Baqarah
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
Maksudnya:
“Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surat al-Baqarah”
Hadis Riwayat Muslim (780)
2. Menunaikan solat sunat keluar dan masuk rumah
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
إِذَا خَرَجْتَ مِنْ مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَخْرَجِ السُّوْءِ وَإِذَا دَخَلْتَ إِلَى مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَدْخَلِ السُّوْءِ
Maksudnya: “Jika engkau (ingin) keluar dari rumahmu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangimu dari keburukan yang berada di luar rumah. Jika engkau masuk ke dalam rumahmu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangimu dari keburukan yang ingin masuk ke dalam rumah.”
Hadis Riwayat al-Bazzar. Berkata Ibn Hajar al-Haythami: Rijalnya thiqah
3. Membaca bismillah, berzikir dan berdoa ketika membuka dan menutup pintu
Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ
Maksudnya:“Apabila seseorng masuk ke dalam rumah lalu dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata: ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kalian mendapatkan tempat menginap’.”
Hadis Riwayat Muslim (2018), Abu Daud (3765) dan lain-lain.
Juga daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا
Maksudnya: “Tutuplah pintu, dan sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama Allah).”
Hadis Riwayat Bukhari (3304) Muslim (2012) dan yang lainnya
4. Memberi salam
Daripada Nafi` bahawa Abdullah bin Umar R.anhuma berkata:
إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين.
Maksudnya: “Jika engkau memasuki suatu rumah yang tidak berpenghuni maka katakanlah: Assalamu`alaina wa `ala ibaadillahis solihin – Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.”
Hadis riwayat al-Bukhari (1055) dalam al-Adab al-Mufrad. Ibn Hajar al-Asqalani berkata sanadnya hasan.
Berkenaan dengan kaifiat membaca 1/3 surah al-Baqarah seperti yang disebutkan, tidak ada masalah jika dijadual sedemikian dengan syarat tidak dijadikan kemestian. Wallahua`lam.
Sumber :Mufti Wilayah
Artikel berkaitan : Amalkan Perkara Ini Bagi Lindungi Keluarga Daripada Syaitan Sebelum Pindah Ke Rumah Baharu
Artikel berkaitan: Baca Ayat al-Kursi Sebelum Tidur, Elak Syaitan Ganggu Hingga Subuh
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI