Ramai ibu bapa yang bertuah dikurniakan anak-anak yang baik dan patuh pada suruhan agama. Syukur alhamdulillah. Namun ramai juga yang sebaliknya punya zuriat namun tidak menjadi. Kasar dengan ibu bapa, terlibat jenayah, sentiasa bertelagah dengan adik beradik dan sebagainya.
Melihat anak-anak yang sebegini ada yang mengaitkannya dengan dosa dosa yang dilakukan ibu bapa itu sendiri. Tapi dalam Islam adakah perkara sedemikian? Berikut adalah penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan hal ini.
Tiada nas akhlak buruk anak disebabkan dosa ibu bapa
Tidak ada nas yang jelas yang menunjukkan bahawa akhlak tidak baik anak-anak adalah disebabkan dosa ibu bapa. Nas-nas yang ada ialah tentang kewajipan ibu bapa memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak dari sudut pemantapan iman diikuti ibadah dan hubungan yang baik sesama manusia.
Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” Surah Luqman (17)
Ads
Dalam ayat ini Allah SWT menceritakan perihal Luqman seorang hamba Allah yang soleh yang menasihatkan anaknya, agar menjauhi perbuatan syirik, mengerjakan amal-amal soleh serta berakhlak dengan akhlak yang mulia.
Allah SWT memberi peringatan dengan jelas kepada orang-orang beriman agar memelihara diri mereka dan keluarga dengan membimbing ke arah kebaikan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang menjadikannya beragama yahudi atau menjadikannya beragama nasrani atau menjadikannya beragama majusi.” Riwayat Muslim(4805)
Ads
Dalam mendidik anak-anak ibu bapa perlu menunjukkan tauladan yang baik dengan mematuhi segala ajaran agama dan ini sudah tentu akan mempengaruhi anak-anak dalam proses pendidikan tersebut.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami ada menyebutkan jika ibu bapa bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudahkan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriat-zuriatnya.
Namun sebaliknya, jika ibu bapa mereka tidak melaksanakan perintah Allah dan melanggar larangan Allah, nescaya anak-anak mereka akan berkelakuan sebagaimana kelakuan ibu bapa mereka.
Jika sekiranya ibu bapa telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam pendidikan agama anak-anak tetapi anak-anak masih tidak berakhlak dengan akhlak yang baik maka itu adalah satu ujian bagi ibu bapa. Mereka perlu bersabar atas ujian itu dan ia menjadi sebab kepada ganjaran pahala di sisi Allah kepada ibu bapa.
Ada keadaan kita solat dalam keadaan laju, nak cepat atau pun kita melihat rakan solat dalam kadar yang laju. Kita baru rakaat kedua, dia dah selesai.
Timbul kemusykilan adakah sah solat laju sebegini. Berikut adalah penjelasan Ustaz Azhar Idrus dalam satu ceramah beliau. Ujar beliau solat laju atau lambat tidak menjadi masalah asalkan cukup syarat dan rukun solat.
“Solat laju dan perlahan tiada masalah asalkan cukup syarat dan rukun. Diantara rukun solat adalah membaca al fatihah dengan sempurna. Kalau laju dan tak habis atau tak sempurna bacaan al-Fatihah maka tak sah.
“Kedua adalah syarat, antara sebab solat laju jadi tak sah adalah kerana tinggal to’makninah atau tidak berhenti seketika untuk setiap rukun solat.”
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Nasa’i, Rasulullah s.a.w melarang solat yang dikerjakan seperti burung yang mematuk makanan, iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat.
Dalam hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud: “Allah s.w.t. tidak melihat solat seseorang yang dikerjakan tanpa sempat meluruskan tulang belakangnya antara rukuk dan sujud”. (Riwayat Thabrani)
Solat yang dikerjakan secara cepat atau lambat pada dasarnya sah. Namun perlu diingatkan agar segala rukun dan syarat sah solat cukup serta tidak tertinggal.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sepanjang tempoh kawalan pergerakan semasa pandemik, kerajaan telah mengetatkan syarat untuk solat Jumaat berjemaah kepada jumlah yang terhad sahaja. Hanya beberapa jemaah berdaftar sahaja dibenarkan untuk solat Jumaat berjemaah. Keadaan ini menyebabkan rasa hampa sebahagian jemaah yang ingin tunaikan solat Jumaat di masjid.
Justeru adakah dibenarkan dalam situasi sekarang, kaum lelaki mendirikan solat Jumaat atas niat berjemaah menerusi Live Streaming di rumah? Kita ikuti penjelasan dari SS Mufti Wilayah Persekutuan akan hal solat secara live streaming ini.
Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu persoalan. Bolehkah kita menunaikan solat Jumaat secara live streaming? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah : 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut.
Solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah
Kami ingin menegaskan bahawa kewajipan solat Jumaat hendaklah ditunaikan secara berjemaah. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ Maksudnya : “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” Riwayat Abu Daud (1067)
Malah, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma’ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.
Syarat-Syarat Mengikut Imam Bagi Solat Berjemaah
Sepertimana yang telah kami sebutkan, solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah. Oleh itu, solat Jumaat tertakluk kepada syarat-syarat sah solat berjemaah. Antara syarat-syarat sahnya solat berjemaah ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam.
Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
Maksudnya : “Disyaratkan untuk sahnya ikutan (dalam solat berjemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan (pergerakan dalam solat) orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya (Imam dan makmum) menunaikan solat di dalam masjid atau selain masjid (luar masjid) atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama).
“Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam atau mendengar orang yang dibelakang imam atau melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menukilkan ijma’ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut.”
Begitu juga, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam (di dalam solat), supaya (makmum itu) dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf (makmum yang lain) atau mendengarnya (suara imam) atau pun mendengar suara muballigh.
Selain itu, Al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan antara syaratnya juga ialah :
أن يكون اجتماع الإمام والمأموم… إما في مسجد، أو في مكان سواه لا يزيد ما بينهما منه على ثلاث مئة ذراع تقريبا…
“Hendaklah berhimpun (pada satu tempat) Imam dan makmum… sama ada di dalam masjid, atau tempat selainnya (luar masjid) yang mana jarak antara keduanya tidak melebihi kira-kira 300 hasta (lebih kurang).”
Apabila kita melihat kepada syarat ini, sebenarnya ia kembali semula kepada syarat sebelumnya iaitu dengan berhimpunnya kedua-duanya dalam satu tempat membolehkan makmum melihat dan mengetahui pergerakkan imam.
Oleh itu, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada disebutkan bahawa sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui
Namun, apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh.
Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu :
Hendaklah tiada penghadang (halangan) yang menghalang makmum daripada melihat imam atau melihat makmum lain yang melihat imam.
Makmum boleh sampai kepada imam tanpa perlu menyimpang dan membelok (daripada arah kiblat).
Jarak antara kedua-duanya (imam dan makmum) tidak melebihi 300 hasta.
Sekiranya salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, kiraan jarak 300 hasta (150 meter) tersebut bermula daripada bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)
Imam Kamaluddin al-Damiri pula berpendapat bahawa dengan makmum melihat imam atau melihat sebahagian daripada saf atau mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh, adalah merupakan antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada pengetahuan makmum mengenai pergerakkan imam di dalam solat.
Walau bagaimanapun, di sisi kami dan jumhur ulama sekadar (mensyaratkan) perkara tersebut sahaja tidak cukup, bahkan mesti bersamanya diletakkan syarat supaya berhimpunnya imam dan makmum (dalam satu tempat) kerana kalaulah sudah cukup dengan hanya pengetahuan (mengenai pergerakkan imam), sudah tentu terbatalnya (tidak perlu lagi) perintah untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Begitu juga, seruan untuk menunaikan solat berjemaah (di masjid). Dan setiap orang akan menunaikan solat di rumah masing-masing atau di pasar dengan berimamkan (mengikuti) solat imam di masjid, sekiranya mereka mengetahuinya (pergerakkan imam). Ini jelas menyalahi al-Quran dan Sunnah. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/375)
Hukum Menunaikan Solat Jumaat Secara Live Streaming
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.
Begitu juga, solat berjemaah ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki). Oleh itu, ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain.
Oleh sebab itu, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio (atau live streaming) kerana ia tidak mencapai maksud sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.
Kalaulah dibenarkan perkara ini, sudah tentu setiap orang boleh menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di rumah masing-masing.
Sudah tentu, perkara seperti ini menafikan (tujuan) pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah (iaitu menghimpunkan manusia). (Lihat Majmu’ al-Fatawa wa Rasail Syeikh Ibn al-Uthaimin, 15/213)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat melalui perantaraanlive streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama.
Oleh itu, apabila terdapatnya keuzuran atau halangan daripada menunaikan solat Jumaat seperti perintah kawalan pergerakan ini, maka hendaklah kembali kepada rukhsah yang diberikan oleh syarak iaitu menggantikannya dengan menunaikan solat zohor di rumah masing-masing.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Kini sudah memasuki bulan Syawal. Malah sudah ada yang mula berpuasa kerana tidak mahu bertangguh ibadah yang dituntut ini. Persoalannya, bila berpuasa enam, adakah perlu berpuasa berturut-turut atau boleh dipisahkan asal cukup enam hari. Ini penjelasan dari Mufti.
Jawapan:-
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ianya thabit dari perbuatan Nabi SAW yang mana di dalam hadith ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadith iwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya:Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun. Riwayat Muslim (1164)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadith di atas menyebut bahawa hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Syafi’e, Hanbali dan juga Daud (al-Zahiri) bahawa disunatkan untuk berpuasa enam pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا )[1].
Adakah Puasa 6 Perlu Dilakukan Secara Berturutan?
Setelah mengetahui akan pensyariatan puasa sunat enam Syawal beserta fadhilatnya, timbul juga persoalan mengenai adakah puasa yang enam itu perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dilakukan secara berasingan.
Mengenai persoalan di atas, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan: “…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…”[2]
Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut: “…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan samaada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadith menyebutkannya secara mutlaq tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”[3]
Kesimpulan:-
Berdasarkan pendapat-pendapat yang terdapat di dalam isu ini, kami katakan bahawa isu ini ada fleksibilitinya yang tersendiri iaitu puasa 6 boleh dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan. Diawalkan ataupun dilewatkan selagi mana masih berada di dalam bulan Syawal. Ianya tidak menjadi masalah.
Di dalam kemeriahan kita menyambut Syawal, sudah pasti akan ada jemputan dari sanak saudara juga rakan taulan untuk menghadiri rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Maka ianya tidak menjadi masalah serta penghalang untuk menunaikan puasa 6 Syawal kerana terdapat fleksibiliti di dalam kaifiat menunaikannya. Alangkah baiknya jika kita dapat menghimpunkan dua kebaikan dalam bulan Syawal ini, satunya dengan berpuasa enam dan keduanya dengan menghubungkan silaturrahim sesama kita. Wallahu a’lam. Sekian, wassalam.
Sumber :-
[1]Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, (8/56). Adapun pahala berpuasa sepanjang tahun diiktibarkan seperti berikut: Setiap amalan kebaikan digandakan dengan 10 dan ini bermakna 30 hari x 10 = 300 dan puasa sunat 6 x 10 = 60. Ini menjadikan jumlahnya 360 dan daripada perkiraan inilah dikatakan seumpama bepuasa sepanjang tahun (mengikut kiraan hijriyyah). Wallahu a’lam.
[2]Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, (6/379)
Dalam perkahwinan, setiap pasangan pasti mengimpikan kebahagiaan dan kesetiaan hingga ke akhir hayat. Namun, apabila si suami menyuarakan hasrat untuk berkahwin lagi, emosi isteri...