Seorang anak akan cuba membahagiakan kedua ibu dan bapanya.
Tunaikan haji guna wang pampasan takaful boleh jadi dari anak yang meninggal akibat kemalangan atau pasangan yang sakit dan sebagainya. Dalam hal ini apa hukumnya?
Persoalan ini dibangkitkan dalam soal jawab di laman web Maktabah Al-Bakri. Berikut adalah penjelasan yang diberikan oleh Datuk Dr Zulkifli Al Bakri yang juga bekas mufti Wilayah Persekutuan mengenai perkara tersebut.
Katanya sebagai seorang Muslim, Allah SWT mewajibkan ke atas setiap hamba-hamba-Nya untuk mencari rezeki daripada sumber yang halal dan baik serta sentiasa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan kepada mereka.
Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّـهِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah.”
(Surah al-Baqarah: 172)
Ibn Kathir berkata:
“Ayat ini jelas menunjukkan perintah Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman agar memakan makanan yang baik (halal) daripada apa yang telah Allah SWT rezekikan kepada mereka. Selain itu, mereka juga perlu bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan tersebut jika benar mereka itu adalah hamba Allah SWT. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/480)
Takaful ialah pelan perlindungan berdasarkan prinsip syariah. Setiap pemegang polisi akan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan (tabarru‘).
Pemegang polisi akan menandatangani satu akad bagi membolehkan mereka menjadi peserta dengan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian yang telah ditetapkan.
Merujuk kepada persoalan di atas, wang yang diperolehi daripada syarikat takaful tersebut adalah hasil daripada kumpulan wang tabarru‘ daripada peserta-peserta.
Justeru, wang tabarru‘ tersebut adalah dibolehkan dan halal untuk dipergunakan dalam kehidupan seharian termasuklah dalam isu kos perbelanjaan untuk pelaksanaan ibadah haji.
Dalam kaedah fiqh ada dinyatakan:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإبَاحَة حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيم
Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus sehinggalah ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman.”
Kami berpandangan bahawa, dibolehkan untuk menggunakan wang pampasan takaful dalam melaksanakan ibadah haji. Hal ini kerana wang pampasan takaful itu juga adalah termasuk daripada sumber yang halal. Justeru, penggunaannya di dalam melaksanakan ibadah haji turut dibolehkan.
Artikel berkait: ‘Dapat Panggilan Tapi Saya Reject.’ Tolak Tawaran Haji Kedua, Hendak Beri Peluang Kepada Orang Lain
Sumber: Maktabah Al-Bakri