Biasa bila berlaku kematian, kita akan mendengar waris menyebut begini.
“Bagi pihak ayah atau ibu saya, kalau mereka ada berhutang, minta dihalalkan atau datanglah bertemu ahli waris untuk menuntut hutang yang dipinjam oleh arwah sebelum membawa jenazah ke tanah perkuburan.
Persoalannya, benarkah hutang yang ditinggalkan oleh kedua ibu bapa wajib dibayar oleh anak? Bagaimana jika si mati tidak meninggalkan sebarang harta dan anak-anak juga tidak berkemampuan membayar hutang ditinggalkan oleh ibu bapanya?
Tahukah anak TIDAK WAJIB MEMBAYAR HUTANG IBU BAPANYA kerana hutang wajib dibayar oleh penghutang semasa hayatnya secara berdikit-dikit dan bukan membiarkan hutang begitu sahaja. Namun jika anak berkemampuan membayar hutang dibuat ibu bapanya, itu dikira sedekah dari si anak untuk orang tuanya.
Ikuti penjelasan dari Pejabat Mutfi Wilayah Persekutuan mengenai hutang ibu bapa dan penjelasan video dari Ustaz Abdul Somad dalam perihal hutang ini.
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Ayah saya ada berhutang banyak dengan orang. Dan setahu saya roh orang yang berhutang akan tergantung sehingga dia langsaikan hutang. Dalam isu ini, bagaimana penyelesesaian sedangkan saya tiada duit untuk langsaikan hutang ayah saya?
Jawapan :-
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam isu ini, kami mulakan dengan hadis Nabi SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
Maksudnya: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”
Riwayat Ibnu Majah (2413), al-Tirmizi (1079) dan al-Baihaqi (6891)
Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadis ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193 dan Mir’at al-Mafatih, 8/152)
Justeru, menjawab persoalan di atas, hendaklah dilangsaikan hutang terlebih dahulu. Adapun anak yang mampu untuk melangsaikan hutang ayahnya, maka ia termasuk dari berbakti dan berbuat baik serta ihsan kepada ibu bapanya. Sudah pasti pahalanya cukup besar. Rasulullah SAW pernah mengkiaskan isu berkenaan ibadat yang ditinggalkan oleh ibu sahabat dengan hutang yang wajib dilangsaikan seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:
Maksudnya: Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, Sesungguhnya ibuku telah meninggal, dan dia mempunyai puasa (yang belum diganti) selama sebulan, apakah aku perlu tunaikan untuknya? Lalu baginda berkata: “sekiranya ibumu mempunyai hutang, apa kau akan bayar hutang untuknya?” Lelaki itu berkata: “Ya”. Maka berkata Nabi SAW: “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan” Riwayat Muslim (1148)
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menoktahkan beberapa perkara berkaitan hutang:
Jangan berhutang kecuali amat memerlukan. Elakkan hutang menjadi hobi atau kebiasaan seperti nasihat sahabat Nabi SAW yang bernama Uqbah ibn Amir R.A, antara lain katanya: Jangan kamu berhutang sekalipun kamu terpaksa pakai kain bulu.”
Jika perlu berhutang, maka berhutanglah pada kadar yang minimum serta dalam kadar kemampuan untuk melangsaikannya.
Hendaklah menulis hutang yang dilakukannya berserta saksi sebagaimana irsyad daripada nas Ilahi:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu (Surah al-Baqarah: 282)
Ads
Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/411) Imam al-Sa’di menyatakan ayat ini mengandungi hukum yang besar dan bermanfaat dari aktiviti merekod hutang bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar. (Rujuk Tafsir al-Sa’di, 1/118).
Imam al-Maraghi menyebut, suruhan seperti ini lebih kepada menyuruh hambanya yang mukmin untuk menjaga hutang piutang mereka merangkumi akad pinjaman dan salam.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/551)
Hendaklah berniat dengan sungguh-sungguh untuk melangsaikannya dengan secepat mungkin. Daripada Maimunah binti al-Harith, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berhutang dan Allah tahu bahawa dia ingin menunai dan melangsaikannya, nescaya Allah memudahkan baginya.” Riwayat Ahmad (25840)
Mafhum daripada hadis ini menunjukkan kehendak untuk membayar hutang adalah diberi pertolongan oleh Allah berdasarkan niat yang baik. Bahkan dengan kehendaknya jua, kadang-kadang sekalipun berlaku halangan, tetapi tetap disampaikan oleh Allah berkenaan dengan bayaran tersebut. Dalam sebuah hadith yang masyhur, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah SAW bahawa beliau pernah mengisahkan:
Maksudnya: Bahawa terdapat seorang daripada Bani Israil yang meminjam wang seribu dinar kepada seorang Bani Israil. Orang yang meminjamkan berkata, “Datangkanlah saksi-saksi! Aku ingin mempersaksikan peminjaman ini kepada mereka.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai saksinya.” Orang yang meminjamkan berkata lagi, “Datangkanlah seorang penjamin.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai penjamin.” Orang yang meminjamkan berkata, “Kamu benar.”
Kemudian dia memberikan wang itu dalam tempoh tertentu. Kemudian orang yang meminjam wang itu pergi ke laut untuk memenuhi hajatnya. Dia pun mencari perahu untuk dinaikinya bagi menghantar wang pinjamannya yang sudah sampai tempoh pembayarannya. Namun dia tidak mendapatinya. Kemudian dia mengambil kayu dan membuat lubang padanya. Lalu dia memasukkan ke dalamnya wang sebanyak seribu dinar bersama secarik tulisan yang ditujukan kepada pemilik wang. Kemudian dia melapisinya agar tidak terkena air. Lalu dia membawa kayu tersebut ke laut.
Dia berkata, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku telah meminjam wang seribu dinar kepada si fulan. Dia meminta penjamin daripadaku, kemudian aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai penjamin, dan dia pun rela. Dia memintaku mendatangkan saksi, lalu aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai saksi, dan dia pun rela. Sesungguhnya aku telah berusaha untuk mendapatkan perahu yang akan aku gunakan untuk menghantarkan wangku kepadanya, namun aku tidak mendapatkannya. Kini, kutitipkan wang itu kepada-Mu.” Kemudian dia melemparkan kayu itu hingga tenggelam. Dia pun pergi. Walaupun demikian, dia tetap berusaha mencari perahu yang menuju ke negerinya.
Orang yang meminjamkan wang pergi untuk menanti, barangkali ada perahu datang membawa piutangnya. Tiba-tiba dia menemui kayu yang berisi wang itu. Dia membawanya pulang sebagai kayu api untuk isterinya. Apabila dia membelahnya, dia menemui sejumlah wang dan secarik tulisan pesanan.
Sementara itu, si peminjam pun datang membawa seribu dinar. Dia berkata, “Demi Allah, sebelum aku datang sekarang, aku sentiasa berusaha untuk mencari perahu bagi menghantarkan wangmu kepadamu, namun aku tidak mendapat satu perahu pun sebelum aku tiba dengan menaiki perahu yang aku tumpangi ini.” Orang yang meminjamkan berkata, “Apakah kamu mengirimkan sesuatu kepadaku?” Peminjam berkata, “Aku telah sampaikan kepadamu bahawa aku tidak menemukan perahu, sebelum aku mendapatkannya sekarang ini?” Orang yang meminjamkan berkata, “Sesungguhnya Allah telah menghantarkan pinjamanmu yang kau letak dalam kayu. Maka gunakanlah wangmu yang seribu dinar itu dengan baik, maka bawalah kembali seribu dinarmu itu.” Riwayat al-Bukhari (2291)
Sentiasa berdoa kepada Allah untuk dimudahkan membayar hutang. Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah memasuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!” Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya, Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada waktu pagi dan petang bacaan ini:
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” Riwayat Abu Daud (4/353)
Semoga Allah selamatkan kita daripada sifat berhutang dan memudahkan untuk kita melangsaikan hutang. Amin
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Tonton video Ustaz Abdul Somad tentang hutang.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramai kalangan kita yang memelihara kucing di rumah. Bukan saja seekor malah ada yang berbelas ekor kucing. Dalam keadaan ini dah tentu tidak dapat mengelak bulu kucing ini melekat pada pakaian.Tapi bagaimana pula kalau pakaian ini digunakan Waktu solat, adakah solat sah?
Saya ada memelihara beberapa ekor kucing di rumah saya. Kadangkala apabila saya sedang solat, kucing tersebut datang menggosok-gosokkan badannya ke telekung saya sehingga meninggalkan beberapa helai bulu. Soalan saya, adakah sah solat saya dengan ada beberapa helaian bulu kucing itu pada pakaian saya? Adakah perlu saya mengulang kembali solat tersebut.
Kesucian bulu binatang
Allah SWT memberikan keringanan berkaitan hukum berkaitan kucing dengan menyifatkannya sebagai haiwan yang suci kerana ia sifatnya suka berkeliaran di sekitar manusia. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya kucing bukanlah najis kerana ia adalah haiwan yang berkeliaran di sekitar kamu. Riwayat al-Tirmizi (92)
Menurut al-Ruyani, hadis di atas menjelaskan kepada perbezaan kesucian antara kucing dan anjing. Kucing dianggap haiwan yang suci kerana sering berkeliaran di sekitar manusia, manakala anjing dianggap najis kerana bukan tergolongan dengan sifat sedemikian.[1]
Di samping itu juga, Imam al-Nawawi menyebutkan bekas air (baki air yang diminum) oleh kucing adalah suci dan harus untuk digunakan.[2]
Seterusnya, perbahasan tentang status kesucian bulu binatang adalah bersandarkan kepada jenis binatang tersebut sama ada ia daripada golongan yang halal dimakan ataupun tidak.
Sekiranya bulu tersebut gugur atau tercabut daripada haiwan yang boleh dimakan seperti bulu ayam, bulu kambing dan bulu lembu, maka hukumnya adalah suci. Manakala jika bulu gugur atau tercabut daripada haiwan yang tidak boleh dimakan seperti kucing dan keldai, atau daripada haiwan yang boleh dimakan selepas dia mati, maka hukumnya adalah najis. Hal ini sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Ghamrawi bahawa:
والجزء الْمُنْفَصِل من الْحَيّ كميتته أَي ميتَة ذَلِك الْحَيّ فَإِن كَانَت ميتَته نَجِسَة فالجزء نجس وَإِلَّا فطاهر إِلَّا شعر الْمَأْكُول أَو صوفه أَو ريشه فطاهر أما الْمُنْفَصِل من غير الْمَأْكُول أومن مَأْكُول بعد مَوته فنجس.
Maksudnya: Bahagian yang terpisah daripada binatang yang hidup (hukumnya) seperti bangkai, iaitu bangkai daripada haiwan yang hidup itu. Jika bangkainya itu dalam kategori najis maka bahagiannya juga termasuk najis, melainkan jika ia tidak terpisah ketika hidup hukumnya adalah suci.
Melainkan juga (bahagian yang terpisah ketika hidup) rambut binatang yang halal dimakan, bulu atau bulu kepaknya maka hukumnya adalah suci. Manakala bahagian yang terpisah selepas mati daripada binatang yang haram dimakan atau halal dimakan(mati bukan secara sembelihan) maka hukumnya adalah najis.[3] (Rujuk al-Siraj al-Wahhaj, 1:23)
Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa bulu kucing yang terpisah sama ada ketika ia hidup atau mati adalah najis kerana ia merupakan haiwan yang tidak boleh dimakan. Justeru, perlu dibersihkan pakaian yang terkena bulu-bulu kucing apabila seseorang ingin mendirikan solat.
Walau bagaimanapun, di sisi mazhab al-Syafie, bulu-bulu kucing yang sedikit yang melekat pada pakaian adalah termasuk dalam najis yang dimaafkan (al-ma’fuwat).
Kesimpulan
Jika terdapat beberapa helai sahaja daripada bulu kucing pada pakaian seseorang ketika solat, maka solatnya sah dan tidak perlu diulang kembali. Lebih-lebih lagi, jika situasi seseorang yang sukar mengelakkan diri daripada keadaan tersebut seperti orang yang membela banyak kucing, doktor veterinar, penjaga haiwan dan seumpamanya.
Namun begitu, digalakkan bagi mereka yang berada dalam situasi ini berusaha untuk menghilangkan bulu-bulu yang bersifat najis tersebut pada pakaian atau menukar pakaian yang suci sebagai langkah keluar daripada khilaf.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Pelan Imunisasi COVID–19 Kebangsaan yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi menggalakkan rakyat mendapatkan suntikan vaksin bagi membendung penularan wabak COVID-19 semakin rancak mendapat sambutan dari orang ramai. Ini terbukti apabila vaksin jenis AstraZeneca yang dilancarkan baru ini mendapat sambutan di mana sejuta vaksin habis ditempah dalam tempoh 1 jam.
Namun timbul isu bila masa ditetapkan tepat untuk menerima suntikan dibuat pada waktu solat khususnya waktu agak pendek seperti Maghrib. Penolong Ketua Mufti di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahrizdan Ben Agil mengulas isu ini dan budaya solat di tepi jalan yang banyak dibuat di negara Arab dan Eropah. Baca perkongsian darinya dipetik dari fbnya.
1) Ada kalangan rakyat Malaysia yang dapat jadual penggiliran vaksin jam 7.30 malam. Masa ini diketahui umum adalah waktu solat Maghrib. Jadi ada yang bertanya boleh atau tidak solat jamak ta’khir sebab takut tak sempat untuk solat maghrib.
2) Ada hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: وجعلت لي الأرض مسجدا وطهورا, yang bermaksud, “…dan bumi ini dijadikan untukku tempat sujud dan alat bersuci(tayammum)”.
3) Para ulama menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan antara kelebihan² yang Allah kurniakan kepada Rasulullah ﷺ dan umatnya, iaitu mereka boleh solat di mana² sahaja di atas muka bumi Allah, asalkan tempat itu suci dari najis. Sedangkan umat² terdahulu tidak boleh mendirikan solat di tempat sebarangan.
4) Jawapan saya, tiada keperluan solat jamak di sini kerana alasan belum cukup kukuh untuk membenarkannya. Para ulama tidak bermudah² meletakkan syarat solat jamak bukan dalam situasi musafir, apatah lagi untuk mereka yang masih berkesempatan untuk mendirikan solat pada waktunya.
5) Pilihan di tangan kita semua, kita boleh solat di mana² hanya tinggal bawa sejadah atau seumpamanya. Kalau tanpa sejadah sekali pun sebenarnya tiada masalah asalkan tempat itu suci dari najis. Ini kerana hukum asal sesuatu tempat itu adalah suci melainkan terdapat bukti kukuh bahawa ia kawasan bernajis.
6) Banyak sekali hadis yang menunjukkan Nabi ﷺ solat di atas tanah tanpa lapik dan ada sahabat RA ternampak Baginda ﷺ mengusap dahinya untuk buang pasir yang melekat. Bahkan ada sebilangan sahabat terlihat tanah basah melekat di dahi Baginda ﷺ yang mulia kerana sujud di atas tanah yang basah ketika hujan turun di Madinah.
7) Oleh itu, solat tidak semestinya didirikan di musolla, surau dan masjid. Ada banyak hadis yang membuktikan Rasulullah ﷺ solat di merata tempat selain dari masjid dan musolla. Oleh itu, tidak sepatutnya alasan “tiada surau” menjadi penghalang untuk kita untuk melaksanakan tanggungjawab kita terhadap Allah.
8)) Masa atau waktu juga tidak boleh dijadikan alasan. Allah ta’ala telah menetapkan setiap solat fardu itu yang telah ditetapkan waktunya. Jika tidak dapat dilaksanakan awal, boleh dilaksanakan waktu pertengahan dan penghujungnya asalkan tidak keluar dari waktu solat.
9) Ada hadis yang diriwayat oleh Imam Muslim bahawa Rasulullah ﷺ pernah mendirikan solat di penghujung waktu solat (waktu solat hampir tamat) untuk mengajar seorang sahabat tentang waktu solat. Fuqaha menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan fleksibiliti mendirikan solat pada waktunya yang ditetapkan.
10) Apa-apa pun lihat pada keadaan dan kesesuaian, bahkan anda boleh membuat agakan waktu yang untuk mendirikan solat. Mungkin dijangkakan selepas tamat proses vaksinasi anda masih ada waktu untuk mengerjakan solat Maghrib. Ada sahabat saya cerita bahawa dia dirikan solat di tepi kerusi menunggu giliran pengambilan vaksin. Dia kata tak ada masalah, ok je, sempat je nak solat di situ dan tiada siapa yang kacau.
11) Perlu diingat, Rasulullah ﷺ memberi contoh yang wajar kita ikuti dari segala sudut kehidupan, apatah lagi urusan ibadah. Nabi ﷺ amat menitik beratkan solat didirikan pada waktunya. Baginda ﷺ tidak menjamakkan solat melainkan dalam situasi tertentu sahaja. Oleh itu bagi saya, tidak wajar kita bermudah² dalam ibadah.
12) Saya faham, budaya solat tepi jalan bukan satu kebiasaan orang² kita di tanahair. Mungkin ramai yang segan. Sampai bila kita nak segan, masa nilah kita nak membiasakan budaya yang baik dan menunjukkan Islam agama yang mudah dan tidak membebankan penganutnya untuk beribadah. Ikut pengalaman saya, budaya solat di jalanan satu perkara yang biasa di negara² Arab dan negara² Eropah. In Syaa Allah boleh amalkan dan tak perlu rasa segan. Masa inilah ia perlu dibudayakan.
Kalau ziarah kubur, jangan lupa siram air atas pusara insan tersayang. Memang rata-rata antara kita menjadi tabiat atau tradisi akan menyiram air selepas ziarah kubur arwah keluarga.
Namun begitu, apakah hukumnya bila seseorang itu melakukan perbuatan ini. Sebab ada di kalangan kita bukan sekadar menyiram air biasa, malah menyiram air mawar serta menabur bunga-bungaan.
Memetik perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persetuan, secara umumnya, ramai ulama Syafie berpendapat hukumnya harus bahkan ada pendapat menyatakan sunat kerana perbuatan Rasulullah SAW itu. Tetapi penggunaan air mawar pula dianggap sebagai makruh kerana dengan sebab pembelian dan pembaziran.
Kami nukilkan daripada kitab I’anah al-Talibin (2/135-136). Antara lain menyebut: “Dan (disunatkan) menyiram (menjirus) kubur dengan air agar debu-debu tanah tidak ditiup angin dan kerana bahawasanya Nabi SAW melakukan sedemikian pada kubur anakanda Baginda SAW, Saidina Ibrahim sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Syafie dan juga pada kubur Saad bin Muaz sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah.
Dan Nabi SAW telah memerintahkan dengannya (iaitu dengan menjirus air) pada kubur Saidina Uthman bin Mazh’un sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi.
Manakala yang mustahab adalah air tersebut suci lagi menyucikan dan sejuk (air mutlak) sebagai tafa’ul mudah-mudahan Allah menyejukkan kubur si mati.
Dan makruh menyiram atau menjirus air dengan air mawar atau seumpamanya kerana perbuatan tersebut adalah satu pembaziran dan mensia-siakan harta.”
Jangan Lupa Siram Air
Justeru, bagi mereka yang ingin melakukan dibolehkan dan lebih penting daripada itu adalah untuk berdoa kepada si mati kerana sabitdalam nas yang sahih.
Di samping itu menurut Ustaz Azhar Idrus, hukum menyiram kubur adalah bergantung kepada niat. Ini perkongsiannya:
Siram air atas kubur untuk ‘sejukkan mayat’?
Atau siram air atas kubur kerana kebersihan?
Kenapa perlu siram air atas kubur? Apa tujuan?
‘Saya tengok… Orang ziarah kubur mesti bawak air.’ Ada orang kata siram air atas kubur untuk sejukkan mayat.
Jika kita percaya, adakah lari akidah kita? Mohon penjelasan
Ulama ada menyebut, hukum jirus air atas kubur adalah harus tetapi dengan syarat. Tujuannya ialah:
1. Sebab baru tanam atau jenazah baru dikebumikan, kita jirus supaya tanahnya kemas.
2. Yang kedua, menghidupkan bunga-bunga, pokok-pokok yang hidup di sekitar kawasan kubur arwah supaya ia hidup lebih subur. Ketahuilah bahawa setiap yang hidup bertasbih kepada Allah. Dalam masa yang sama, tumpang rahmat kepada si mati jika Allah izinkan.
3. Yang ketiga supaya tanah di kawasan kubur tidak kering dan berdebu.