Hidup dan mati kita semua ditentukan Allah. Usia muda atau tua bukan faktor penentu kita menemui ajal.
Ada yang meninggal di usia muda kebetulan pula berharta dan malang lagi tidak sempat uruskan pembahagian harta terutama untuk isteri, suami dan anak-anak tercinta.
Di kalangan orang Melayu Islam kita, bab harta pusaka ini sememangnya menjadi agak sensitif untuk dibawa bincang ditambah pula pemilik harta baharu meninggal dunia. Tidak kiralah suami yang baru anda kahwini mahupun ayah atau ibu yang terlantar sakit meninggal dunia.
Artikel berkaitan: “Hargai Mak Ayah, Jangan Masa ‘Claim’ Harta Baru Nak Balik” Kisah Lelaki ini Bantu Ibu Tua Hidup Sendiri Undang Simpati
Tak pelik ada kes berebut harta di kawasan perkuburan, putus tangan disabit, maut ditetak, cedera disimbah asid dan petaka lain lagi dek kerana harta pusaka yang tidak diurus awal oleh si mati.
Bertambah malang jika kita baharu sahaja mendirikan rumahtangga, suami tak sempat uruskan hartanya akhirnya kita berputih mata.
Diriwayatkan dari Salim, dari Ibn ‘Umar r.a., bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah pantas seorang Muslim yang mempunyai sesuatu akan diwasiatkan lalu dia tinggal sampai tiga malam. Kecuali wasiatnya itu telah tertulis padanya. “ Abdullah bin ‘Umar r.a berkata,”Sejak saya mendengar Rasulullah SAW bersabda demikian, tidak ada satu malam pun berlalu, kecuali saya telah menulis wasiat saya,” (5:70-Shahih Muslim)
Untuk anak-anak muda atau sesiapa sahaja, pastikan anda ambil tahu hal ini, kerana hak anda pun ada pada harta pusaka itu.
Sebahagian dari masyarakat beranggapan bahawa adalah tidak wajar membahagikan harta pusaka terlalu awal, kononnya “tanah kubur masih merah”. Jika terdapat salah seorang waris yang menyarankan agar pembahagian dan penyelesaian harta itu dibuat dengan segera, biasanya dia akan dipandang serong oleh waris-waris yang lain, dituduh sebagai tidak beradab, tidak menghormati si mati dan sebagainya.
Untuk mengelakkan perkara ini, akhirnya semua waris mengambil sikap berdiam diri dan menanti-nanti bilakah perkara itu akan diselesaikan dan siapakah yang patut memulakannya.
Anak sulung yang selalunya menjadi tumpuan hanya berdiam diri. Penantian ini kadangkala memakan masa yang lama sehingga bertahun-tahun. Ini adalah satu tanggapan yang salah dan bertentangan dengan syarak kerana pembahagian pusaka perlu disegerakan supaya dapat ditentukan hak waris-waris.
Masyarakat Melayu terkenal dengan sifat bersopan santun yang tinggi nilainya. Mereka amat berhati-hati agar tidak dikatakan orang sesuatu yang tidak baik terhadap mereka. Dalam kes penyelesaian harta pusaka ini umpamanya, masing-masing takut untuk bersuara, bertanyakan tentang harta pusaka nanti akan dituduh berkehendakkan harta, tamakkan harta.
Justeru itu masing-masing membiarkan harta pusaka tersebut sehingga sekian lama tanpa menyelesaikannya. Dengan bersifat demikian, mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka untuk membahagikan pusaka, sekaligus mereka juga telah mengabaikan tuntutan agama supaya menyegerakan pembahagian pusaka.
Dengan ini bermakna mereka telah mengenepikan agama semata-mata kerana adat bersopan santun yang bukan pada tempatnya.
Artikel berkaitan: “Duit Berjuta Dalam KWSP Tak Guna Kalau Tiada Penama. Sijil Nikah Atau Mati Pun Tak Cukup Nak Buat Pengeluaran”
Kekurangan pengetahuan dan maklumat ini boleh ditafsirkan kepada dua maksud. Pertama, waris-waris tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang proses pembahagian harta pusaka sama ada dari segi hukum atau undang-undang. Mereka tidak tahu apakah yang harus mereka lakukan, ke mana dan kepada siapa harus dikemukakan perkara tersebut.
Kedua, mereka tidak tahu tentang risiko dan implikasi dari tindakan mereka menangguh-nangguhkan pembahagian harta pusaka. Mereka menganggap tidak ada apa-apa kesan dari segi hukum mahupun undang-undang.
Tanggapan bahawa tugas menyelesai harta pusaka ini merupakan satu tugas yang remeh temeh. Mereka mengambil sikap endah tak endah (adamant attitude) dan menganggap bahawa menangguhkan penyelesaian harta pusaka ini tidak mendatangkan sebarang kesan, baik dari segi hukum atau undang-undang. Mereka tidak prihatin terhadap tuntutan agama yang menuntut mereka agar menyegerakan pembahagian pusaka.
Sebab itulah kadangkala harta pusaka itu dibiarkan sehingga begitu lama tidak diselesaikan. Mereka hanya mahu menyelesaikannya apabila sesuatu yang menguntungkan bakal menemui mereka, misalnya apabila harta tersebut hendak dijual, digadai atau diambil balik oleh kerajaan dan mendapat wang pampasan.
Selalunya keadaan demikian berlaku ke atas hartanah. Mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab untuk menyelesaikannya, kerana tanah tidak ke mana. Selagi tidak terdesak selagi itulah tanah tersebut dibiarkan.
Pertelingkahan sesama waris juga merupakan salah satu sebab mengapa harta pusaka dibiarkan dan tidak diselesaikan dengan segera. Pertelingkahan mungkin wujud sebelum berlaku kematian dan berlarutan. Apabila berlaku kematian, waris-waris yang bertelingkah itu tidak dapat bersua muka di antara satu sama lain apatah lagi bertanya khabar tentang harta pusaka atau berbincang mengenainya.
Pertelingkahan mungkin juga wujud selepas kematian. Mungkin ada di antara waris-waris yang tidak puas hati di dalam sesuatu perkara semasa pengurusan jenazah misalnya atau ada yang sengaja untuk cuba menguasai atau membolot harta-harta simati untuk kepentingan dirinya sendiri. Ini berlaku akibat dari rasa tamak dan haloba dan kadangkala sayangkan harta itu supaya tidak jatuh ketangan orang lain. Akibatnya harta pusaka tidak dibahagi dan dibiarkan.
Ini salah satu sebab yang juga menyumbang kepada kelewatan penyelesaian harta pusaka tetapi kurang diberikan perhatian. Ada kes yang berlaku, di mana waris-waris tidak puas hati dengan sikap simati semasa hayatnya yang tidak berlaku adil terhadap anak-anaknya. Ada anak yang diberi layanan dan perhatian baik dan ada yang sebaliknya.
Ada juga anak yang telah diberi hibbah (pemberian semasa hidup) dan ada yang tidak diberi, atau diberi tetapi secara tidak adil dan berbagai perkara lagi. Hal-hal seumpama ini juga akan menyebabkan sebahagian waris merasa jauh hati dan tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada penyelesaian harta pusaka itu.
Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh seorang Pegawai Pembahagian Pusaka yang membuat ijazah sarjana mendapati, 81% daripada waris-waris yang disoal siasat mempunyai hubungan yang baik dengan waris yang lain, dan tidak mempunyai apa-apa masalah yang boleh mengakibatkan berlakunya kelewatan permohonan untuk menuntut pusaka, tetapi apabila disoal siasat beliau mendapati sikap pemohon itu sendiri yang menyebabkan berlakunya kelewatan di mana ada di kalangan mereka yang tidak mahu menyusahkan diri, berasa selesa dengan keadaan semasa.
Mereka ini adalah di kalangan orang yang mendudukki tanah pusaka atas nama simati. Mereka menjadi berat hati dan takut untuk memohon pusaka kerana takut tanah yang didudukki mereka akan dituntut oleh waris-waris lain. Oleh yang demikian untuk mengelakkan wujudnya hubungan tidak mesra di antara waris, maka lebih elok tanah tersebut kekal dengan nama si mati.
Kajian juga mendapati seramai 55% daripada waris yang disoal mengakui dan bersetuju bahawa mereka mengharapkan waris yang tertua (anak sulung) yang akan membuat tuntutan harta pusaka. Waris lain hanya tunggu dan lihat. Oleh kerana anak sulung tidak mengambil apa-apa tindakan, berlakulah kelewatan dalam permohonan pusaka.
Sumber: instun