Apa Dimaksudkan Adab Sebelum Ilmu? DJ Mohon Maaf & Tak Tahu Guru Mengajar Secara Sukarela

Share

Tular di media sosial perihal seorang penyampai radio Hitz FM Sarawak yang sengaja ketawa besar tatkala melihat video cara pertuturan bahasa Inggeris seorang guru yang mengajar di DidikTV.

Dapat dilihat seolah-olah dirinya cuba memperlekehkan cara guru berkenaan menyampaikan ilmu. Bagaimana pun tindakannya itu menerima kecaman hebat dari netizen hingga pihak pengurusan Hitz FM Sarawak bertindak menggantung tugasnya serta merta. Mereka menyifatkannya tidak tahu adab. Ada yang menyuruhnya mempelajari dahulu adab berbanding ilmu.

Susulan kecaman yang diterima, penyampai radio tersebut Muhammad Yusuf Shukri tampil memohon maaf di video fbnya dan mengakui tindakannya tidak wajar. Malah dirinya mengakui baru tahu bahawa guru berkenaan mengajar secara sukarela demi memberi ilmu kepada anak bangsa.

“Saya baru tahu bahawa guru-guru mengajar di hadapan kamera secara sukarela hanya untuk membantu generasi muda sekarang. Jadi saya rasa perbuatan mengelakkan guru tersebut sangat tidak patut dan keterluan,” jelasnya.

Di sebalik peristiwa ini, ada sesuatu yang kita semua harus tahu.

Apa ada di sebalik perkataan ADAB SEBELUM ILMU yang kita semua harus belajar hari ini?

“Orang beradab sudah pasti berilmu, orang berilmu belum tentu beradab.”

Perbezaan manusia dengan binatang adalah akal atau ilmu. Tetapi yang lebih tinggi dari ilmu ialah adab atau akhlak. Kerana seberapa pun banyaknya ilmu tanpa disertai adab yang baik akan boleh menjadikan manusia berperilaku seperti binatang (menurut hawa nafsu serakah, tamak, kejam dan tercela sikapnya)

Imam Malik rahimahullah pernah berkata pada seorang pemuda Quraisy,

“Pelajarilah adab sebelum mempelajari suatu ilmu.”

Kenapa para ulama menyuruh kita dahulukan mempelajari adab?

Sebagaimana Yusuf bin Al Husain berkata,

“Dengan mempelajari adab, maka engkau jadi mudah memahami ilmu.”

Sebegitu pentingkah mempelajari adab, baru ilmu kemudian?

Dalam kehidupan masa kini, mungkin kita pernah menjumpai orang yang pandai, tapi sombong. Cerdas iq tapi tak berperilaku baik. Pandai, tapi adab terhadap orang tua/gurunya kurang.

Dalam kes ini kita akan memandang rendah kepada dirinya kerana budi pekertinya tidak sama dengan kepandaiannya.

Ia samalah macam budaya rasuah. Ada jawatan tinggi, bijak pandai tapi ambil rasuah walau tahu rasuah itu haram. Ada juga kes kita mendengar pelajar melawan guru, tidak sopan hanya kerana merasakan ibu bapanya berjawatan lebih tinggi dari guru berkenaan.

Sebab itulah mengapa kita harus mengutamakan adab dahulu berbanding ilmu.

Apa dimaksudkan dengan adab?

Adab bermaksud (Bahasa Arab: أدب ) dalam konteks perilaku, perbuatan, kebaikan, kesantunan, moral, sopan santun, kesusilaan dan kemanusiaan. Dalam erti kata mudah berkait akhlak yang mulia. Sebab itulah kita harus memiliki adab sebelum memiliki ilmu.

Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:

أكملُ المؤمنين إيمانًا أحسنُهم خُلقًا

“Kaum Mu’minin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya” (HR. Tirmidzi no. 1162, ia berkata: “hasan shahih”).

Jelas dikatakan, sebaik-baik manusia yang paling baik adalah akhlaknya. Oleh kerana itu, untuk menjadi sebaik-baik manusia perbaikilah akhlaknya.

Sebenarnya soal adab sangat luas. Bukan hanya dalam menuntut ilmu saja. Dalam hal ini, dengan mengutamakan adab sebelum menuntut ilmu menjadikan ilmu yang selama ini kita pelajari penuh baroqah. Jadi tidak adalah penat menuntut ilmu tapi lemah dari segi adab dan akhlak. Namun dengan memahami adab dan akhlak yang baik, akan memudahkan kita menuntut ilmu.

Apa dia adab sebelum menuntut ilmu?

  1. Mengikhlaskan niat dalam menuntut ilmu. Semata-mata hanya mengharap redha Allah, bukan tujuan duniawi.
  2. Membersihkan diri dari akhlak-akhlak tercela, dan hati yang kotor seperti hasad (dengki), riak, ujub (kagum pada diri sendiri), meremehkan orang lain, dendam dan berdusta.
  3. Fokuskan bahawa kita ingin menuntut ilmu untuk bermanfaaat di hari akhirat. Banyakkan berdoa agar ilmu kita peroleh itu amat bermanfaat.
  4. Makanan yang halal kerana ia mempengaruhi kita memahami ilmu.
  5. Tidur secukupnya, 8 jam sehari untuk kita tak mudah lupa.
  6. Sentiasa bersungguh-sungguh untuk menyibukkan diri dengan ilmu, kena banyak membaca , menelaah, menghafal, mengulang pelajaran dan aktiviti lainnya.
  7. Memanfaatkan sebaik-baik waktu masa terlupa dan ketika badan sihat (usia mua dan fikiran masih cergas)

Sumber : HIMATIKA Syahid

Published by
almaswa Haji Che Ros