Berwuduk adalah syarat sah solat. Namun ada sebahagian dari kita mungkin bersikap sambil lewa melalukan air di bahagian wajib digosok. Berikut adalah penjelasan dari Mufti Wilayah berkaitan soalan, sahkah wuduk sekiranya seseorang itu hanya melalukan sahaja air ke bahagian tangan dan kaki tanpa menggosok anggota wuduk tersebut? Bagaimanakah pula dengan mandi wajib?
Jawapan:-
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Berwuduk merupakan salah satu dari syarat sah solat dan hukumnya adalah wajib. Ini seperti yang disebutkan menerusi firman Allah S.W.T :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat maka basuhlah muka-muka kamu serta tangan-tangan kamu sehingga ke bahagian siku. Dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke bahagian buku lali.Surah Al-Ma’idah (6)
Ayat di atas ini menjelaskan beberapa anggota yang wajib dibasuh dan disapu dalam wuduk. Iaitu muka, kedua tangan sehingga ke siku, kepala, serta kaki sehingga ke buku lali. Dua lagi perkara fardhu dalam wuduk adalah niat dan juga tertib.
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, isu ini sebenarnya melibatkan perbahasan para ulama fekah berkenaan hukum menggosok anggota wuduk setelah dikenakan air padanya.
Dalam bahasa arab perbuatan ini disebut sebagai الدلك. Dari sudut bahasa, ia membawa maksud : Melalukan tangan kepada anggota. Rujuk Mu’jam Maqayis al-Lughah, Ibn Faris (2/297).
Dalam mazhab Imam al-Syafi’e, perbuatan menggosok anggota wuduk untuk meratakan air adalah termasuk dalam kategori perkara-perkara sunat ketika berwuduk. Imam Al-Nawawi ketika menghuraikan beberapa perkara sunat dan mustahab di dalam berwuduk beliau berkata:-
وَأَنْ يُدَلِّكَ الْأَعْضَاءَ
Maksudnya : Dan seseorang itu menggosok anggota wuduk. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (1/465).
Begitu juga dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji (1/59) menyebutkan bahawa antara perkara sunat dalam wuduk adalah الدلك ini. Iaitu melalukan tangan ke atas anggota ketika membasuhnya. Para penulis kitab berhujah menggunakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid R.A beliau berkata :-
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ فَجَعَلَ يَقُولُ هَكَذَا يَدْلُكُ
Maksudnya : Sesungguhnya Nabi S.A.W berwuduk kemudian baginda melakukan begini, iaitu baginda menggosok (anggota wuduk).Riwayat Ahmad (16441).
وَأُحِبُّ لَهُ أَنْ يُدَلِّكَ مَا يَقْدِرُ عَلَيْهِ مِنْ جَسَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ وَأَتَى الْمَاءُ عَلَى جَسَدِهِ أَجْزَأَهُ
Maksudnya : Dan aku suka sekiranya dia menggosok kadar yang dia mampu dari bahagian badannya. Namun sekiranya dia tidak melakukannya dan mengenakan air kepada anggota tubuhnya maka itu telah mencukupi. Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (1/57).
Seperti yang kita ketahui, wuduk dan juga mandi wajib keduanya adalah sama dari sudut keduanya mengangkat hadas. Wuduk mengangkat hadas kecil dan mandi wajib mengangkat hadas besar. Justeru, keadaannya adalah sama dari sudut selama mana seseorang itu mengenakan air sahaja kepada anggota badan dan tidak menggosoknya, maka yang demikian itu telah memadai dan mencukupi.
Penutup
Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum menggosok anggota wuduk setelah mengenakan air ke anggota wuduk adalah sunat. Justeru, sekiranya seseorang yang berwuduk sekadar mengenakan air kepada anggota wuduknya seperti meletakkan tangan atau kaki di bawah air paip, maka wuduknya adalah sah. Demikian juga sama hukumnya ketika mandi wajib.
Meskipun begitu, sekiranya tanpa menggosok anggota badan semasa wuduk atau mandi wajib akan menyebabkan air tidak kena kepada anggota tersebut, maka dalam keadaan ini hukum menggosok anggota wuduk atau badan tersebut adalah wajib.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.