Ramai wanita berkerjaya memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah sebelum berkahwin. Pembelian rumah dianggap sebagai satu pelaburan jangka panjang dan tidak rugi pun memilikinya.

Namun ramai yang kurang pasti, adakah harta yang dibeli sebelum berkahwin akan jatuh sepenuhnya kepada suami atau perlu dibahagikan kepada waris lain. Kita ikuti penjelasan daripada pejabat Mufti Wilayah Persekutan.

Soalan
Assalamualaikum Dato’ Mufti. Sekiranya isteri ada membeli rumah sebelum berkahwin, adakah selepas kematian isteri, suami berhak ke atas kediaman tersebut melalui faraid walaupun suami tidak penah bayar duit installment  bulan-bulan, bahkan tak tahu pun kewujudan rumah tersebut?

Arwah Isteri Beli Rumah Semasa Bujang, Berapakah Faraid Suami?

Jawapan
Waalaikumussalam. Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT atas segala nikmat diberikan serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW

Apabila seseorang meninggal dunia, segala hartanya akan diklasifikasikan sebagai harta pusaka. Harta pusaka atau harta peninggalan ialah semua harta yang mempunyai nilai dan dimiliki semasa hayatnya serta berterusan sehingga kematiannya.

Berdasarkan penetapan daripada pihak Baitulmal MAIWP harta-harta itu termasuklah:

  • Semua harta yang diperolehi secara halal melalui jual beli, hibah, wasiat, pembahagian pusaka, hadiah, sedekah dan sebagainya.
  • Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati.
  • Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematiannya.
  • Dividen/faedah yang terbit daripada harta si mati.
  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Barang yang terbit selepas kematiannya dari usaha semasa hayatnya, misalnya ikan yang masuk ke dalam bubu yang ditahan oleh si mati.

Berdasarkan pembahagian kategori harta di atas, kediaman yang dibeli isteri sebelum berkahwin dan berterusan menjadi hak milik isteri selepas berkahwin merupakan harta yang dikategorikan sebagai harta pusaka yang wajib dibahagikan kepada ahli waris yang mempunyai perkaitan atau disebut sebab perwarisan.

IKLAN

Artikel berkaitan: Beli Rumah Baharu? Pilih Kediaman Patuh Syariah Islam

Artikel berkaitan: Harta Faraid, Ujian Jaga Amanah  Tak Lupa Tanggungjawab Peguam Kongsi Pengalaman Urus Pembahagian Harta

Antara ahli waris utama yang mempunyai bahagian harta pusaka ialah suami, anak-anak (lelaki dan perempuan) dan ibu bapa. Jika kesemua ahli waris ini ada dan masih hidup, maka harta si mati akan dibahagikan keseluruhannya kepada mereka selepas ditolak kos pengurusan jenazah si mati, hutang-piutang dan wasiat yang ditinggalkan.

Sementelahan itu, rumah yang dibeli isteri di atas tidaklah menjadi hak milik penuh si suami. Sebaliknya akan dibahagikan berdasarkan ketetapan Syarak.

Sebagai contoh, jika kita mengandaikan kesemua ahli waris seperti suami, seorang anak lelaki, dua orang anak perempuan dan ibu bapa si mati masih ada.

IKLAN

Suami, ibu dan bapa si mati akan dapat bahagian masing-masing terlebih dahulu. Kemudian, keseluruhan baki harta (BH) akan diberikan kepada anak lelaki dan anak perempuan dengan nisbah anak lelaki dua kali ganda anak perempuan.
Pembahagiannya seperti berikut:

Arwah Isteri Beli Rumah Semasa Bujang, Berapakah Faraid Suami?

Jika si mati hanya mempunyai aset sebuah rumah sahaja dan nilai harga semasa rumah tersebut ialah RM700,000 contohnya.

Maka, suami hanya dapat 9/36 bahagian rumah sahaja, berjumlah kira-kira RM175,000. Selebihnya diberikan kepada ahli waris seperti yang tertera pada jadual di atas.

Artikel berkaitan: Akhirnya Kemelut Pembahagian Faraid Ternoktah. Balu Abam Lega.

IKLAN

Situasi akan berbeza jika sebelum isteri meninggal dunia, isteri sudah menjual atau menukar hak pemilikan rumah kepada orang lain.

Kesannya, rumah tersebut tidak tergolong di bawah harta pusaka lagi dan ahli waris tidak layak menuntut harta tersebut.

Arwah Isteri Beli Rumah Semasa Bujang, Berapakah Faraid Suami?

Kesimpulannya, suami mempunyai hak terhadap aset rumah si mati sebanyak 1/4 bahagian sahaja.

Pembelian rumah sebelum berkahwin ataupun selepas berkahwin tidak memberi kesan terhadap kelayakan suami mendapat bahagian harta pusaka rumah tersebut melainkan rumah tersebut sudah dipindah milik kepada orang lain.

Wallāhuaʿlam.

Sumber: muftiwp

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI