Tragedi melibatkan empat penunggang motosikal meninggal dalam kejadian di Pulau Pinang malam semalam menarik perhatian ramai. Ramai melontarkan pelbagai pendapat mengenai aksi perbuatan mereka itu.
Dalam pada itu, isteri kepada salah seorang mereka yang terlibat dalam kemalangan itu, Norhanazielah Hanazi, 28 tidak dapat menahan kesedihan dan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa arwah suaminya, Muhamad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25, pada pukul 4.30 pagi semalam.
Ini kerana suaminya masih sempat bertanya khabar anak-anak pada jam 2 pagi sebelum kejadian menimpa. Masa yang sama juga, kemalangan maut yang berlaku di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, Gelugor itu juga menambah sedih di hatinya kerana arwah suaminya tidak sempat menatap wajah anak ketiga mereka yang dijangka lahir pada minggu hadapan.
Dalam pada itu, Norhanazielah Hanazi, 28, memaklumkan, dirinya pergi ke lokasi kejadian walaupun dalam keadaan sarat mengandung untuk melihat sendiri keadaan suaminya selepas dimaklumkan kejadian tersebut oleh rakan-rakan.
“Rasa sebak sangat Tambah sebak apabila anak-anak berusia lapan dan empat tahun menangis apabila diberitahu bapa mereka meninggal dunia.
“Saya pula sedang menghitung hari untuk bersalin anak ketiga kami yang dijadualkan pada 27 Julai ini. Arwah yang paling tidak sabar menanti kehadiran cahaya mata ini dan segala kelengkapan sudah siap dibeli,” katanya ketika ditemui semalam.
Norhanazielah memberitahu, arwah suaminya menghantar pesanan WhatsApp pada pukul 2 pagi untuk bertanyakan tentang keadaannya dan anak-anak.
Cerita wanita itu, sejak kebelakangan ini, arwah mahu sentiasa berdamping dengannya dan anak-anak di rumah.
“Dia sanggup tidak pergi kerja semata-mata mahu membawa kami berjalan-jalan dan makan,” katanya yang memberitahu suaminya bekerja sebagai runner.
Selain Muhamad Eizreel, turut terkorban dua rakannya iaitu Muhamad Shazwan Hakim Mohd. Abdul Sani, 22, dan Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19.
Jenazah Muhamad Eizreel dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda di Sungai Ara. -KOSMO! ONLINE
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ada Yang Pertikai Lafaz Akad Nikah Hanya Sebut ‘Aku Terima’, Ini Penjelasan Dr Zulkifli
Rentetan berita dan video pernikahan artis veteran terkenal baru-baru ini ada yang mempersoalkan lafaz akad nikah yang ringkas diucapkan oleh pengantin lelaki. Lafaz hanya ‘Aku Terima’ dilihat terlalu ringkas malah dipertikaikan sama ada sah atau tidak akad nikah tersebut.
Persoalan tersebut dijawab panjang lebar oleh Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr. Zulkifli Mohd Al-Bakri.
Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah sebuah perkahwinan ketika akad nikah, pengantin lelaki hanya menjawab “Aku terima” sahaja tanpa menyebutkan perkataan nikah? Hal ini kerana telah viral isu dua artis veteran terkenal telah berkahwin dan melafazkan seperti di atas ketika qabul. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
(Surah al-Najm: 45)
Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)
Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”
(Surah al-Ra‘d: 38)
Firman Allah SWT dalam ayat yang lain:
وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(Surah al-Nisa’: 21)
Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.
Dalam menjawab soalan di atas, para fuqaha menyatakan bahawa suatu pernikahan itu termeterai melalui lafaz ijab dan qabul dengan sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas). Hal ini seperti perkataan seorang wali kepada bakal suami (pengantin lelaki): “زَوَّجْتُكَ ابْنَتِي” (Aku kahwinkan engkau dengan anak perempuanku) atau “أَنَكَحْتُكَ” (Aku nikahkan engkau).
Kemudian pengantin lelaki itu menjawab: “ قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيْتُ” (Aku redha) kerana sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas) itu lebih menunjukkan kepada penyabitan dan penegasan, berbeza halnya dengan sighah mustaqbal (kata masa akan datang).
Melainkan di sisi ulama al-Syafi‘iyyah, mereka berpendapat bahawa tidak cukup pengantin lelaki itu hanya mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) sahaja atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja.
Bahkan pengantin lelaki mesti mengucapkan: “قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيتُ نِكَاحَهَا” (Aku redha nikahnya). Sekiranya dia tidak menyebutkan sedemikian, maka tidak sah nikahnya menurut mazhab (pendapat muktamad al-Syafi‘i).
Manakala di sisi jumhur fuqaha’ — al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan satu pendapat al-Syafi‘iyyah — bahawa memadai/cukup pengantin lelaki mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja dan sah pernikahan tersebut dengan sedemikian. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/238).
Menurut al-Buhuti, ucapan pengantin lelaki, “Aku terima” memadai kerana perkara itu adalah jelas sebagai jawapan. Maka, sah perkahwinan dengannya seperti mana jual beli. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 11/235).
Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menjelaskan, ucapan pengantin lelaki sekadar, “Aku terima,” adalah tidak sah menurut mazhab Syafi‘i (pendapat muktamad) kerana tidak terdapat padanya secara jelas perkataan perkahwinan atau pernikahan, dan niatnya sendiri tidak mencukupi.
Manakala menurut satu pendapat lagi yang menyatakan perkahwinan dengan sedemikian itu adalah sah kerana ia kembali kepada apa yang diwajibkan (diucapkan) oleh wali seperti yang dijanjikan secara lafaz (sarih) sebagaimana pendapat yang paling sahih dalam bandingannya iaitu akad jual beli.
Akan tetapi menurutnya lagi, terdapat perbezaan antara kedua-duanya, di mana ia dianggap sebagai kinayah dan akad pernikahan tidak sah dengan kinayah berbeza halnya dengan akad jual beli.
Namun, ada pendapat menyatakan bahawa perkahwinan tidak boleh terjadi melalui cara ini sama sekali, dan ada juga yang berpendapat bahawa ia adalah sah secara mutlak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/230).
Sesungguhnya, wacana ilmiah di kalangan para ulama dan cendikiawan Islam adalah amat baik serta membina makrifah serta kefahaman yang lebih mendalam dan meluas. Kami bersetuju bahawa pandangan yang dikemukakan jelas menunjukkan kepada kita keluasan fiqh itu sendiri. Inilah yang disebutkan oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz:
مَا أَحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَخْتَلِفُونَ، لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلًا وَاحِدًا لَكَانَ النَّاسُ فِي ضِيقٍ، وَإِنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ، فَلَوْ أَخَذَ رَجُلٌ بِقَوْلِ أَحَدِهِمْ كَانَ سِعَةً
Maksudnya: “Aku tidak suka bila sahabat Rasulullah SAW tidak berbeza pandangan, sebab kalaulah ia cuma satu pandangan, maka orang ramai akan berada dalam kesempitan. Sesungguhnya mereka (para sahabat) adalah pemimpin yang menjadi ikutan. Kalaulah seseorang mengambil pandangan salah seorang dari mereka (kerana ada khilaf berlaku), dia akan berada dalam keluasan.” (Lihat al-I‘tisam oleh al-Syatibi, 2/577).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa ucapan balas/jawab pengantin lelaki, “Aku terima” atau “Aku redha,” sahaja sudah memadai dan mencukupi serta perkahwinan itu sudah dikira sah.
Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama serta satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Hal ini kerana ia dapat difahami atau kembali semula kepada ucapan wali sebelumnya, maka jelas ucapan pengantin lelaki itu kembali/merujuk kepada pernikahan dan perkahwinan.
Sekalipun begitu, kami tidak menafikan bahawa jika pengantin lelaki mengucapkan, “Aku terima nikahnya” atau “Aku redha nikahnya” atau seumpamanya adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf, ini lebih ihtiyat dan sempurna.
Walau bagaimanapun, dalam konteks negara kita, Malaysia, hal ehwal yang melibatkan perkahwinan penganut-penganut beragama Islam berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Oleh itu, ia hendaklah dikembalikan atau merujuk kepada jabatan agama Islam masing-masing. Ini bertepatan dengan kaedah menyebutkan:
حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim mengangkat perselisihan.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Sumber: maktabahalbakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Hukum Jual Dan Beli “Like” Dan “Followers” Adalah Haram”-PU Salman
Beli ‘like’ dan ‘followers’ ini bukanlah sesuatu yang baharu. Ada sesetangah pihak yang mahu memberikan first impression kepada pelanggan, maka dia sanggup untuk melaburkan sejumlah wang marketing untuk membeli ‘like’ dan ‘followers’.
Ini salah satu usaha untuk mempercepatkan proses meyakinkan bakal pelanggan tentang produk yang dijual dan syarikat yang menyediakan perkhidmatan menjual ‘like’ dan ‘followers’ ini pula yakin bahawa ini sebagai perkhidmatan mereka membantu para usahawan yang baru bertapak.
Dalam masa sama, terbuka lah juga ruang menambah pendapatan bagi orang yang diupahkan untuk like dan follow.
Untuk dua pihak yang terlibat, urus niaga ini memang kelihatan saling membantu dan memenuhi keperluan semasa, namun bagaimana pula hak bakal pelanggan. Sudah tentu pelanggan yakin dengan syarikat atau sellers yang mempunyai ramai pengikut dan like di akaun sosial media mereka. Kita ikuti penjelasan daripada PU Salaman tentang hukum urusan jual beli ‘like’ dan ‘followers’ ini.
Artikel berkaitan: Bagaimana Nak Bersihkan Harta Judi Atau Pendapatan Haram?
Artikel berkaitan: Suami Bergaji Kecil, Apakah Hukum Jika Kami Merancang Keluarga?
Musim PKPB ini timbul pelbagai pekerjaan , antara yang ditanya kepada saya adalah kerja ‘like’ dan ‘follow’ customer yang ingin ‘like’ dan ‘followers’ yang tinggi yang biasanya untuk melariskan produknya.
Ianya Haram Kerana Berdasarkan Pada Dalil Dan Sebab:
Pertama: Gisy (menipu)
Dalam Hadis sahih Muslim:
أن رسول الله مر على صبرة طعامٍ، فأدخل يده فيها، فنالت أصابعه بللًا، فقال: ((ما هذا يا صاحب الطعام؟))، قال: أصابته السماء يا رسول الله! قال: ((أفلا جعلته فوق الطعام كي يراه الناس، من غش فليس مني))؛
Sesungguhnya Rasulullah SAW lalu pada gerai yang ada satu timbunan makanan. Nabi SAW menyentuh makanan itu dan ada yg lembap. Nabi SAW bertanya “Apa ini hai penjual makanan?” Dia menjawab “Kena hujan ya Rasulullah.”
Nabi saw bersabda, “Kenapa engkau tidak letak yang lembap ini di atas supaya orang tahu. Siapa yg menipu atau memperdaya (pelanggan) bukanlah di kalangan kami.
Pengajaran hadis:
- Jualan ini dilarang kerana perbuatan menyembunyikan makanan yang tidak baik di bawah dan memperdaya pelanggan yang tidak melihat keaiban makanan tadi, begitu jua pelanggan tertipu dengan jumlah followers dan like yang banyak sehingga membeli barang tadi.
- Hadis ini secara umumnya melarang sesuatu yang menipu orang dan ia termasuklah ‘like’ dan ‘followers’ yang palsu kerana orang ingat akaun atau post itu memang ramai yang menyukainya padahal itu semua diupah.
Kedua: larangan jual beli tasriah
Nabi saw bersabda:
لاَ تُصَرُّوا الإِبِلَ وَالغَنَمَ،
Jangan ikat puting susu lembu dan kambing yang hendak dijual. (Hadis sahih Bukhari dan Muslim)
Di antara jualan yang haram adalah menampakkan susu yang banyak dalam kantung binatang sehingga memperdaya pelanggan sehingga pelanggan membeli binatang itu.
Caranya dengan mengikat puting susu berhari-hari sehingga membesar kantung susu tadi dan bila pelanggan datang, mereka rasa kagum kerana jumlah susunya banyak, padahal sekejap sahaja benda itu.
Sama juga dengan isu ini, orang ramai terpegun dengan jumlah ramai yang ‘like’ dan ‘follow’ sedangkan itu dibeli bukan ‘like’ dan ‘follow’ yang jujur.
Ketiga : Bangga dengan sesuatu yang bukan milik sendiri adalah haram
Jual beli like ini sekalipun bukan tujuan untuk jual produk dan sekadar bangga dan seronok banyak ‘like’ dan ‘followers’ juga haram berdasarkan hadis :
أَنَّ امْرَأَةً قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَقُولُ إِنَّ زَوْجِي أَعْطَانِي مَا لَمْ يُعْطِنِي. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ: «الْمُتَشَبِّعُ بِمَا لَمْ يُعْطَ، كَلَابِسِ ثَوْبَيْ زُورٍ
Seorang wanita bertanya “ Ya Rasulullah bagaimana jika berkata sesungguhnya suami bagi aku sesuatu yang mana sebenarnya dia tak bagi pun.”
Nabi SAW bersabda: “Orang yang rasa bangga dengan sesuatu yang bukan miliknya (sedangkan dia berbangga seolah-olah itu miliknya) adalah seumpama orang yang memakai dua helai pakaian penipuan.”
(Hadis sahih bukhari dan Muslim)
Imam Nawawi dalam menerangkan hadis di atas berkata:
الْمُتَكَثِّرُ بِمَا لَيْسَ عِنْدَهُ؛ بِأَنْ يَظْهَرَ أَنَّ عِنْدَهُ ما ليس عِنْدَهُ، يَتَكَثَّرُ بِذَلِكَ عِنْدَ النَّاسِ وَيَتَزَيَّنُ بِالْبَاطِلِ؛ فهو مذمومٌ
Orang yang merasa banyak sesuatu yang bukan miliknya dengan menunjukkan pada manusia bukan dia punya tapi berbangga kepada manusia dgn ada banyak sesuatu dan berasa seronok dengan sesuatu yang palsu adalah dicela.
Kenyataan imam Nawawi ini sangat bertepatan dengan like dan followers yang dijual .
Oleh itu beli ‘like’ dan ‘followers’ ini adalah haram. Kerja ‘like’ dan ‘follow’ secara upahan juga haram kerana membantu sesuatu yang haram.
Hasil upahnya juga haram kerana Nabi SAW bersabda, إن الله إذا حرم شيئًا حرم ثمنه
“Sesungguhnya yang Allah haramkan, duit hasilnya juga haram”
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Lakukan 4 Perkara Baik Ini Tapi Allah Membenci Kita, Apakah Perbuatannya?
Allah SWT memerintahkan kita berbuat banyak kebaikan di dunia ini sebagai bekalan di akhirat. Dan sebagai hambanya, kita berusaha melakukan untuk memperoleh redha dan kasih sayang Allah. Bahkan kita berebut-rebut melakukan perbuatan baik untuk memperoleh rahmat dan kasih sayang dari Allah.
Tapi ketahuilah bahawa perbuatan baik itu adakalanya menerima kecaman dari Allah. Bolehkah begitu? Ini senarai empat kebaikan kita lakukan tapi Allah tak beri pun pahala sebaliknya mengecam perbuatan kita lakukan.
1. Perbuatan Baik yang Disertai dengan Niat Buruk
Perbuatan baik pertama yang dikecam oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah hal-hal baik yang dilakukan namun disertai dengan niat yang buruk, seperti riak atau ujub. Dengan demikian meski niat kita nampak seperti ingin berbuat baik tapi kerana dilandas dengan niat yang buruk makan maka amalan baik tersebut menjadi sesuatu yang sia-sia di mata Allah. Hal ini disebutkan dalam Al-Quran pada surat Al-Maun ayat 4-7, “Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya. Orang-orang yang berbuat riak.”
2. Perbuatan Baik yang Disertai Perbuatan Buruk
Perbuatan baik kedua yang juga dikecam oleh Allah SWT adalah melakukan hal-hal baik, yang diiringi dengan hal-hal buruk. Misalnya ketika telah bersedekah, namun sesaat kemudian menyebut-nyebut tentang sedekah tersebut.
Hal ini bahkan disebut dalam Al-Quran, bahawa Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir,” (QS. Al Baqarah: 264).
3. Perbuatan Baik yang Dilakukan dengan Cara yang Salah
Perbuatan baik seterusnya yang dibenci oleh Allah SWT adalah berbuat baik namun dengan cara yang salah. Misalnya ketika seseorang berjihad, namun dilakukan pada bulan-bulan haram. Pada hal pada bulan-bulan tersebut diharamkan untuk berjihad atau berperang di jalan Allah. Sebagaimana disebutkan dalam surat At-Taubah ayat 37.
Atau misalnya bersedekah dengan menggunakan wang haram. Sehingga bukannya pahala yang akan diperoleh, melainkan dosa besar yang menanti pelakunya di akhirat kelak.
4. Perbuatan yang Berakibat Buruk, Namun Si Pelaku Merasa Telah Berbuat Baik
Perbuatan baik terakhir yang dibenci oleh Allah SWT adalah melakukan hal-hal baik yang berakibat buruk, namun si pelaku merasa telah berbuat baik. Hinggakan hal ini menjadi sia-sia yang tidak membawa erti apa-apa terhadap perlakukan dilakukan. Malah di dalam Al-Quran juga menyatakan perbuatan begini dikecam. Sebagaimana disebutkan bahwa, “Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya,” (QS. Al Kahfi: 104).
Inilah empat perbuatan baik yang dikecam oleh Allah SWT. Meski pada dasarnya nampak seperti kita telah berbuat kebaikan namun ternyata hal-hal ini tidak baik yang tersembunyi di balik kebaikan amalan tersebut.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI