“Arwah Sanggup Tak Pergi Kerja, Sentiasa Luangkan Masa Seolah Tahu…”, Isteri Luah Rasa Sedih

Share

Tragedi melibatkan empat penunggang motosikal meninggal dalam kejadian di Pulau Pinang malam semalam menarik perhatian ramai. Ramai melontarkan pelbagai pendapat mengenai aksi perbuatan mereka itu.

Dalam pada itu, isteri kepada salah seorang mereka yang terlibat dalam kemalangan itu, Norhanazielah Hanazi, 28 tidak dapat menahan kesedihan dan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa arwah suaminya, Muhamad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25, pada pukul 4.30 pagi semalam.

Ini kerana suaminya masih sempat bertanya khabar anak-anak pada jam 2 pagi sebelum kejadian menimpa. Masa yang sama juga, kemalangan maut yang berlaku di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, Gelugor itu juga menambah sedih di hatinya kerana arwah suaminya tidak sempat menatap wajah anak ketiga mereka yang dijangka lahir pada minggu hadapan.

Dalam pada itu, Norhanazielah Hanazi, 28, memaklumkan, dirinya pergi ke lokasi kejadian walaupun dalam keadaan sarat mengandung untuk melihat sendiri keadaan suaminya selepas dimaklumkan kejadian tersebut oleh rakan-rakan.

“Rasa sebak sangat Tambah sebak apabila anak-anak berusia lapan dan empat tahun menangis apabila diberitahu bapa mereka meninggal dunia.

“Saya pula sedang menghitung hari untuk bersalin anak ketiga kami yang dijadualkan pada 27 Julai ini. Arwah yang paling tidak sabar menanti kehadiran cahaya mata ini dan segala kelengkapan sudah siap dibeli,” katanya ketika ditemui semalam.

Norhanazielah memberitahu, arwah suaminya menghantar pesanan WhatsApp pada pukul 2 pagi untuk bertanyakan tentang keadaannya dan anak-anak.

Cerita wanita itu, sejak kebelakangan ini, arwah mahu sentiasa berdamping dengannya dan anak-anak di rumah.

“Dia sanggup tidak pergi kerja semata-mata mahu membawa kami berjalan-jalan dan makan,” katanya yang memberitahu suaminya bekerja sebagai runner.

Selain Muhamad Eizreel, turut terkorban dua rakannya iaitu Muhamad Shazwan Hakim Mohd. Abdul Sani, 22, dan Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19.

Jenazah Muhamad Eizreel dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda di Sungai Ara. -KOSMO! ONLINE

Published by
almaswa Haji Che Ros