Berita

“Arwah Seorang Bapa Yang Penyayang” – Air Mata Iringi Pemergian Mejar Mohd Zahir Yang Mati Dalam Syahid

Share

Semalam negara dikejutkan dengan kematian Pegawai Komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas, Mejar Mohd Zahir Armaya, 36 tahun yang dikatakan terkena tembakan dalam insiden Kem Lok Kawi Kota Kinabalu, Sabah pagi semalam.

Dan pagi tadi arwah yang juga anak kepada pelakon serta pelawak terkenal AR Badul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tambun dalam satu adat istiadat ketenteraan oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Nour Shafinar Harun, 31 tahun serta empat orang anak termasuk seorang bayi berusia 6 bulan. Sudah pastinya isteri tersayang yang begitu terasa dengan kehilangan arwah.

ini dapat dilihat apabila dia yang turut mengiringi jenazah turut menangis tidak dapat menahan sebak dengan pemergian arwah.

Dalam laporan oleh Utusan Online, memberitahu dia berhubung dengan arwah suamiya seminggu sebelum itu melalui talian WhatsApp.

“Arwah hantar gambar dia yang sedang bersiap sedia untuk pergi latihan. Waktu tu saya tidak dapat bercakap lama dengannya. 

“Saya terima berita ini daripada kawan-kawan, mereka sahkan arwah telah meninggal dunia. Kali terakhir saya berjumpa dengannya lebih kurang seminggu yang lalu sewaktu menghantarnya ke lapangan terbang untuk ke Sabah,” luahnya.

Gambar kenangan sempena Aidilfitri lalu.

Menurut Nour Shafinar, dalam keadaan anaknya yang baru berusia enam bulan, dia merasakan ini dugaan berat buat mereka.

“Anak kami baru saja berusia enam bulan, saya sangat-sangat tak sangka bapanya pergi terlalu awal,” luahnya.

Dalam pada itu, Nour Shafinar menyifatnya arwah suaminya itu seorang suami dan bapa yang penyayang.

“Saya redha dengan pemergian dia dalam pakaian dan uniform kerja dia. Seorang bapa yang sangat penyayang memang perfect untuk anak-anak dan isteri, sepanjang perkahwinan saya memang tidak satu pun salah daripada dia,” kata Nour Shafinar kepada Astro Awani menggambarkan keperibadian Allahyarham suaminya.

Sementara itu, kematian Mejar Mohd Zahir Armaya ini tergolong dalam mati syahid akhirat. Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, mati syahid dikategorikan dalam dua keadaan iaitu syahid dunia dan juga akhirat.

“Kematian Mohd Zahir dikategorikan sebagai syahid akhirat berikutan ia meninggal dunia ketika bertugas, sama seperti meninggal dunia dalam kebakaran dan juga lemas.

“Namun, insya-Allah kematiannya itu dapat keistimewaan, ada darjatnya dan mendapat rahmat daripada Allah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

FOTO: BERNAMA

Published by
Siti Zurina Mat Saman