Kerohanian

Baca Al-Quran Suara Kena Kuat Atau Perlahan, Mana Lebih Afdal

Share

Membaca Al-Quran sememangnya dituntut oleh syarak dan dijanjikan fadhilat yang besar bagi mereka yang melakukannya. Terdapat begitu banyak nas-nas syarak yang menyebutkan tentang hal ini.

Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya : Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” itu sebagai satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf. Riwayat Al-Tirmizi (2835)

Seperti yang kita ketahui, oleh kerana pembacaan Al-Quran ini merupakan suatu ibadah yang dituntut, maka sudah pasti terdapat banyak adab-adab membaca Al-Quran seperti yang disebutkan oleh para ulama.

Adab baca al Quran kena perlahan

Antaranya adalah mengadap kiblat dan menutup aurat. Satu lagi adab yang mungkin ramai tidak maklum adalah membaca al-Quran dengan perlahan. Tapi kenapa perlu perlahan, sedangkan ini ayat-ayat suci yang perlu diperdengarkan ramai? Jadi mana satu lebih afdal dibaca dengan kuat atau perlahan.

Memetik penjelasan dalam portal Mufti Wilayah Persekutuan, Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi ketika menjelaskan adab-adab membaca Al-Quran beliau berkata :
ويستحب الإسرار بالقراءة
Maksudnya : Dan disunatkan untuk membaca Al-Quran secara perlahan. (Rujuk Mukhtasar Minhaj Al-Qashidin (1/44)

Beliau berdalilkan dengan sebuah hadis dengan lafaz :
فضل قراءة السر على قراءة العلانية كفضل صدقة السر على صدقة العلانية

Maksudnya : Kelebihan bacaan Al-Quran secara perlahan ke atas pembacaan Al-Quran secara kuat adalah sama seperti kelebihan sedekah secara sembunyi ke atas sedekah secara terang-terangan.

Walaubagaimanapun, lafaz hadis ini juga dikritik oleh sebahagian ulama, namun ia menepati makna yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah Ibn ‘Amir Al-Juhani R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

الْجَاهِرُ بِالْقُرْآنِ كَالْجَاهِرِ بِالصَّدَقَةِ، وَالْمُسِرُّ بِالْقُرْآنِ كَالْمُسِرِّ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya : Seseorang yang menjaharkan Al-Quran (membacanya dengan suara yang kuat) adalah sama seperti seorang yang bersedekah secara terang-terangan dan seseorang yang membaca Al-Quran secara perlahan adalah sama seperti seorang yang bersedekah secara sembunyi sembunyi. Riwayat Abu Daud (1333)

Imam Ibn Qudamah kemudiannya berkata :

ولا بأس بالجهر في بعض الأوقات لمقصود صحيح، إما لتجويد الحفظ، أوليصرف عن نفسه الكسل والنوم، أو ليوقظ الوسنان

Maksudnya : Tidak mengapa menjaharkan (menguatkan) bacaan pada sebahagian waktu dengan tujuan yang betul. Sama ada dengan tujuan untuk menguatkan hafalan, atau untuk menghindari sifat malas dan juga tidur, atau untuk menyegarkan diri dari perasaan mengantuk. Rujuk Mukhtasar Minhaj Al-Qashidin (1/44)

Imam Al-Thibi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : Terdapat beberapa atsar (riwayat-riwayat) yang berkaitan dengan kelebihan menjaharkan bacaan al-Quran. Di samping itu, terdapat juga atsar (riwayat-riwayat) berkaitan kelebihan membaca al-Quran secara perlahan.

Mana lebih afdal

Untuk itu, bagi menghimpunkan antara dua kelebihan ini, dikatakan membaca dengan suara yang perlahan adalah lebih afdhal bagi orang yang bimbang pada dirinya sifat riya’. Adapun membaca dengan suara yang kuat pula afdhal bagi orang yang tidak bimbang daripada sifat tersebut (riya’) dengan syarat dia tidak mengganggu orang lain seperti orang yang sedang solat, tidur atau selain daripada keduanya.

Ini kerana, membaca dengan nyaring manfaatnya juga akan diperolehi oleh orang lain daripada mendengarnya, mempelajarinya, merasainya dan ia juga merupakan syiar terhadap agama disebabkan ia mampu menetapkan hati orang yang membaca, menguatkan semangat, mengelakkan tidur (yang banyak) serta memberi semangat kepada orang lain untuk beribadah.

Justeru, sekiranya kesemua ini boleh berlaku dengan dia menyaringkan bacaannya maka membaca dengan nyaring adalah lebih afdhal. Rujuk Tuhfah al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (8/191)

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa kedua-dua kategori iaitu membaca al-Quran dengan suara yang kuat juga membacanya dengan suara yang perlahan adalah boleh dilakukan oleh pembaca Al-Quran, manakala dari sudut afdhaliyyah (kelebihan dan keutamaan) itu berbeza mengikut situasi dan keadaan pembaca.

Sebagai contoh, bagi hak mereka yang takutkan perasaan ‘ujub dan riya’ maka yang afdhal adalah dibaca secara perlahan, khususnya apabila terdapat orang lain di sekeliling. Manakala, seseorang yang dalam keadaan bersendirian, jauh dari sifat riya’, bahkan dengan tujuan untuk menguatkan hafalan Al-Quran, maka dalam keadaan ini afdhal baginya membaca secara kuat.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

 

Published by
Team Kashoorga