‘Baca Lebih Dapat Pahala Ke?’ Membaca Dua Surah Berbeza Dalam Rakaat Yang Sama

Share

‘Baca lebih dapat pahala ke?’ Apakah hukumnya, membaca dua surah berbeza selepas al-Fatihah dalam rakaat yang sama. Kebiasaannya segelintir daripada kita hanya membaca satu surah tambahan sebelum rukuk.

Namun ada juga di kalangan kita yang membaca dua surah usai bacaan al-Fatihah dalam rakaat pertama dan kedua. Apakah hukumnya membaca lebih satu surah, ikuti kemusykilan berkaitan isu ini.

Artikel Berkaitan:

Semak Balik Bacaan Kita, Ini 5 Kesalahan Yang Biasa Dilakukan Dalam Surah Al Fatihah

Soalan:

Saya ada satu soalan. Bolehkah saya membaca dua surah pilihan yang berbeza selepas al-Fatihah dalam rakaat yang sama? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Pada asasnya, solat merupakan salah satu amal ibadat yang paling utama dalam kehidupan kita. Kemudian, dalam solat pula disyariatkan untuk membaca ayat-ayat al-Quran seperti surah al-Fatihah yang merupakan salah satu rukun qauli dan ayat-ayat yang lain.

Firman Allah SWT:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari al-Quran; dan dirikanlah solat.”

 

‘Baca Lebih Dapat Pahala Ke?

Malah, membaca satu surah daripada al-Quran sekalipun ayat yang pendek atau membaca tiga ayat al-Quran yang berurutan adalah disunatkan.

Bacaan ini disunatkan bagi imam dan orang yang mendirikan solat secara bersendirian pada dua rakaat yang pertama sahaja bagi setiap solat.

Sementara makmum juga disunatkan membacanya pada solat yang diperlahankan bacaan atau sekiranya dia berada jauh daripada imam dan tidak kedengaran bacaannya.

Membaca Dua Surah Berbeza

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jumhur ulama berpendapat diharuskan untuk menghimpunkan dua surah, yakni membacanya dalam satu rakaat.

Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Huzaifah R.A, beliau berkata:

صَلَّيْتُ مع النبيِّ ﷺ ذاتَ لَيْلَةٍ، فافْتَتَحَ البَقَرَةَ، فَقُلتُ: يَرْكَعُ عِنْدَ المِائَةِ، ثُمَّ مَضى، فَقُلتُ: يُصَلِّي بها في رَكْعَةٍ، فَمَضى، فَقُلتُ: يَرْكَعُ بها، ثُمَّ افْتَتَحَ النِّساءَ، فَقَرَأَها، ثُمَّ افْتَتَحَ آلَ عِمْرانَ، فَقَرَأَها

Maksudnya:

“Pada suatu malam, aku mendirikan solat bersama Nabi SAW. Baginda memulakan bacaan solatnya — selepas al-Fatihah — dengan membaca awal surah al-Baqarah. Aku berkata (yakni menyangka dalam hatinya):

‘Barangkali Baginda akan rukuk apabila sampai pada ayat yang keseratus,’ kemudian Baginda melepasinya. Aku berkata (yakni menyangka dalam hatinya):

‘Baginda akan membaca surah al-Baqarah dalam satu rakaat,’ kemudian Baginda melepasinya, lalu aku berkata (yakni menyangka): ‘Baginda akan rukuk.’ Namun Baginda melanjutkan dengan membaca surah al-Nisa’ dan seterusnya menyambung pula dengan membaca surah Ali ‘Imran.”

Dalam Rakaat Yang Sama

Walau bagaimanapun ulama dalam kalangan mazhab Hanbali membezakan di antara solat fardhu dan solat sunat. Mereka berpendapat, tidak mengapa menghimpunkan surah-surah.

Yakni membaca lebih daripada satu surah, dalam satu rakaat dalam solat sunat berdasarkan riwayat-riwayat yang disebutkan di atas kerana dalam riwayat-riwayat tersebut menunjukkan bahawa Baginda sedang mendirikan solat sunat seperti qiyamullail dan selainnya.

Adapun dalam solat fardu, mereka menyukai yakni menggalakkan sekiranya ia diringkaskan dengan hanya satu surah pilihan selepas bacaan al-Fatihah. Hal ini kerana begitulah kebanyakan solat Baginda SAW dan inilah salah satu riwayat (pendapat) daripada mereka.

Pendapat Ulama Berbeza

Manakala dalam satu riwayat yang lain adalah sebagaimana pendapat ulama mazhab Maliki iaitu hukumnya adalah makruh kerana Nabi SAW memerintahkan Muaz untuk membaca satu surah sahaja yakni dalam satu rakaat dalam solatnya.

Begitu juga Syeikh al-‘Uthaimin juga pernah menyebutkan dalam fatwanya bahawa seseorang itu boleh untuk membaca selepas surah al-Fatihah dua surah atau tiga surah, mahupun meringkaskannya dengan hanya membaca satu surah atau membahagikan satu surah kepada dua bahagian.

Kesemua perkara tersebut dibolehkan berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran — dalam sembahyang.”

Begitu juga sabda Nabi SAW:

ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرْآنِ

Maksudnya: “Kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu daripada al-Quran.”

Kesimpulannya:

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan untuk membaca dua surah yang berbeza ataupun lebih selepas surah al-Fatihah dalam satu rakaat, serta sesiapa yang membacanya dikira mendapat pahala sunat bacaan surah atau ayat-ayat al-Quran selepas al-Fatihah dalam solat.

Walau bagaimanapun, perkara ini sekalipun diharuskan dan solatnya dikira sah serta tidak batal, namun sebaiknya dalam solat fardhu ia diringkaskan dengan hanya membaca satu surah sahaja atau tidak memanjangkannya, lebih-lebih lagi jika dia seorang imam bagi meraikan keperluan makmum.

Baca Di Sini:

‘Bacaan Suami Salah Ketika Solat Jemaah, Isteri Tak Boleh Tegur Direct.’ Begini Cara Yang Betul

Kashoorga : Siapa yang baca lebih, dapat lah pahala lebih.

Sumber : Maktabah al-Bakri

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Dosa Bulanan Wanita, Sengaja Tangguh Mandi Wajib!

Published by
Syazwani Mehat