Bagai “Malaikat Kecil’, Baby J Membesar Sihat Di Samping Ibu Koma. Ramai Doakan Anak Kecil Ini Membela Nasib Ibunya Kelak

Share

Ramai yang mengikuti perkembangan terkini mangsa belasahan suami sehingga koma iaitu Jahidah Nordin, 43.

Alhamdulillah, di sebalik ujian menimpanya, Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Jihady dalam keadaan dirinya terusan koma ketika janinnya berusia 15 minggu melalui kaedah pembedahan minggu lalu.

Bahkan dirinya kekal stabil selepas pembedahan itu (masih di wad dan dalam pemantauan doktor) dan berita gembira ini dikongsikan oleh adiknya, Fauziah Nordin yang setia menjaga kebajikan kakaknya yang terlantar kesan menjadi mangsa seorang suami yang tidak bertanggungjawab.

Dayus kerana memukul seorang perempuan yang lemah hingga mengalami kecederaan di otak, patah tulang belakang, rusuk, tidak mampu bercakap mahu pun respon dan hanya mampu membuka matanya, itu pun dalam keadaan separuh sahaja.

Dalam perkongsian di tik toknya @ziahzara15, Fauziah memaklumkan sehari selepas Jihady dilahirkan (dinamaikan Baby J), terdapat sedikit salah faham dengan Jabatan Sosial hospital kerana dirinya tidak dibenarkan untuk mengenal pasti jantina Baby J namun hal ini kemudian dapat diselesaikan.

Bahkan anak kecil itu juga terpaksa ditahan di wad seketika kerana mengalami demam kuning dan kini “malaikat kecil” itu sudah pun berada di depan mata mereka sekeluarga.

Dapat dilihat dari perkongsian videonya, wajah Baby J yang comel hinggakan ramai terusan mendoakan agar baby ini membesar sihat untuk bersama-sama ibunya di dunia. Bahkan ramai yang mendoakan kesejahteraan anak kecil ini selain mampu membela ibunya kelak selepas dewasa. Malah ada mendoakan anak ini menjadi anak soleh apabila membesar kelak.

Tulis Fauziah, “kuatnya Baby J. Dia tahu ibunya tak mampu, sakit. Tak normal macam dulu. Tapi kerana kuat nak bertemu ibunya, lahirnya Baby J ke dunia walau pun penuh dugaan, kesakitan dan kesedihan. Moga Baby J dan ibunya sama-sama kuat untuk bertemu di dunia. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Published by
almaswa Haji Che Ros