Setiap pasangan mengimpikan anak dalam perkahwinan mereka. Anak menjadi penghibur hati dan pengikat kasih sayang suami isteri. Tatkala meninggal dunia, hanya ilmu, amal dan doa anak yang soleh dibawa ke akhirat.
Tapi bagaimana jika perkahwinan tidak dikurniakan zuriat? Siapa akan menunggu ibu bapa di pintu syurga jika ditakdirkan sama-sama memasukinya?
Mufti Wilayah menjawap persoalan ini.
Jika perkahwinan saya telah ditakdirkan oleh Allah swt tidak mempunyai zuriat,bagaimanakah caranya untuk kami memperoleh doa dari anak yang soleh setelah meninggal dunia. Siapakah yang akan menunggu kami di pintu syurga jika di dunia kami tidak dikurniakan anak? Mohon penjelasan untuk kami yang diuji oleh Allah swt dengan masih tidak dikurniakan zuriat, terima kasih.
Jawapan:-
Waalaikumussalam. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.
Anak merupakan anugerah Allah SWT kepada pasangan yang berkahwin. Oleh itu Allah SWT berhak untuk menentukan segala. Ini seperti firmanNya di dalam al-Quran”
Maksudnya: Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Surah ash-Shura, 49-50)
Syeikh Tantawi dalam mentafsirkan ayat di atas menyatakan: “Dalam hal ini Allah SWT ingin membaritahu bahawa kekuasaannya dalam menentukan rezeki kepada manusia. Allah SWT yang menentukan sama ada diberikan anak lelaki atau perempuan atau pun kedua-duanya sekali. Dan Allah SWT juga berhak tidak memberikannya.” (Lihat: al-Tafsir al-Wasit li Tantawi, 13/49)
Imam Ibnu Kathir menyatakan di dalam tafsirnya: “Di datangkan kepada manusia dalam empat keadaan: ada diantaranya mendapat anak perempuan dan ada yang mendapat anak lelaki dan ada daripadanya mendapat kedua-duanya dan ada daripadanya tidak mendapat anak. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT berhak menentukannya agar manusia beriman dan bergantung harap kepadanya” (Lihat: Tafsir Ibnu Kathir, 7/198)
Ujian Allah SWT Kepada Hambanya
Ads
Setiap manusia akan diuji oleh Allah SWT mengikut kadar keimanan dan kemampuan mereka agar mereka sentiasa mengingati Allah SWT seperti firmanNya:
Maksudnya: Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan (Surah al_Anbiya, 35)
Di dalam sebuah hadis, Rasullullah SAW menceritakan kepada mereka yang diuji dengan tidak diberikan anak kepadanya, dan Allah SWT akan memberikan apa yang dikehendakinya di syurga nanti. Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Said al-Khudri RAnhu, Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Seseorang Mukmin sekiranya ia ingin memiliki anak (namun tidak mendapatkannya) di syurga sesungguhnya ia akan mengandungnya, menyusuinya dan membesarkannya mengikut apa yang dikehendakinya (Hadis riwayat Ibnu Majah no. 4338).
Imam Tirmizi dalam mensyarahkan hadis di atas menyatakan bahawa ahli ilmu berbeza pendapat berkenaan dengannya, ada di antara mereka yang berpendapat tidak ada yang melahirkan anak di syurga. Dan mengikut pendapat kebanyakan ahli ilmu, Allah SWT akan memberikan apa yang dihajatkannya di dalam syurga. (Lihat: al-Tanwir Syarah alJami’ al-Soghir, 1-/458)
Maksudnya: Dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya (Surah al-Zukhruf, 71).
Ujian dan dugaan yang dihadapi diiringi dengan tawakkal dan bersangka baik kepada Allah SWT. Berkemungkinan sesuatu perkara yang baik di sisi manusia boleh jadi perkara itu buruk di sisi Allah begitu juga sebaliknya ini seperti firman Allah SWT:-
Maksudnya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.(Surah al-Baqarah, 216)
Imam Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan: “Sesuatu perkara yang mungkin tidak disukai oleh kita berkemungkinan disukai Allah SWT dan begitu juga sebaliknya. Mungkin terdapat hikmah dan mengajar erti kesabaran dan ketaatan kita di dunia. Dan sesungguhnya pengetahuan Allah SWT tidak dapat dibatasi manusia”. (lihat Tafsir al-Maraghi, 2/133)
Ads
Kesimpulan:-
Berdasarkan kepada persoalan di atas dapat kami simpulkan berdasarkan dalil-dalil yang diberikan seperti berikut:
Allah SWT menguji hambaNya agar sentiasa mengingati dan bergantung harap kepadaNya. Oleh itu haruslah bersabar menghadi segala ujiannya agar mendapat ganjaran yang besar di akhirat kelak.
Memperbanyakkan berdoa agar dipermudahkan segala urusan dan tidak berputus asa serta berusaha dan yakin kepada Allah SWT. Ini seperti firmanNya:
Maksudnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul (Surah al-Baqarah, 186).
Dalam mentafsirkan ayat di atas Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “yang dimaksudkan dengan hampirnya Allah SWT, adalah Allah SWT sentiasa mendengar dan melihat perbuatan dan permintaan hambanya. Dan setiap amalan yang dilakukan dengan penuh kusyuk dan keihklasan maka Allah SWT akan membuka hijab dan memakbulkan doanya” (Lihat: Tafsir al-Maraghi, 2/75)
Digalakkan untuk memperbanyakkan sedekah dan sumbangan kepada pihak yang memerlukan, agar dipermudahkan dan dimurahkan rezeki. Ini seperti fiman Allah SWT:
Maksudnya: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki. (Surah Saba’ 39)
Di dalam Tafsir al-Mannar mentafsirkan bahawa “Ini merupakan Sunnah Allah SWT untuk menggantikan kepada sesepiaya yang bersedekah dan memberi infaq kepada agama. Selain itu Allah SWT juga memberi ketenangan jiwa, melahirkan rasa pemurah dan memberikan kebaikan di dunia dan akhirat.” (Lihat Tafsir al-Mannar, 3/63) Selain itu, kita juga boleh beramal dengan doa Nabi Zakaria AS seperti yang terkandung di dalam al-Quran seperti mana firman Allah SWT:
Maksudnya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. (Surah Ali-Imran: 38)
Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menyatakan “bahawa ini merupakan doa Nabi Zakaria AS supaya diberikan rezeki anak yang soleh dan berakhlak mulia. Supaya dapat disempurnakan nikmat dunia dan juga akhirat. Maka Allah SWT telah memakbulkan doanya kerana sifat ikhlas dan bersungguh-sungguh baginda AS” (Lihat: Tafsir al-Sa’di: 1/129) Wallahualam
Kalau ziarah kubur, jangan lupa siram air atas pusara insan tersayang. Memang rata-rata antara kita menjadi tabiat atau tradisi akan menyiram air selepas ziarah kubur arwah keluarga.
Namun begitu, apakah hukumnya bila seseorang itu melakukan perbuatan ini. Sebab ada di kalangan kita bukan sekadar menyiram air biasa, malah menyiram air mawar serta menabur bunga-bungaan.
Memetik perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persetuan, secara umumnya, ramai ulama Syafie berpendapat hukumnya harus bahkan ada pendapat menyatakan sunat kerana perbuatan Rasulullah SAW itu. Tetapi penggunaan air mawar pula dianggap sebagai makruh kerana dengan sebab pembelian dan pembaziran.
Kami nukilkan daripada kitab I’anah al-Talibin (2/135-136). Antara lain menyebut: “Dan (disunatkan) menyiram (menjirus) kubur dengan air agar debu-debu tanah tidak ditiup angin dan kerana bahawasanya Nabi SAW melakukan sedemikian pada kubur anakanda Baginda SAW, Saidina Ibrahim sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Syafie dan juga pada kubur Saad bin Muaz sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah.
Dan Nabi SAW telah memerintahkan dengannya (iaitu dengan menjirus air) pada kubur Saidina Uthman bin Mazh’un sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi.
Manakala yang mustahab adalah air tersebut suci lagi menyucikan dan sejuk (air mutlak) sebagai tafa’ul mudah-mudahan Allah menyejukkan kubur si mati.
Dan makruh menyiram atau menjirus air dengan air mawar atau seumpamanya kerana perbuatan tersebut adalah satu pembaziran dan mensia-siakan harta.”
Jangan Lupa Siram Air
Justeru, bagi mereka yang ingin melakukan dibolehkan dan lebih penting daripada itu adalah untuk berdoa kepada si mati kerana sabitdalam nas yang sahih.
Di samping itu menurut Ustaz Azhar Idrus, hukum menyiram kubur adalah bergantung kepada niat. Ini perkongsiannya:
Siram air atas kubur untuk ‘sejukkan mayat’?
Atau siram air atas kubur kerana kebersihan?
Kenapa perlu siram air atas kubur? Apa tujuan?
‘Saya tengok… Orang ziarah kubur mesti bawak air.’ Ada orang kata siram air atas kubur untuk sejukkan mayat.
Jika kita percaya, adakah lari akidah kita? Mohon penjelasan
Ulama ada menyebut, hukum jirus air atas kubur adalah harus tetapi dengan syarat. Tujuannya ialah:
1. Sebab baru tanam atau jenazah baru dikebumikan, kita jirus supaya tanahnya kemas.
2. Yang kedua, menghidupkan bunga-bunga, pokok-pokok yang hidup di sekitar kawasan kubur arwah supaya ia hidup lebih subur. Ketahuilah bahawa setiap yang hidup bertasbih kepada Allah. Dalam masa yang sama, tumpang rahmat kepada si mati jika Allah izinkan.
3. Yang ketiga supaya tanah di kawasan kubur tidak kering dan berdebu.
Banyak kisah orang yang berhutang namun liat untuk membayarnya. Ada yang menyebabkan pemberi hutang terasa sakit hati apatah lagi bila melihat si pemiutang melancong ke sana sini.
Akibat geram, ada yang menuntut hutang dengan cara membuat hantaran di media sosial malah mengumumkan nama pemiutang. Dalam hal ini adakah ia dibolehkan?
Menurut pendakwah terkenal iaitu Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, dalam ilmu fekah, perbuatan ini sebenarnya termasuk dalam ghibah (umpat) Sebab telah memberitahu keburukan orang lain kepada khalayak ramai.
Meski demikian, Imam An Nawawi dalam Riyadlush Shalihin menyatakan ada beberapa jenis ghibah yang dibolehkan. Di antaranya untuk tujuan yang benar, tidak bertentangan dengan syariat, serta tujuan tersebut tidak boleh dicapai jika tanpa melalui ghibah.
Para ulama menyatakan terdapat enam ruksyah ghibah ; ghibah kerana jolokan, meminta fatwa, perbuatan fasik secara terang-terangan, kezaliman, mengingatkan orang lain atas perangai buruk seseorang dan menghilangkan kemungkaran.
Hukum orang mampu tapi suka menunda pelunasan hutang, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriayatkan Imam Bukhari,
“Menunda membayar hutang bagi orang kaya adalah kezaliman”
Dalam riwayat lain dari Imam Bukhari, Rasulullah membolehkan pemberi pinjaman membuka aib orang berhutang yang mampu namun enggan melunasinya.
Penundaan pembayaran hutang yang dilakukan oleh orang yang mampu menghalalkan kehormatan (untuk dighibah) dan hukumannya. Dalam keadaan ini, kita dibenarkan membuka aib pemiutang namun kalau dapat dielakkan cuba elakkan. Dalam erti kata lain, boleh dibuka aibnya, tapi lebih baik tidak.
Ibnu Hajar Al Haitami dalam Az Zawajir ‘an Iqtirafil Kabair menjelaskan kandungan dari hadis tersebut.
” Diperbolehkan menyebutkan di hadapan orang banyak, bahawa pemiutang telah enggan melakukan pembayaran hutang dan tidak konsisten dalam transaksi. Pemberi hutang tidak boleh menyebutkan aib lain yang ada pada diri orang yang berhutang, kerana orang yang terzalimi tidak boleh menyebutkan kezaliman seseorang, kecuali kezaliman yang telah dilakukan atas dirinya. Diperbolehkan pula menghukum orang yang zalim dengan cara memenjarakan, memukul atau yang lain.”
Kesimpulannya meskipun membuka aib pemiutang dibolehkan, akan lebih baik jika tidak dilakukan.
Hari ini merupakan kemuncak berkumpulnya umat Islam berwukuf di Padang Arafah. Bermakna, esok merupakan kemuncak sambutan hari raya aidiladha. Namun Malaysia dan beberapa negara Asean meraikan sambutan hari raya pada Ahad seperti diputuskan oleh pemerintah.
Timbul persoalan mengenai puasa Arafah yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam kerana banyaknya fadilat di dalamnya termasuk dosa diampunkan setahun sebelum dan selepasnya.
Jadi bilakah puasa Arafah, Jumaat atau Sabtu. Ini penjelasan dari Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga merupakan bekas Menteri Agama.
Pada tahun ini, berlaku kenampakan anak bulan Zulhijjah di Arab Saudi awal sehari berbanding di Malaysia. Natijahnya, penentuan puasa hari Arafah berselisih sehari antara kita di Malaysia dengan penduduk di Arab Saudi.
Secara asasnya, matla’ negara Malaysia adalah berbeza dengan matla’ Arab Saudi kerana kedudukan kedua-dua negara ini adalah berbeza. Jarak antara Malaysia dan Arab Saudi adalah dianggarkan dalam 7000 kilometer dan jarak masa antara kedua negara ini adalah lebih kurang 5 jam.
Kedudukan Arab Saudi yang berada pada kedudukan yang lebih barat berbanding negara kita menyebabkan peluang untuk anak bulan kelihatan di negara berkenaan adalah lebih tinggi berbanding di negara kita. Justeru, ketika anak bulan dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan anak bulan tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia.
Oleh itu, kemungkinan peluang untuk anak bulan dapat dilihat adalah lebih tinggi di Arab Saudi berbanding di negara kita. Hal ini menyebabkan berlakunya perbezaan pada hari bermulanya Ramadhan, Syawal, Zulhijjah dan bulan-bulan yang lain.
Mazhab al-Syafie, Ishak Bin Rahawaih, Abdullah bin al-Mubarak dan Ibn Abbas R.Anhuma berpendapat: Setiap tempat yang berjauhan, mengikut ijtihad masing-masing dengan melihat anak bulan dan hisab. Dalilnya sebagaimana hadith Kuraib.
Al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj menjelaskan bahawa apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq.
Tambahan pula, terdapat juga hadith riwayat Ummu Salamah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:-
إِذَا رَأَيْتُمْ هِلَالَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ، فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعَرِهِ وَأَظْفَارِهِ Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya sehinggalah haiwan korbannya disembelih.”
Nabi SAW menyebut dengan kalimah; ‘Apabila kamu melihat’ menunjukkan hendaklah dilihat anak bulan awal Zulhijah bukan semata-mata di tempat berlakunya manasik haji. Nabi SAW menyebut ‘Anak bulan Zulhijah’ menunjukkan perintah untuk melihat anak bulan Zulhijah bagi menentukan tarikh Eid al-Adha atau Hari Raya Korban.
Sebagai kesimpulan, saya nyatakan bahawa puasa hari Arafah atau lebih tepat lagi 9 Zulhijah adalah berdasarkan kepada kelihatannya anak bulan setempat kerana isu matla’. Bagi meraikan perbezaan ini, marilah sama-sama kita berpuasa pada 8 Zulhijjah (puasa Tarwiyah) dan juga 9 Zulhijjah bagi meraikan hari Arafah yang berlaku di Makkah yang berbeza sehari dengan kita di Malaysia. Bahkan puasa yang dilakukan pada 8 Zulhijjah juga termasuk dalam ibadah dan amalan 10 hari awal Zulhijjah yang disukai Allah SWT. Wallahu a’lam.