Bagaimana Jin Mati! Adakah Sama Seperti Manusia?

Share

Dunia ini bukan saja dihuni oleh manusia tetapi juga semua makhluk ciptaan Allah. Ia termasuklah tumbuh-tumbuhan, gunung ganang, jin dan apa juga makhluk yang diciptakan.

Jika manusia itu dijadikan dari tanah, jin dijadikan dari api. Kisah makhluk bernama jin ini ada dinyatakan dalam surah Al-Jinn.

Surah Al-Jinn ialah surah ke-72 dalam al-Quran. Surah ini tergolong surah Makkiyah dan terdiri atas 28 ayat. Dinamakan "al-Jinn" yang bererti "Jin" diambil dari kata "al-Jinn" yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Pada ayat tersebut dan ayat-ayat berikutnya diterangkan bahawa jin sebagai makhluk halus telah mendengar pembacaan Al Quran dan mereka mengikuti ajaran Al Quran tersebut.

Kalau manusia itu meninggal dunia, bagaimana dengan jin. Adakah sama seperti manusia? Ikuti penjelasan dari pejabat Mufti Wilayah bagaimana jin mati.

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada asasnya, setiap makhluk akan mati dan binasa. Allah SWT berfirman:

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ ﴿٢٦﴾ وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya: Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa: (26) Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan:


Surah al-Rahman (26-27)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT memberitahu bahawa seluruh penghuni bumi akan pergi dan mati secara keseluruhan. Demikian juga halnya dengan penghuni langit, kecuali yang dikehendaki oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/110)

Menjawab persoalan di atas, jin juga adalah daripada makluk yang mengalami kematian sepertimana matinya manusia. Antara dalilnya adalah berdasarkan umum firman Allah SWT:

أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ حَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِم مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ

Maksudnya: Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka – dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka telah menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi. Surah al-Ahqaf (18)

Imam al-Alusi berkata: “Berdalilkan firman Allah SWT “ (bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka), maka jin juga mati daripada satu kurun kepada satu kurun sepertimana manusia.” (Lihat Ruh al-Ma’ani, 21/26)

Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Ayat di atas menjadi dalil bahawa jin juga mati.” (Lihat al-Fatawa al-Hadithiyyah, hlm. 155)

Begitu juga umum firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.” Surah Ali Imran (185)

Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW menyebut dalam salah satu doa Baginda:

أَعُوذُ بِعِزَّتِكَ، الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الَّذِي لاَ يَمُوتُ، وَالجِنُّ وَالإِنْسُ يَمُوتُونَ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kemuliaan-Mu yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Zat yang tidak akan mati. Manakala jin dan manusia akan mati.” Riwayat al-Bukhari (7383) dan Muslim (2717)

Kami katakan secara nyata dan jelas bahawa jin dan manusia pasti mati sepertimana disebut dalam nas ini.

Al-Tabrizi berkata: “Khusus disebut jin dan manusia kerana kedua-duanya ditaklifkan dan disampaikan dakwah kepada mereka.” (Lihat Mir’at al-Mafatih, 18/336)

Namun begitu, dalam golongan jin terdapat jin yang dinamakan dengan Iblis. Menurut ulama’, kematian Iblis ditangguh sehingga apa yang disebut “hari yang ditentukan waktunya.” Hal ini dirakamkan dalam firman Allah SWT:

قَالَ رَبِّ فَأَنظِرْنِي إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ﴿٣٦﴾ قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنظَرِينَ ﴿٣٧﴾ إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ

Maksudnya: Iblis berkata:" Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)". Allah berfirman: "Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh. "Hingga ke hari – masa yang termaklum". Surah al-Hijr (36-38)

Dalam mentafsirkan “إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ” (Hingga ke hari – masa yang termaklum) disebut bahawa ia adalah ketikamana tiupan sangkakala kali pertama. (Lihat Tafsir al-Jalalain, 4/339; al-Muharrar al-Wajiz oleh Ibn Atiyyah, 2/444; al-Wajiz fi Tafsir Kitab al-Aziz oleh al-Wahidi, 4/242)

Imam al-Baidawi berkata: Maksud firman Allah SWT hingga ke hari yang ditentukan waktunya adalah ajal kamu yang telah ditetapkan di sisi Allah SWT. Menurut majoriti ulama ialah ketika seluruh umat manusia sudah binasa, iaitu ketika sangkakala pertama ditiupkan. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 3/370)

Imam al-Alusi berkata: Firman Allah SWT “إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ” (Hingga ke hari – masa yang termaklum), khilaf pada penggunaan kalimah tersebut, yang masyhurnya adalah hari tiupan sangkakala yang pertama bukannya pada hari kebangkitan makhluk kerana hari kebangkitan itu bukannya hari kematian. Tetapi sebahagian mereka ada yang membenarkan untuk maksud iaitu hari kebangkitan bukannya pada hari tiupan sangkakala yang pertama, dan tidak semestinya syaitan itu tidak mati, boleh jadi syaitan itu mati pada hari pertama kemudian dalam masa yang sama ia dibangkitkan bersama makhluk-makhluk lain. (Lihat Ruh al-Ma’ani

, 8/91)

Allah SWT berfirman:

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ

Maksudnya: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).
Surah al-Zumar (68)

Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat di atas berkata: Ibn Abbas R.Anhuma menyebut bahawa dimaksudkan dengan tiupan sangkakala pertama iaitu ketikamana matinya semua makhluk. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/27)

Kesimpulan

Jin juga akan mengalami kematian sepertimana manusia menghadapi mati. Hal ini jelas berdasarkan nas dan dalil-dalil yang telah dikemukakan.

Namun, terkecuali bagi Iblis, maka kematiannya adalah ketika berlakunya tiupan sangkakala pertama. Maka pada ketika itulah, Iblis akan menemui kematian bersama kesemua makhluk yang lain.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman dalam mengamalkan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Published by
almaswa Haji Che Ros