Kematian adalah pasti. Ini dinyatakan dalam nas dan telah difahami oleh semua manusia.
Firman Allah SWT:-
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: “Setiap jiwa pasti merasai kematian dan kepada Kami pasti kami dikembalikan.” (Surah al-Ankabut: 57)
Kematian tidak mungkin bertangguh apabila sampai ajalnya. Firman Allah SWT:-
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: ““Bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan), maka apabila telah sampai masanya, mereka tidak dapat menangguhkannya walaupun sesaat, dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya.”(Surah al-A’raf: 34).
Kematian bukan saja ujian buat yang merasainya tapi juga mereka yang tinggal untuk lebih bersedia dengan kematian yang datang secara tak terduga.
Firman Allah SWT:-
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (Surah al-Mulk: 2)
Jika kematian biasa, kita memahami bagaimana menguruskan jenazah iaitu memandikannya. Tapi bagaimana keadah menguruskan jenazah yang mati rentung terbakar.
Dikongsi dari Pejabat Mufti Wilayah, ini keadah menguruskan jenazah yang rentung terbakar.
Hukum asal atau hak bagi jenazah adalah wajib dimandikan, sama ada ianya terbakar ataupun tidak. Sekiranya terdapat keuzuran seperti tahap kebakaran yang amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn), tidak diperlukan air kerana dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal dan menyukarkan lagi keadaan. Maka, digantikan dengan tayammum
.Ini adalah pandangan dalam mazhab Syafie. Dalil bagi para fuqaha’ adalah qias kepada keadaan orang yang hidup. Sekiranya seseorang yang sihat berubah daripada wudhu’ dengan air kepada tayammum disebabkan keuzuran tertentu, begitu juga bolehnya ditayammumkan jenazah kerana keuzuran pada jenazah itu sendiri.
Imam Al-Nawawi rahimahullah apabila menjelaskan hal ini berkata: Apabila terdapatnya keuzuran untuk memandikan mayat disebabkan ketiadaan air, atau jenazah terbakar, yang mana apabila ia dimandikan akan menyebabkan daging terpisah maka ia tidak dimandikan bahkan ditayammum. Dan tayammum ini wajib kerana ia adalah proses penyucian yang tidak berkaitan dengan menghilangkan najis maka wajib untuk beralih kepadanya (tayammum) ketika tidak mampu menggunakan air sama seperti mandi junub. Lihat Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab (5/178).
Dalam Raudhah al-Talibin, Imam al-Nawawi juga mengulas hal yang sama. Menurutnya, “Jikalau seseorang Islam terbakar sekira-kira jika dia dimandikan dia akan hancur lumat, dia tidaklah dimandikan, bahkan cukuplah ditayamumkan.” Lihat Raudhah al-Talibin,( 2/108).
Begitu juga Syeikh Nawawi al-Bantani rahimahullah menyebutkan: “Dan mayat yang tidak dapat dimandikannya kerana ketiadaan air atau seumpamanya, seperti jenazah yang terbakar jika dimandikan akan hancur, maka ia ditayammumkan.” Rujuk Nihayah aI-Zain (hal. 151)
Maka, dalam isu kebakaran yang berlaku baru-baru di ini Darul Qur’an Ittifaqiah – setelah mendengar penjelasan pihak berwajib – kami berpandangan bahawa jenazah mangsa kebakaran memadai ditayammumkan sahaja.