‘Bahagi masa untuk hafal Al-Quran dan akademik.’ Graduan hafizah berjaya genggam dua sijil serentak.
Malah mampu khatam dua kali sepanjang pengajian. Hebatnya gadis ini mampu bahagikan masa untuk belajar dan hafaz Al-Quran.
Artikel Berkaitan: ‘Layak Mengajar Tahfiz Seluruh Dunia.’ Khatam Al-Quran Dalam Masa 17 Jam, Iman Asri Pemegang ‘Syahadah Ula al-Fateh’
Nadia Atifah Mamat, 22, mencatat sejarah menjadi graduan hafizah pertama politeknik apabila dianugerahkan Diploma Pengajian Perniagaan dalam Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) kali ke-23 yang berlangsung baru-baru ini.
Lebih membanggakan, anak keempat daripada lima beradik ini juga berjaya khatam hafazan Al-Quran buat kali kedua serta turut menerima Sijil Tahfiz Malaysia daripada Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Nadia, rahsianya berjaya membahagikan masa mengikuti dua pengajian serentak adalah dengan mengenal kemampuan dan kekuatan diri berdasarkan empat pecahan waktu.
“Kaedah ini saya gunakan sejak di bangku persekolahan yang mana kekuatan diri saya dalam hafazan adalah pada waktu pagi dan malam manakala waktu tengahari dan petang untuk akademik,”
“Tidak dinafikan jadual rutin harian kami agak padat berbanding rakan-rakan sepengajian yang lain. Sering kali jadual kami penuh dari 8 pagi hingga 10 malam namun dengan dorongan dan sokongan daripada rakan-rakan dan para pensyarah membuatkan semua terasa ringan, indah dan berbaloi,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis yang diadakan di Dewan Al-Jazari PSA.
INFO:
Selain mudah menghafaz, Nadia mampu menghafal empat mukasurat sehari secara konsisten, dia juga merupakan gadis yang unik dan berani. Dalam masa yang sama, berwawasan tinggi.
Jika pelajar tahfiz lain kurang minta menyertai aktiviti kokurikulum seperti sukan dan kebudayaan tetapi cukup berbeza dengan Nadia. Baginya, dia perlu berani cross border sebagai medan dakwah. Dalam erti kata lain, Nadia membawa dakwah islam dalam dimensi berbeza.
Menurut Ketua Jabatan Pengajian Am Haslina Abdullah, para pensyarah mengenali Nadia sebagai seorang pelajar yang berani, kuat tekad untuk mencapai kejayaan dan sangat lancar menghafaz atau istilahnya “masyi” dalam kalangan pelajar tahfiz.
“Beliau sangat komited dengan kelas walaupun semasa sesi tasmik secara dalam talian semasa tempoh pandemik COVID-19. Hatta dalam tempoh latihan industri juga, Nadia akan memastikan dia menghafaz al-Quran sebelum memulakan kerja seawal jam 7.30 pagi,”
PSA adalah politeknik pertama yang memperkenalkan program berkembar Diploma Politeknik dan Pensijilan Tahfiz al-Quran JAKIM.
“Graduan berkemahiran dan huffaz adalah manifestasi strategi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang digariskan Kementerian Pengajian Tinggi sekali gus melahirkan teknokrat huffaz yang menjadi penggerak pembangunan negara,” ujar Pengarah PSA, Dr. Mohd Zahari Ismail ketika mengulas kejayaan PSA melahirkan generasi kedua graduan Techno Huffaz.
Tahun ini seramai empat graduan Pensijilan Tahfiz al-Quran JAKIM berjaya dilahirkan PSA dengan dua daripadanya diraikan dalam Konvokesyen PSA kali ke-23 yang berlangsung pada 1 dan 2 Oktober 2022.
Seramai 1,684 graduan ijazah sarjana muda, diploma dan sijil daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Perdagangan diraikan dalam majlis konvokesyen kali ini.
Artikel Berkaitan:
Ini Rupanya RAHSIA Sharifah Khasif Hafal Al-Quran, Ayuh Cuba Amalkan!
Pelajar Tahfiz Hanya Memerlukan Senaskhah Saja, Pensyarah Nasihat Hati-Hati Tentang Wakaf Al-Quran
Kashoorga: Tahniah buat Nadia Atifah Mamat dan keluarganya. Satu pencapaian yang membanggakan!
Sumber: Unit Komunikasi Korporat, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.