Bahagia Bukan Ketika Banyak Duit Tapi Ketika Tolong Orang, Cikgu Belanja Satu Kelas Makan KFC

Share

Kata Imam Al Ghazali, bahagia ialah ketika mana manusia berada dalam satu puncak ketakwaan. Ia merupakan kenikmatan daripada Allah SWT.

Kata Ibnu Sina pula, kebahagiaan yang hakiki akan diperoleh pada hari akhirat kelak.

Kebahagiaan bukan ada pada istana yang kita bina, bukan pada banyaknya harta seperti Qarun yang akhirnya tenggelam kerana ketamakkan dirinya, pangkat yang kita sandang ketika ini atau apa kita peroleh hari ini tapi bahagia ialah bila melihat orang lain bahagia di saat kita membahagiakan mereka.

Ya, itulah bahagia sebenar-benar bahagia.

Ternyata bahagia itu dikongsikan oleh seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Baling, Kedah iaitu Cikgu Ismaniza Fahida Ismail yang telah memilih hampir sekelas pelajar dari Sekolah Kebangsaan Syed Sheh, Kupang, Baling untuk menikmati ayam goreng lazat KFC.

Lebih mengharukan, ada segelintir pelajar baru pertama kali menjejakkan kaki ke restoran makanan popular ini kerana kesusahan hidup yang dilalui oleh ibu bapa pelajar ini. Lebih menambah rasa sebak,  saat menjamu selera,  terpancar wajah ceria anak-anak kecil ini menikmati hidangan lazat dihidangkan.

Video di aplikasi Tik Tok @Cik Puan Gojes iaitu produk kosmetik yang ditubuhkan oleh cikgu ini sudah ditonton oleh 1.5 juta orang dan masing-masing menzahirkan rasa terharu dengan keprihatinan dan sikap murah hati CPG ini.

Kata CPG di videonya, saat melihat anak-anak murid ini beratur mahu masuk ke restoran makanan segera ini dengan wajah masing-masing teruja untuk menikmati hidangan di sini, dirinya tidak mampu untuk menulis lagi (habis ayat nak buat karangan). Sebak, sedih dan gembira kerana inilah kali pertama anak-anak ini masuk ke KFC.

Tambahnya lagi bahagia itu tak dapat dibeli.

Dapat dilihat, saat  sos perlu ditekan sendiri untuk dicicah bersama ayam goreng, ada murid-murid yang agak kehairanan. Barangkali tidak biasa melihat situasi begini.

Dan saat makan ayam KFC, dapat dilihat wajah pelajar-pelajar ini tersenyum manis. Barangkali mengucapkan syukur kerana ada guru yang baik hati membelanja mereka.

Bagi kita, makan KFC mungkin biasa bagi kita yang duduk di kota tapi luar biasa bagi anak-anak yang lahir di kampung dan pendapatan ibu bapa hanya biasa-biasa saja.

Dalam satu perkongsian sebelum ini di fbnya, usahawan berjaya ini pernah menukilkan satu kisah benar yang dilaluinya pada zaman sekolah di mana guru bersikap memilih kasih dan dia merasai pengalaman pahit itu.

Dan kerana hal itulah membuatnya tekad menjadi guru dan membuktikan kenapa guru perlu melayan pelajar sama rata. Sebak kisahnya, ada banyak pengajaran. Boleh baca di fbnya.

Satu perlu kita ingat, kebahagiaan itu bukan berupa cek yang dapat kita ditunaikan, bukan juga berapa banyak kenderaan mewah kita miliki, bukan berupa bunga yang dapat dicium bau yang semerbak harumnya tapi kebahagiaan itu adalah keriangan hati kerana kebenaran yang kita jalani, berlapang dada dengan prinsip yang diyakini dan memiliki ketenangan hati kerana kebaikan yang dimiliki.

Nabi SAW bersabda:-

الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ

Maksudnya: Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu.

(Riwayat Ahmad (18006)

Pernah ditanya kepada ahli hikmah: “Siapakah manusia yang paling bahagia?”

Jawabnya: “Orang yang membahagiakan orang lain.”

Dengan sebab itu tidak pelik apabila Rasulullah SAW menyebut tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A, Nabi SAW bersabda:-

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى

Maksudnya: Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. (Riwayat al-Bukhari (1427)

Al-Mubarakfuri berkata: “Tangan yang di atas adalah tangan yang memberi atau berinfaq. Sedangkan tangan yang dibawah ialah yang meminta.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/289). Inilah bahagia sebenar-benar bahagia.

Published by
almaswa Haji Che Ros