Tidak dinafikan lambakan makanan hipster atau viral menjadikan nafsu makan tidak dapat dibendung. Asal saja makanan dijual viral, pasti kita mahu merasainya kerana dikatakan tidak mahu ketinggalan dan menjadi orang yang pertama di media sosial.
Walau bagaimanapun, dek kerana keinginan untuk merasainya lebih tinggi, jadi ada antara kitayang tidak peduli status makanan berkenaan adakah ia halal atau tidak.
Jika sebelum ini, isu air teh boba (satu jenama) yang diragui status halalnya dan terkini viral di media sosial status premis menjual Laksa Ah Cheng di Putrajaya.
Dikatakan premis laksa berkenaan yang sering dikunjungi orang Islam mengandungi campuran darah babi pada penyediaan kuahnya.
Sebaik isu ini menjadi tular pihak Laksa Ah Cheng menerusi laman Facebook juga turut membuat penjelasan berkenaan produk makanan keluaran mereka.
Menurut mereka makanan keluaran dari Central Kitchen Ah Cheng Laksa adalah disahkan HALAL oleh pihak JAKIM.
Malah semua bahan-bahan dan penyediaan makanan yang disediakan di semua cawangan Ah Cheng Laksa adalah dibekalkan dari Central Kitchen yang telah disahkan HALAL.
Sebelum ini Facebook Bahagian Hab Halal Jakim juga turut memberi respon berhubung isu viral ini.
Menurut mereka, Premis Makanan Ah Cheng Laksa tidak pernah mendapat sijil Halal cuma Central Kitchen yang berlokasi di Subang Jaya telah dipersijilkan HALAL.
Penjelasan Isu Status Halal Premis Makanan Ah Cheng Laksa
Media sosial halal Malaysia kini dihujani dengan pertanyaan awam berkenaan status halal premis makanan Ah Cheng Laksa. Ianya berpunca daripada tular yang mendakwa premis makanan tersebut menggunakan ramuan yang tidak halal dan tidak sesuai dikunjungi oleh pelanggan khususnya yang beragama Islam.
Untuk makluman, premis makanan Ah Cheng Laksa masih belum menjadi pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Walau bagaimanapun, central kitchen bagi premis makanan berkenaan yang didaftar atas nama Ah Cheng Laksa Sdn Bhd di lokasi Taman Perindustrian USJ 1, Subang Jaya, Selangor telah dipersijilkan halal.
Pensijilan halal yang diperolehi oleh central kitchen tidak bermakna seluruh rangkaian outletnya telah dipersijilkan halal kerana bagi permohonan premis makanan berangkai, terdapat syarat-syarat khusus pensijilan halal yang perlu dipenuhi.
Justeru, JAKIM mengalu-alukan usaha murni pihak syarikat untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk seluruh rangkaian premisnya agar kekeliruan status halal dapat diatasi dengan berkesan.
Pihak kami menyarankan kepada para pengguna untuk mengutamakan produk atau premis makanan yang telah mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
Premis atau produk makanan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia bukan sahaja dijamin halal malahan ianya toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard, peraturan dan perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.
Pengguna juga dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah dan salah faham sesama ummah yang akan menjejaskan keharmonian negara.
Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.
Ikuti penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular di:-
http://bit.ly/PenjelasanIsuHalalTular
Terima kasih.
“Yakini Halal Malaysia”
Seksyen Komunikasi Korporat,
Bahagian Pengurusan Halal,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
📧 pr_halal.islam@1govuc.gov.my
☎ 03-8892 5000/1
02 Rabiulawwal 1441 H
30 Oktober 2019 M
#MelebarRisalahMenyantuniUmmah
KASHOORGA: Perlu diingat apa yang kita makan akan menjadi darah daging. Jadi fikirlah apa yang terbaik dan buat penilaian terutama bab makanan kerana kita tidak mahu mencampurkan apa yang syubhah menjadi darah daging. Jangan disebabkan viral kita meminggirkan soal kandungan sebenar apa yang kita makan.