Bakal Pengantin Boleh Nikah Di Seluruh Masjid Di KL/Putrajaya, Kehadiran 10 Orang Termasuk Jurugambar

Share

Berita baik untuk pasangan pengantin meraikan hari bahagia apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memberikan kebenaran bernikah di seluruh masjid di Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya berkuat kuasa mulai hari ini (17 September).

Disamping kehadiran wali dan ibu bapa dari kedua belah pihak selain saksi dari JAWI, pasangan pengantin boleh membawa seorang jurugambar untuk merakam momen indah kedua mempelai disatukan di majlis berkenaan.

Bagaimana pun, kesemua 10 orang termasuk pasangan pengantin  perlu memenuhi syarat ditetapkan dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 termasuk sudah lengkap divaksinasi dan perlu menunjukkan sijil vaksin berkenaan apabila diminta. Dan seandainya belum lengkap di vaksin, bakal pengantin perlu menunjukkan ujian PCR tiga hari sebelum majlis.

Bekas pesakit Covid dan telah sembuh sepenuhnya  adalah DIWAJIBKAN mengemukakan  surat pengesahan (discharge note) daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia atau Jabatan Kesihatan Negeri. Masa yang sama, mereka bukan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Masa yang sama, mereka tidak bergejala dan bukan kontak rapat pesakit Covid-19.

Berikut adalah  kenyataan rasmi dikeluarkan oleh JAWI:-

Alhamdulillah. Kami menetapkan perluasan kebenaran Majlis Akad Nikah di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk maslahah umat Islam berkuatkuasa 17 September 2021 (Jumaat) seperti berikut :-

  1. Majlis akad nikah dibenarkan untuk dijalankan di semua masjid di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya
  2. Mereka yang telah mempunyai Kebenaran Berkahwin JAWI hendaklah membuat janji temu dengan pihak masjid bagi mendapatkan tarikh serta waktu akad nikah.
  3. Kehadiran ke majlis akad nikah di masjid terhad kepada 10 orang sahaja iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, ibu pengantin perempuan, kedua-dua ibubapa pengantin lelaki, jurunikah, dua (2) orang saksi daripada pihak JAWI/Masjid yang berkenaan dan seorang jurugambar.
  4. Semua pihak yang dibenarkan hadir ke majlis akad nikah telah lengkap menerima vaksin dan perlu mempamerkan sijil vaksin digital.
  5. Bagi yang masih tidak lengkap vaksin adalah diwajibkan untuk menjalani swab test PCR dalam tempoh tiga (3) hari sebelum majlis akad nikah dan keputusan ujian yang negetif hendaklah diserahkan kepada jurunikah sebagai bukti untuk membolehkan majlis akad nikah diadakan.
  6. Bekas pesakit Covid dan telah sembuh sepenuhnya adalah diwajibkan mengemukakan surat pengesahan (discharge note) daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia atau Jabatan Kesihatan Negeri.
  7. Pasangan diberi masa 20 minit untuk majlis akad nikah semasa PPN Fasa 2 ini.

Masa yang sama, HANYA MAS KAHWIN dan dokumen-dokumen yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di ruang majlis. Gambar hiasan.

 

Published by
Almaswa Che Ros