Soal rezeki, ajal, dan jodoh itu terletak di tangan Tuhan. hanya Dia yang mengetahui bila nyawa kita akan diambil oleh Maha Pencipta.
Jika sudah tertulis di Lukh Makhfuz, memang ditakdirkan asbab kematian adalah kerana menyelamatkan dia orang mangsa lemas.
Begitulah kisah yang dialami oleh allahyarham Faris Iskandar, pelajar Admal Aviation College yang mati lemas di Sungai Kelemin, Felda Mengkawang di sini petang semalam.
Menurut bapanya dalam laporan di Astro Awani, anaknya itu berusaha untuk menyelamatkan dua orang mangsa lemas.
“Asbab kematiannya ialah, menyelamat dua mangsa lemas. Salah seorang daripada mangsa berumur 12 tahun, seorang lagi lebih kurang 25 tahun. Yang 25 tahun itu dalam keadaan sawan ketika dalam air.
“Kemudian, anak saya pergi berenang ke arah mangsa untuk selamatkanlah. Pertama, dia selamatkan yang umur 12 tahun, kemudian yang kedua. Dia selamatkan kedua-duanya. Tetapi, anak saya tenggelam,” kata Mohd Radhi.
Anaknya itu tenggelam selepas menyelamatkan dua rakannya yang lemas ketika mandi di sungai berkenaan.
Menurut Mohd Radhi, dia menyedari perubahan sikap anak ketiga dari lima beradik itu baru-baru ini tetapi tidak menyangka apa-apa.
“Dia cuma banyak ‘update’ status di WhatsApp berkenaan dengan akhirat. Kemudian, dia banyak menegur kawan-kawannya tentang pentingnya hidup kita ini, tentang solat. Dia kata, masa kita tak lama.
“Saya perasan perubahan itu apabila saya baca statusnya. Saya rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Tetapi, itulah, kita tak ambil pusing sangat perkara itu.
“Mungkin kerana, dia budak remaja, kan. Dia juga banyak habiskan masa di surau,” tambahnya, bercerita mengenai arwah anaknya yang menurutnya mula menyertai aktiviti lasak pacuan empat roda sejak berusia 10 tahun.
Dalam pada itu di Sinar Harian Mohd Radhi berkata, anaknya juga dilihat keberatan untuk pergi ke Sungai Kelemin semalam, namun tetap menyertai aktiviti perkelahan bersama keluarganya itu.
“Sejak kecil lagi Faris Iskandar selalu mengikuti ke mana sahaja ‘trip’ saya pergi dan sentiasa menjadi peneman ketika saya memandu, tidak sangka perkelahan kali ini merupakan ‘perjalanan’ terakhir saya bersama arwah.
“Walaupun sedih dan terkilan dengan kehilangannya, tetapi saya reda. Sewaktu saya melihat jenazah arwah tadi, arwah seolah-olah sedang tidur seperti kebiasaanya di rumah,” katanya dalam keadaan sebak.
Sementara itu Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima laporan kes lemas itu pada jam 6.10 petang semalam dan operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan oleh pihak bomba dan orang awam.
“Mayat mangsa ditemui pada jam 7.33 malam tadi dan telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu. Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu pagi ini.