Basuh Anggota Wuduk Lebih Tiga Kali, Apakah Sah Wuduknya?

Share

Semua tahu bahawa membasuh anggota wuduk adalah wajib sebelum bersolat. Kita sedia maklum, anggota wuduk dibasuh sebanyak tiga kali. Namun, ada juga sama ada terlupa, disengajakan atau was-was semasa ambil wuduk sehingga terlajak lebih daripada tiga kali membasuh anggota badan.

Kita ikuti penjelasan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang hal ini. Dalam mendirikan solat, ada sebab mengapa Allah telah aturkan tertibnya atau dalam bahasa popular sekarang SOP nya.

Artikel berkaitan: Subhanallah, Wuduk Jadikan Wajah Kita Bercahaya & Pintu-Pintu Syurga Terbuka

Artikel berkaitan: Sah Atau Tak Ambil Wuduk Tapi Pakai Maskara, Dengarkan Penjelasan Ustaz

Soalan:
Assalamualaikum w.b.t
Saya selalu melihat ada orang berwuduk dan membasuh anggota wuduk berkali-kali. Mencuci wajah dan tangan berkali-kali, berkemungkinan empat atau lima kali. Apakah hukumnya serta adakah ia dibenarkan? Harap Datuk Mufti dapat beri pencerahan.

Jawapan :
Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”


(Surah al-Maidah : 6)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. Anggota-anggota wuduk yang wajib untuk dibasuh

Oleh itu, secara ringkasnya kita dapat ketahui bahawa anggota wuduk yang wajib dibasuh ialah :

  • Seluruh muka beserta niat.
  • Membasuh tangan hingga ke siku.
  • Membasuh sebahagian daripada kepala sekurang-sekurangnya membasahkan tiga helai rambut
  • Membasuh kaki sehingga ke buku lali.
  • Hendaklah membasuh anggota-anggota tadi mengikut tertib.

Selain daripada anggota-anggota wajib tersebut maka hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut (sunat muakkad). Ini seperti membaca Basmalah ketika mula mengambil wuduk, membasuh tangan sebelum memasukkannya ke dalam bekas air, berkumur, memasukkan air ke dalam hidung, membasuh seluruh kepala, membasuh kedua-dua telinga, memulakan setiap anggota dengan anggota sebelah kanan, melaksanakannya secara berturut-turut, menggosok, membasuh setiap anggota dengan tiga kali basuhan dan lain-lain.

Sunat membasuh setiap anggota wuduk dengan tiga kali basuhan
Syeikh Daud al-Fatani menyatakan bahawa dikira tiga kali bagi air yang mengalir dengan melalui tiga kali olak (pengaliran) air ke atas anggota berkenaan, dan bagi air yang tenang dengan digerak-gerakkan anggota sebanyak tiga kali.
Membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali basuhan

Walau bagaimanapun, di dalam riwayat Abdullah bin Amr ada menceritakan bahawa :
جاءَ أعرابيٌّ إلى النَّبيِّ -ﷺ- يسألُهُ عنِ الوُضوءِ؟ فأراهُ الوُضوءَ ثلاثًا، ثمَّ قالَ : هكَذا الوُضوءُ فمَن زادَ على هذا فقَد أساءَ وتعدّى، وظلمَ
Maksudnya : “Seorang Arab Badwi telah datang bertemu Nabi SAW, bertanyakan mengenai (cara) wuduk? Baginda telah mengajarkannya supaya berwuduk dengan tiga kali basuhan (bagi setiap anggota). Kemudian, baginda bersabda : Beginilah cara berwuduk (yang benar), sesiapa yang menambah daripada ini (melebihi 3 kali basuhan), maka dia telah melakukan keburukan, melampaui batas dan berlaku zalim.”

Riwayat al-Nasaie (140)

Para ulama telah menyatakan bahawa membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali adalah makruh hukumnya. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan :
وَقَدْ أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى كَرَاهَةِ الزِّيَادَةِ عَلَى الثَّلَاثِ وَالْمُرَادُ بِالثَّلَاثِ الْمُسْتَوْعِبَةِ لِلْعُضْوِ وَأَمَّا إِذَا لَمْ تَسْتَوْعِبِ الْعُضْوَ إِلَّا بِغَرْفَتَيْنِ فَهِيَ غَسْلَةٌ وَاحِدَةٌ

Maksudnya : “Para ulama telah bersepakat (Ijma’) bahawa hukumnya adalah makruh (membasuh anggota wuduk) melebihi tiga kali. Dan yang dimaksudkan dengan tiga kali basuhan tersebut ialah aliran air yang mengenai seluruh anggota. Adapun, jika tidak dapat mengalirkan air (membasuh) ke seluruh anggota melainkan dengan dua kali siraman. Maka, dua kali siraman itu, baru dikira satu kali basuhan.”

Imam Syafie juga ada menyebutkan mengenai perkara ini di dalam kitabnya :
وَلَا أُحِبُّ لِلْمُتَوَضِّئِ أَنْ يَزِيدَ عَلَى ثَلَاثٍ وَإِنْ زَادَ لَمْ أَكْرَهْهُ
Maksudnya : “Dan aku tidak suka bagi seseorang yang berwuduk untuk menambah (dalam basuhannya) melebihi tiga kali. Akan tetapi, sekiranya dia menambah (melebihi), aku tidak memakruhkannya.”


Imam al-Nawawi menerangkan bahawa maksud perkataan Imam Syafie ‘tidak memakruhkannya’ di atas ialah ‘tidak mengharamkannya’. Begitu juga, dengan kenyataan Imam Syafie yang lain menyebutkan bahawa beliau tidak suka jika seseorang melebihi 3 kali basuhan (ketika berwuduk), akan tetapi sekiranya dia buat, perkara tersebut tidak memudaratkannya iaitu tidak berdosa. Ini menunjukkan bahawa perbuatan melebihi tiga kali basuhan bagi setiap anggota ketika berwuduk adalah makruh.

Sekalipun membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali makruh hukumnya, perbuatan tersebut tidak membatalkan wuduknya selagi mana air diratakan ke seluruh anggota wuduk dengan sempurna. Wuduknya tetap sah.

Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi :


إذَا زَادَ عَلَى الثَّلَاثِ فَقَدْ ارْتَكَبَ الْمَكْرُوهَ وَلَا يَبْطُلُ وُضُوءُهُ هَذَا مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ الْعُلَمَاءِ كَافَّةً وَحَكَى الدَّارِمِيُّ فِي الِاسْتِذْكَارِ عَنْ قَوْمٍ أَنَّهُ يَبْطُلُ كَمَا لَوْ زَادَ فِي الصَّلَاةِ وَهَذَا خَطَأٌ ظَاهِرٌ

 “Sekiranya seseorang menambah (basuhan) lebih daripada 3 kali, maka dia telah melakukan perbuatan yang makruh. Namun, (perbuatan itu) tidaklah membatalkan wuduknya. Ini adalah merupakan mazhab kami (Syafie) dan mazhab kebanyakan ulama. Al-Darimi telah menukilkan daripada segolongan ulama di dalam kitabnya al-Istizkar, bahawa wuduk terbatal, sebagaimana (hukum) sekiranya seseorang menambah-nambah (rukun) di dalam solatnya. Pendapat ini telah jelas kesilapannya.”

Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa membasuh anggota wuduk secara melebihi tiga kali basuhan adalah makruh. Akan tetapi, wuduknya tetap sah dan tidak membatalkan wuduknya selagimana air diratakan ke seluruh anggota wuduk dengan sempurna.

Walau bagaimanapun, basuhan tersebut hanya dikira setelah dia sempurna mengalirkan air (membasuh) ke seluruh anggota wuduk berkenaan. Adapun, jika tidak dapat mengalirkan air ke seluruh anggota melainkan dengan dua kali siraman contohnya. Maka, dua kali siraman itu, baru dikira satu kali basuhan. Imam al-Ramli ada menyebutkan bahawa syarat sebelum membasuh untuk kali kedua dan ketiga adalah perlu menyempurnakan basuhan wajib (yang pertama).

Marilah sama-sama kita renungi kata-kata Syeikh Mulla Ali al-Qari yang menyatakan berlebihan dalam berwuduk seperti menambah lebih dari tiga kali basuhan, tidak ada kebaikan dalam perkara yang berlebihan tersebut.
Semoga bermanfaat.

Published by
Emma Masri