
Soalan
Apakah hukum menerima wang bayaran hutang dari penghutang yang mendapatkan wang dari sumber yang haram seperti judi?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, hukumnya adalah harus dan halal menerima wang tersebut. Penghutang wajib membayar hutangnya. Bagaimana kaedah penghutang mendapatkan wangnya, itu menjadi soal lain.
Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran yang bermaksud: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain.” (al-An’am : 164)
Dalil ini diperkuatkan sebagaimana amalan Nabi SAW yang menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan baginda kambing dan baginda memakannya. Walaupun Yahudi terkenal dengan penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka.

Secara kesimpulannya, terdapat seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud yang bermaksud: “Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.
Sumber: Mufti Selangor
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Pakai Dulu Bayar Sikit-Sikit, Mufti WP Kongsikan Hukum Beli Emas Secara Ansuran

Ramai di kalangan kaum wanita amat sukakan barangan kemas. Adakalanya tidak mahu banyak, cukup seurat di jari dan lengan. Namun ada juga “kegilaan” membeli barangan kemas hasil dari usaha menyimpan dan berniaga. Ada juga yang membelinya untuk dijadikan simpanan ketika sesak. Apa saja pun niat kita membeli barangan kemas khususnya secara ansuran, ikuti pandangan dari Mufti Wilayah Persekutuan,Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Haji Abdullah mengenai hukum membeli emas secara ansuran.
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya adakah dibenarkan untuk membeli emas dengan cara hutang? Maksudnya emas tersebut saya ambil dan pakai dahulu, kemudian baru buat pembayaran.
Ringkasan Jawapan
Jual beli emas secara ansuran adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.
Huraian Jawapan
Asalnya, hukum berjual beli suatu barang adalah diharuskan sama ada hendak membeli secara tunai mahupun hutang.
Namun begitu, apabila suatu urusniaga tersebut melibatkan item ribawi (barang-barang yang terpalit hukum-hakam riba), maka setiap pihak yang terlibat perlu memberikan perhatian khusus agar tidak terjerumus dalam kancah riba.
Item-item ribawi ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ
Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot)”.Hadis Muslim (1587)
Berdasarkan hadis di atas, jual beli item ribawi seperti emas perhiasan mestilah dilakukan secara lani (serta-merta) bukan bertangguh.
Huraiannya, jual beli hendaklah dilakukan secara on the spot dalam satu majlis; sama ada penyerahan dilakukan secara hakiki ataupun secara hukmi (contohnya diberikan resit pembayaran). Tidak boleh bertangguh sehari atau dua hari selepas itu. (Rujuk: Kompilasi Pandangan Hukum Mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, m/s 81)
Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau penyerahan barang, maka ia tergolong di bawah kategori Riba al-Nasiah; iaitu riba yang berlaku disebabkan tempoh bayaran bertangguh. Bahkan, lebih dahsyat pengharamannya apabila penangguhan bayaran tersebut disertakan bersama caj tambahan. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/110-111)
Oleh itu, jual beli emas secara ansuran seperti isu di atas adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.
Sebagai alternatif, pembeli dibolehkan untuk membuat pinjaman duit daripada pihak ketiga terlebih dahulu sebelum membeli emas tersebut secara tunai.
Walau bagaimanapun, pembeli perlu mengelakkan diri daripada meminjam duit daripada pihak yang sama yang menjual emas tersebut supaya tidak terjerumus dalam larangan Nabi Muhammad SAW berkenaan “jual beli dan hutang” dalam satu masa yang sama.
Ini bersandarkan kepada hadis Baginda,
أنَّ النبيَّ ﷺ نَهى عن بَيعتينِ في بيعةٍ وعن بَيعٍ وسَلَفٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang dua jual beli dalam satu transaksi serta jual beli dan hutang”. Musnad Ahmad (10/120)
Sebahagian ulama antaranya Ibn al-Qayyim Rhm. mengulas hadis di atas bahawa ia menjadi tunjang utama dalam mualamat yang melarang umat Islam daripada berbuat helah untuk melakukan riba dalam jual beli. Hal ini walaupun tidak disebutkan secara jelas namun dapat difahami berdasarkan senario yang berlaku bahawa terdapar dua hasrat yang ingin dicapai oleh kedua-dua penjual dan pembeli, iaitu:
1) Penjual emas meminjamkan duit mereka bertujuan agar emasnya dapat terjual. Sedangkan jika pelanggan tersebut tidak mahu membeli emas tersebut, nescaya penjual tidak meminjamkan duitnya.
2) Pembeli pula sekiranya tidak diberi pinjaman wang kepadanya oleh penjual, nescaya dia tidak akan membeli emas tersebut.(Lihat: Tahzib Sunan Abi Daud, 2/190)
Akhir kata, kami menasihatkan agar para pembeli tidak menambahkan hutang melainkan untuk perkara-perkara yang mendesak sahaja. Adapun sekiranya mempunyai lebihan wang selepas ditolak perbelanjaan utama, maka diharuskan untuk membeli aset dan hart lain seperti emas dengan syarat pembayaran mestilah dilakukan secara tunai.
Wallahu a’lam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Orang Yang Koma Tak Perlu Qada Solat, Tapi Lain Hukumnya Kalau Dah Sembuh. Ini Penjelasan Mufti Wilayah!

Sekiranya ada orang mengalami koma selama berbulan-bulan. Apabila sedar, adakah dia perlu qada semula solatnya?
Jawapan:
Istilah koma membawa maksud keadaan tidak sedarkan diri untuk beberapa lama (biasanya akibat kemalangan atau sesuatu penyakit). (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)
Berdasarkan isu itu, kami mulakan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)
Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)
Orang yang koma dalam tempoh lama tidak perlu qada solatnya kerana dalam tempoh itu, akalnya dikira tiada.
Ini kerana salah satu daripada perkara yang mewajibkan solat adalah berakal. Maka, tidak wajib solat bagi orang gila, pengsan, mabuk dan seumpamanya kerana pada waktu itu akal mereka sudah hilang.
Ini dinyatakan di dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.” (Riwayat al-Tirmizi – 1423 dan Ahmad 956)
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, ungkapan ‘al-Ma’tuh’ membawa maksud gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/570)

Ulama mengqiyaskan bagi setiap orang yang hilang akal mereka dengan orang gila sama ada dalam tempoh masa sekejap atau lama.
Jika dia sembuh dan berbaki masa untuknya solat (bertakbir), maka wajib baginya solat. Bagaimanapun, dia tidak wajib qada solat dalam tempoh berkenaan (hilang akal).
Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu’: “Sesiapa yang hilang akalnya dengan sebab yang tidak diharamkan (syarak) seperti menjadi gila, koma, pengsan atau hilang akal dengan sebab sakit atau meminum ubat kerana keperluan atau dipaksa meminum minuman yang memabukkan hingga hilang akalnya, tidak wajib solat atasnya dan apabila dia tersedar, tidak diwajibkan qada solat atasnya sama ada singkat atau lama tempoh gila dan pengsannya itu. Inilah yang menjadi mazhab kami (mazhab Syafi’ie).” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/6)
Secara umumnya, kami nukilkan pelbagai pandangan fuqaha dan mazhab bagi memberikan lebih pencerahan dan kefahaman.
Ulama khilaf dalam beberapa pendapat:
• Mazhab Maliki dan Syafi’ie berpendapat, tidak perlu qada kerana ia tidak termasuk dalam mukallaf, dalam keadaan pengsan atau koma.
• Mazhab Hanbali berpendapat, perlu qada.

• Mazhab Hanafi berpendapat, perlu qada jika tidak melebihi enam waktu solat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 11/110)
Sekiranya keadaan itu bukan dalam tempoh panjang, maka dia perlu qada. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan yang bermaksud: Bahawa ‘Ammar pernah pengsan selama tiga malam. Apabila terjaga, beliau bertanya: Adakah aku sudah solat?
Mereka menjawab: “Kamu tidak solat sejak tiga malam.” Kemudian beliau berwuduk dan sembahyang qada tiga malam tersebut.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf – 2/268)
Daripada Imran bin Husain dan Samurah bin Jundub R.Anhuma juga diriwayatkan seumpamanya. Tiada sebarang khilaf, maka ia seolah-olah ijmak. (Lihat al-Mughni, 1/240 dan al-Majmu’, 3/8)
Setelah meneliti hujahan dan pendapat ulama dan fuqaha, kami lebih cenderung kepada qada solat jika sekiranya tempoh pengsan pendek seperti kurang tiga hari dan tidak perlu qada jika tempoh koma atau pengsan dalam tempoh lama, yang lebih dari tiga hari. Itulah amalan sahabat Rasulullah SAW.
SUMBER: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Via Harian Metro
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bagaimana Pahalanya Ibu Yang Sediakan Juadah Berbuka, Beri Makanan Untuk Orang Berpuasa

Soalan :
Assalamu’alaikum ustaz, adakah seorang ibu yang menyediakan juadah berbuka untuk keluarganya turut mendapat pahala memberi makan kepada orang berbuka puasa ?
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam bulan Ramadhan, kita amat-amat dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan soleh. Antara amalan soleh yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya : Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.
Riwayat Al-Tirmizi (807)
Bahkan Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa beliau berkata : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’.
Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Maksudnya : Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.
Surah Al-An’aam (160)
Justeru, apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, perkataan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa datang dalam bentuk yang umum. Dalam erti kata, ia meliputi perbuatan membelanja makan, memasakkan makanan lalu diberikan kepada orang yang berbuka puasa, juga turut meliputi perbuatan membantu penyediaan makanan serta mengagihkan makanan. Setiap individu yang terlibat dalam usaha memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, akan diganjarkan pahala dengan mengikut kadar usaha sama ada banyak ataupun sedikit.
Kerana itu dalam isu perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha’ sama ada makanan yang diberikan adalah makanan yang mengenyangkan atau apa sahaja makanan termasuk makanan yang ringan seperti buah tamar, segelas air, kuih muih, dan seumpamanya, kami berpendapat bahawa makanan yang afdhal adalah makanan yang mengenyangkan. Manakala seseorang yang memberi makanan seperti kurma dan segelas air, turut mendapat pahala perbuatan memberi makan tersebut.
Ini adalah jelas seperti yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ قَالَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ أَوْ تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ
Maksudnya : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya’’. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah S.A.W : ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah S.A.W menjawab : ‘’Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’’.
Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)
Maka pengajaran dari hadis di atas, pahala dan ganjaran itu diberikan mengikut kadar usaha masing-masing dalam memberikan makanan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini juga seperti yang ditunjukkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Khalid Al-Juhani R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
مَنَ جَهَّزَ غَازِيًا فَقَدْ غَزَا وَمَنْ خَلَفَ غَازِيًا فِي أَهْلِهِ فَقَدْ غَزَا

Maksudnya : Sesiapa yang mempersiapkan (peralatan) bagi mereka yang pergi berperang, dia juga (dianggap) telah pergi berperang. Dan sesiapa yang menjaga (kebajikan) keluarga seseorang yang pergi berperang, dia juga dianggap telah pergi berperang.
Riwayat Muslim (1895)
Imam Al-Nawawi dalam syarahan ke atas hadis ini beliau berkata :
وَهَذَا الْأَجْرُ يَحْصُلُ بِكُلِّ جِهَادٍ وَسَوَاءٌ قَلِيلُهُ وَكَثِيرُهُ وَلِكُلِّ خَالِفٍ لَهُ فِي أَهْلِهِ بِخَيْرٍ مِنْ قَضَاءِ حَاجَةٍ لَهُمْ وَإِنْفَاقٍ عَلَيْهِمْ أَوْ مُسَاعَدَتِهِمْ فِي أَمْرِهِمْ وَيَخْتَلِفُ قَدْرُ الثَّوَابِ بِقِلَّةِ ذَلِكَ وَكَثْرَتِهِ وَفِي هَذَا الْحَدِيثِ الْحَثُّ عَلَى الْإِحْسَانِ إِلَى مَنْ فَعَلَ مَصْلَحَةً لِلْمُسْلِمِينَ أَوْ قَامَ بِأَمْرٍ مِنْ مُهِمَّاتِهِمْ
Maksudnya : Pahala ini terhasil dengan setiap usaha sama ada sedikit mahupun banyak, serta (pahala ini turut diperolehi) setiap individu yang menjaga kebajikan keluarga mereka yang keluar berperang dari sudut menunaikan hajat mereka, bersedekah ke atas mereka, membantu mereka dalam urusan, dan ia (ganjaran pahala) berbeza mengikut kadar sama ada sedikit atau banyak. Pada hadis ini juga terdapat galakan untuk berbuat ihsan (kebajikan) kepada mereka yang berkerja untuk kemaslahatan umat Islam atau mengambil tempat mereka dalam menjaga tanggungjawab dan kepentingan mereka.
Rujuk Syarah Al Nawawi ‘ala Sahih Muslim (13/40)
Penutup
Sebagai kesimpulan, setelah menekuni beberapa nas dan hujahan di atas, kami menyatakan bahawa seseorang ibu yang menyediakan makanan dan hidangan berbuka kepada keluarganya yang berpuasa turut termasuk dalam perbuatan memberi makan kepada orang berbuka. Demikian juga semua ahli keluarga baik suami dan anak-anak yang turut membantu ke arah menyiapkan juadah berbuka turut memperoleh ganjaran seperti yang disebutkan di dalam hadis. Ganjaran ini pula mengikut kadar usaha yang dilakukan dalam erti kata, lebih besar usaha makanya lebih besarlah juga ganjaran pahala. Wallahu A’lam.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI