Begini caranya nak elak riba bagi pembelian rumah. ‘Semua boleh asal disiplin.’ Memang tak mudah hendak menabung dalam jumlah yang banyak untuk membeli sebuah umah.
Apatah lagi setiap tahun harga rumah makin hari makin naik. Mungkin yang miliki tanah sendiri bernasib baik apabila mempunyai peluang kumpul duit sikit-sikit dan bina sendiri.
Puan Faridzal Radzali hanya berkongsi pandangan bagi mereka yang ingin elak riba bagi pembelian rumah. Mungkin cara wanita ini mampu membantu mereka mengumpul duit sedikit demi sedikit dalam memiliki rumah idaman tanpa riba.
Cara nak elak riba bagi pembelian rumah. Target nak beli rumah harga berapa. Contohnya RM100, 000.
Kita boleh simpan berapa sebulan? Katakan RM1,000.00 sebulan. Jadi, kena simpan secara istiqamah selama 100 bulan iaitu 8 tahun 4 bulan.
Nak Elak Riba
Selepas 8 tahun 4 bulan, agak-agak harga rumah yang kita target RM100K itu, masih berharga RM100K ke?
Tidak. Harga rumah meningkat sebanyak 15 peratus sehingga 20 peratus setiap tahun bergantung kepada peningkatan kos bahan mentah.
Bermakna selepas 8 tahun, harga rumah yang kita target tu mungkin dah RM200K katakan.
Jadi, kita kena simpan lagi 8 tahun. Selepas 8 tahun, harga rumah itu sudah mencapai harga RM300K. Begitulah seterusnya.
Ads
Bagi Pembelian Rumah
Jika keadaan ini berterusan, bila dan macam mana kita hendak buat pembiayaan perumahan.
Kita beli rumah RM100K. Bayar selama 16 tahun. Lepas 16 tahun barulah rumah itu menjadi hak kita. Kita bayar RM1k setiap bulan. Tapi kita sudah dapat rumah itu, geran sudah tukar nama kita.
Selepas 16 tahun (192 bulan), bayaran kita kepada bank ialah RM192K. Padahal harga rumah kita cuma RM100K.
Adakah RM92k tu riba?
Kalau ikut kiraan di atas, nampaknya ia seperti harga peningkatan harga hartanah mengikut tahun.
Saya tak sokong riba. Ianya haram. Itu jelas.
Semua Boleh Asal Disiplin
Sebab itulah pihak berwajib mengeluarkan produk Pembiayaan Secara Islamic di mana ada aqad waktu bank beli dari peminjam dan kemudian peminjam beli dari bank setelah habis bayaran ansuran.
Atau cara paling selamat, kita sewa rumah. Sudah tentu tidak akan ada riba. Tapi sewa rumah pun boleh naik, mengikut kadar nilai hartanah.
Ada seorang klien, dia datang mengamuk. Katanya tuan rumah yang dia sewa itu bagi notis suruh dia kosongkan rumah dalam tempoh 3 bulan sebab anak tuan rumah hendak tinggal di situ.
Ads
Sewa Rumah Pun Ada Risikonya
Penyewa ini marah-marah, katanya tuan rumah tak boleh halau dia macam itu saja. Dia bayar sewa tidak pernah gagal, naikkan sewa pun dia masih bayar. Dia sudah duduk di rumah itu selama 15 tahun, dari mula berkahwin sampai sekarang sudah ada 4 orang anak.
Lagipun katanya rumah itu dia jaga elok. Dia cat, rumah itu jadi cantik sebab mereka sekeluarga jaga rumah itu baik-baik. Tiba-tiba tuan rumah suruh keluar, tidak adil. Katanya.
Lalu saya jawab, “Tapi rumah itu tetap milik tuan rumah walau 100 tahun sekalipun. Dia tetap berhak menentukan siapa yang boleh tinggal di situ,”
“Kalau macam itu, saya hendak minta bayaran untuk semua kos yang saya sudah buat untuk jaga rumah tu sepanjang saya menyewa,” katanya.
“Semua itu dibuat atas arahan tuan rumah atau encik sendiri yang hendak buat?” Saya tanya.
Penyewa Tetap Penyewa
“Memanglah saya yang buat sebab saya yang nak tinggal di situ,” katanya.
“Tuan rumah ada janji bahawa dia akan bayar balik semua kos ke? Kalau ada, boleh bagi saya surat hitam putihnya?” Saya tanya.
“Memang tak adalah. Sebab saya buat sendiri. Tuan rumah pun tak tahu,” katanya.
Ads
“Jadi, encik hendak macam mana sekarang? Itu rumah dia,” saya tanya dia.
Dia diam.
Dan pada saya, tuan rumah itu bertolak ansur. Sebab ikut perjanjian, notis sepatutnya hanya sebulan, tapi tuan rumah bagi tempoh 3 bulan untuk penyewa cari rumah lain.
Masih lagi tuan rumah tak adil katanya.
Bukan saya kata sewa rumah tak elok. Bukan juga saya minta anda semua amalkan riba. Habis itu, macam mana? Fikirlah yang mana baik untuk kita.
‘Ramai artis buka tudung, semoga dibuka kembali hidayah.’ Ini peringatan ikhlas Nookhiriah untuk semua dan diri sendiri. Sedih dengan situasi yang berlaku, artis ini tampil meluahkan rasa.
Ternyata keputusan membuka hijab di kalangan selebriti dan pempengaruh media sosial kini seakan menjadi satu fenomena. Masing-masing memberikan pelbagai alasan ‘buka tudung’ dan tampil dengan gaya sendiri.
Ada yang merasakan selama ini tidak menjadi diri sendiri, jadi sekarang tiba masanya membuka tudung untuk tidak mahu menjadi hipokrit lagi. Allahuakbar!
Oleh itu Nookhiriah berasa terpanggil untuk menyampaikan pesan dan menasihati agar trend tersebut tidak menjadi kebiasaan dalam masyarakat.
“Assalamualaikum, bukan tugas akak untuk menilai. Akak pun jahil lagi cuma itulah, di zaman media sosial ini semua orang berlumba untuk cantik.
“Nak jadi macam yang itu, yang ini. Sebolehnya hati kena kental dik. Kalau tidak, kita tidak akan bersyukur dengan apa yang ada. Sedih juga sebenarnya apabila melihat semakin ramai yang membuka tudung, tetapi itu pilihan masing-masing.
“Akak cuma berdoa dan berharap semoga umur yang tua ini tidak diduga sebegitu. Tak ada apa yang hendak ‘dikepuk-kepukkan’ lagi,” titip pemilik nama Noorkhiriah Mohd Shapie.
Semoga Dibuka Kembali Hidayah
Dalam masa yang sama, terus terang pelakon ini tidak berniat untuk melukakan hati, namun pelakon berusia 44 tahun itu berharap wanita tidak terleka dengan perhiasan dunia dan berdoa agar hidayah memakai tudung dengan sempurna kembali.
“Cuma pesan akak, bila sudah puas ‘kepuk-kepukkan’ cinta dan baju belahan dada, berdoalah semoga dibuka kembali pintu hidayah yang pernah diberi dulu.
“Sebab tidak semua dicampakkan (hidayah) oleh Allah,” ujarnya.
Ini Peringatan Ikhlas Nookhiriah
Dalam pada itu. Noorkhiriah menegaskan bahawa hantaran tersebut hanyalah satu peringatan ikhlas untuk semua dan dirinya sendiri.
“Maaf andai tulisan akak mengguris tetapi akak sebagai saudara sesama Islam, menjadi tanggungjawab supaya apabila ditanya ALLAH nanti.
“Sekurang-kurangnya ALLAH tahu akak dah pesan di sini. Maaf sekali lagi yer,” ujarnya.
Untuk Semua & Diri Sendiri
Rata-rata menyokong pendapat beliau dan mendoakan agar perkara tersebut tidak menjadi kebiasaan dalam masyarakat.
“Demi masa sesungguhnya manusia tu di dalam kerugian kecuali mereka yang berpesan-pesan untuk kebenaran dan kebaikan. Well said @khiriah17.”
“Terima kasih kak atas teguran. Memang sedih bila ada yang mempersendakan tudung yang dari kecil kita tahu wajib dipakai untuk menutup aurat. Ia bukan pilihan.”
“Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama MU.”
“Menutup aurat itu wajib, bukan pilihan, ia tuntutan agama. Berhijab dan menutup aurat dengan sebenarnya. Tapi sedih zaman sekarang ramai jadikan hijab atau menutup aurat sebagai fesyen.
Terkini, Noorkhiriah merupakan aktivis masyarakat yang menyediakan perkhidmatan van jenazah secara percuma. Pertubuhan Amal Nur By Khiriah bersama suaminya, Azfaizul Ahtan.
Bukan itu sahaja, Pertubuhan Amal Nur By Khiriah menguruskan proses memandikan, kafan, solat jenazah sehinggalah ke tanah perkuburan tanpa sebarang caj.
Apakah status hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban (malam pertengahan bulan Sya’ban) dan juga amalan yang berkaitan dengannya?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.
Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.
Matan hadith
Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:
Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]
Daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]
Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]
Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”. Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. [Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269]
Gambar sekadar hiasan.
Tarjih hukum hadith
Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya. Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.
Antara ulama’ yang menyatakan sedemikian ialah Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibbanbahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sahih berdasarkansyawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam bab ini (kelebihan malam pertengahan bulan Sya’ban) walaupun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 12:481]
Feqah hadith
Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:
Terdapat hadith lain yang menyatakan bahawa Allah SWT turun pada setiap satu pertiga malam. Namun, di dalam hadith ini menunjukkan bahawa Allah SWT turun pada malam nisfu Sya’ban sepanjang malam sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi SAW. Malam bermula selepas terbenamnya matahari.
Kita dituntut pada malam ini untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Untuk itu, tidak dinafikan bahawa pada malam tersebut mempunyai kelebihan dan padanya terdapat keampunan serta penerimaan yang khusus bagi yang memohon ampun dan yang berdoa kepada-Nya. Disebabkan itu, Imam al-Syafie mengatakan sesungguhnya berdoa padanya iaitu pada malam nisfu Sya’ban adalah mustajab.
Di dalam hadith ini juga menunjukkan keampunan Allah SWT amat luas. Antaranya firman Allah SWT yang menceritakan akan Allah SWT itu bersifat dengan pengampun. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]
Orang yang bermusuhan tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Ini ada disebut di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RA. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]
Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempunyai sifat dengki dan Allah SWT akan membiarkan mereka ini sehingga mereka meninggal sifat tersebut. Sifat dengki ini juga boleh digolongkan dalam golongan orang yang bermusuhan. Terdapat sebuah hadith yang melarang kita daripada sifat dengki ini. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]
Di samping itu juga, orang-orang yang membunuh diri tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT kerana dosa membunuh diri termasuk di dalam dosa besar yang memerlukan seseorang itu bertaubat. Berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]
Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban
Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:
Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]
Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]
Pendapat ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib (الرغائب)
Solat al-Raghaib adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Selain itu, solat ini dilakukan antara waktu Maghrib dan Isyak. Antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah:
Maksudnya: “Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.
Hadith ini adalah palsu sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani , Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban. [Lihat al-Manar al-Munif, 98]
Antara pendapat para ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:
Telah berkata Ibn Hajar al-Haithami:
“Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Sya’ban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban ) adalah bid’ah yang buruk dan dikeji. Hadith berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya samada bersendiri atau berjemaah”. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1:216]
Telah berkata Imam al-Nawawi:
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang mungkar lagi buruk”. [Lihat: al-Majmu’, 3:548]
Telah berkata Imam Ibn al-Jauzi:
“Solat al-Raghaib adalah palsu (direka) di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama’ telah menyebut akan bid’ah dan keburukan kedua solat ini dengan beberapa cara: Antaranya adalah bahawa sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada mereka daripada kalangan imam-imam yang mujtahid tidak menyatakan akan kedua solat ini. Jika kedua solat ini disyariatkan maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Tambahan pula, ia muncul selepas 400 tahun”.
Telah berkata Imam al-Syaukani:
“Ini adalah solat al-Raghaib yang masyhur yang mana para huffaz telah bersepakat bahawa ianya palsu atau direka”.[Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 48]
Berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ yang kami nyatakan ini, maka di sini kami ingin tekankan dan jelaskan bahawa solat al-Raghaib adalah tidak mempunyai asal di dalam agama dan ia merupakan satu pendustaan yang direka di atas nama Nabi SAW.
Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.
Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.
Penutup
Kesimpulannya, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.
Assamualaikum WBT. Saya ada situasi yang menjadi kemusykilan.
Situasinya ada 4 orang kawan lepak minum di kedai mamak. Bila nak bayar, mereka main osom. Siapa kalah kena bayar. Soalan saya:
1) Adakah itu dikira berjudi?
2) Makanan/minuman yang kita minum itu dikira jadi haram ke?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد Perbuatan judi ialah suatu perbuatan atau permainan yang mempunyai unsur pertaruhan wang, adu nasib serta menzalimi satu pihak dan menguntungkan satu pihak yang lain.
Berkenaan persoalan tuan, perbuatan tersebut adalah judi dan dikhuatiri makanan tersebut boleh menjadi haram.
Walaupun penyertaan dalam situasi tersebut kelihatan tiada yuran atau kos hadiah tapi hakikatnya kedua-dua pihak berpotensi mengalami untung dan rugi iaitu dibebani atau tidak dibebani dengan kos makanan yang belum diketahui jumlahnya.
Ia adalah judi walaupun ada unsur usaha dari kedua belah pihak dan bukan permainan nasib semata. Unsur judinya datang dari sudut hadiah, seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk makanan tersebut, hanya yang kalah akan terkena.
Ia tetap judi walaupun kedua-dua pihak redha meredhainya. Tiada redha dalam perihal haram. Namun jika hanya salah seorang yang menjanjikan hadiah tanpa mengira kalah atau menang, orang lain tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal kerana tiada kebarangkalian untuk seseorang di antara mereka untung dan rugi.
Soalan dan jawapan kemusykilan agama ini dipetik dari laman web Mufti Selangor
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?