Dalam rumahtangga, suami isteri perlu rajin saling memuji. Hal ini boleh menjadi faktor hubungan lebih erat dan lebih menyayangi. Pujilah suami anda. Kalau bukan anda yang puji, siapa lagi nak puji, kan?
Lelaki kadang-kadang kurang bercakap. Namun tidak bermaksud mereka tak peduli tentang kata-kata daripada isteri mereka.
Sama ada suami anda perlukan belaian kasih sayang dalam bentuk kata-kata ataupun tidak, ini adalah sepuluh pujian yang suami anda SERONOK nak dengar.
1. SAYA BAHAGIA JADI ISTERI AWAK
Lelaki perlu rasa selamat dalam perkahwinan. Cara paling berkesan untuk menegaskan bahawa dia ialah orang tepat yang membahagiakan diri anda ialah dengan cara berterus terang sahaja. Ini pujian yang hebat kerana ianya boleh datang secara tiba-tiba tanpa perlu lakukan apa-apa. Pujian yang spontan terasa betul-betul ikhlas.
2. SAYA SUKA CARA AWAK URUSKAN KELUARGA KITA
Lelaki cukup tertekan dengan tanggungjawab terhadap keluarga. Nafkah zahir batin, tempat tinggal, pendidikan dan lain-lain keperluan sudah cukup membuatkan mereka rasa berat tanggungjawab itu. Pujilah suami anda apabila anda nampak kesungguhan dia untuk berusaha ke arah kebahagiaan rumahtangga.
3. SAYA BANGGA DENGAN AWAK
Isteri ialah penyokong kepada kekuatan suami. Tatkala suami menghadapi pelbagai tekanan di luar, anda perlu jadi penyokong tegar dirinya. Pujilah yang anda bangga dengan dia. Lihat reaksinya.
4. AWAK AYAH TERBAIK
Sesekali bisikkan pada suami bahawa dialah ayah yang hebat kepada anak anda berdua. Beritahu suami apa yang suami lakukan adalah terbaik demi masa depan anak-anak. Suami pasti akan rasa dia orang penting yang telah berbuat sesuatu yang baik untuk keluarga.
5. AWAK LELAKI PALING TAMPAN
Suami anda perlu tahu yang anda suka rupa parasnya. Pujilah apa yang dia ada. Misalnya lesung pipit, janggut, hidung mancung, tahi lalat atau rambut ikal mayang. Walau mungkin berat badannya tidak seperti dulu, katakan padanya yang dia tetap tampan di mata anda.
6. AWAK HEBAT!
Walaupun hanya setakat menukar tombol rosak, membetulkan kunci rumah atau membaiki paip di rumah, jangan kedekut untuk puji suami anda. Usaha dia mungkin nampak sikit, namun anda perlu beri dia rasa dia mampu untuk berbuat apa sahaja untuk memberikan keselesaan pada isterinya.
7. TERIMA KASIH SEBAB TOLONG URUSKAN RUMAH
Kadang-kadang suami sebenarnya takut nak bantu isteri kemas rumah. Isteri pasti ada caranya sendiri nak uruskan rumah, dan kadang-kadang cara suami akan kacau isterinya pula. Ucapkan terima kasih padanya dengan ikhlas walaupun caranya mungkin tak berapa kena di mata anda.
8. AWAK SENTIASA TAHU CARA GEMBIRAKAN SAYA
Setiap orang ada perangainya yang tersendiri. Mungkin suami anda bukan lelaki yang kelakar atau lelaki yang bermulut manis. Namun anda perlu cari keistimewaan dia yang mampu memberi kegembiraan kepada anda. Katakan kepada suami anda bahawa dia sentiasa menggembirakan anda. Misalnya katakan begini, “Awak senyum kat saya pun saya dah happy.”
9. KUATNYA SUAMI SAYA NAN SEORANG NI…
Apabila suami anda angkat sesuatu yang berat untuk bantu anda, kenyit mata sikit dan puji kekuatannya. Walaupun sebenarnya anda pun boleh angkat barang yang berat itu, namun inilah caranya untuk ‘beli jiwa’ suami. Suami perlu tahu yang mereka berguna terutama sekali pada anda.
10. HADAP MUKA AWAK LAMA-LAMA PUN SAYA TAK JEMU
Kita semua sibuk dengan urusan kehidupan harian. Namun anda perlu beritahu suami yang anda sanggup luangkan masa untuk melayan kerenahnya. Katakan pada suami anda yang anda masih ada masa untuk duduk dan luangkan masa bersamanya.
Ambil sedikit masa hari ini dan ucapkan terima kasih pada suami anda atas semua usahanya. Anda tak perlukan usaha yang banyak pun untuk buat dia gembira, naikkan keyakinannya dan buat dia mahu gembirakan anda pula.