Baru berkahwin atau dah lama menyewa dan berhajat nak beli rumah sendiri? Alhamdulillah. Tapi berapa ramai yang ambil tahu dan mahu ada rumah yang mengikut syariah Islam?
Jika kaum Cina, memilih kediaman mengikut ‘Feng shui’ kita pula patut cari rumah patuh Syariah.
Untuk itu, kita ikuti perkongsian Izzat Rahimin dalam entrinya di Pejuang Hartanah tentang ciri rumah patuh Syariah. Huraian beliau panjang lebar, namun berbaloi untuk dibaca mereka yang sedang mencari rumah sendiri untuk dibeli!
Menurut beliau dalam hal membeli kediaman hukum Islam sekadar pada pinjaman rumah yang Islamik sahaja, malah sebenarnya ada garis panduan dalam agama Islam melalui al-Quran untuk memilih sesebuah rumah.
Perkara utama kita mesti ikuti adalah konsep kawasan di dalam sesuatu lokasi. Lingkungan atau persekitaran kawasan atau dipanggil bi’ah (بيئة ) atau environment.
Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rum, ayat 41:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Jadi, pilihlah persekitaran yang sihat, kerana ia boleh mempengaruhi keperibadian, pola pemikiran serta tingkah laku manusia.
Carilah rumah yang berhampiran masjid, ada padang untuk beriadah, kawasan bebas daripada pencemaran udara, air, bau dan lain-lain.
Islam sering menekan konsep silaturahim namun ia tidak terhad semasa
kenduri atau rumah terbuka Hari Raya sahaja. Malah, dalam memilih rumah pun kita kena jaga konsep sosial menurut Islam melalui 3 perkara berikut:
a) Terhadap Diri Sendiri (Individu)
Mesti ada ruang terlindung, ada privasi dan selesa untuk kita lakukan aktiviti peribadi seperti mandi, solat, urusan peribadi dan lain-lain.
b) Terhadap Keluarga
Kita perlu pastikan ada ruang selesa untuk semua isi rumah. Jika ada ahli yang uzur atau sakit, pastikan ada kemudahan seperti tandas dan bilik mandi yang bersesuaian.
c) Bilangan Ahli Keluarga
Fikir perancangan jangka panjang jauh kebih awal. Pertambahan bilangan anak, menantu dan mungkin juga adanya pembantu rumah memerlukan lebih ruang dan bilik.
Islam menetapkan WAJIB pisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan apabila salah seorang capai umur 10 tahun.
f) Terhadap Jiran Dan Komuniti
Kenali jiran tetangga dan komuniti masyarakat di rumah anda itu. Islam menyuruh umatnya bertanggungjawab dan menjaga perhubungan sesama jiran tetangga.
Ruang memainkan peranan yang penting apabila seseorang pembeli ingin memiliki rumah.
Pada zaman kini, banyak pemaju kurang ambil perhatian dalam pelan pembinaan rumah menepati hukum syariah Islam. Namun, tak mengapa. Kita sendiri boleh pastikan ada ruang khas untuk ibadah, terutamanya ketika hendak melakukan ibadah secara berjemaah.
Utamakan juga orientasi dan kedudukan ruang-ruang dalam rumah terhadap arah kiblat. Arah kiblat mempengaruhi arah pintu masuk, arah tandas, arah ruang solat dan juga sekiranya berlaku kematian nanti, arah jenazah tersebut.
Berehat, beribadah dan bersosial bersama keluarga adalah antara aktiviti yang dilakukan di rumah, maka sediakanlah ruang yang selesa.
Islam menekan konsep kesederhanaan dalam setiap perkara. Oleh itu, pilihlah saiz ruang rumah yang menepati cita rasa kita tetapi berdasarkan kemampuan dan bukannya untuk tujuan bermegah-megah.
Firman Allah SWT di dalam Surah At-Takathur, ayat 1-8:
أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ. حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ. كَلا سَوْفَ تَعْلَمُونَ. ثُمَّ كَلا سَوْفَ تَعْلَمُونَ. كَلا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ. لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ. ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ. ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
“Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak. Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibat yang buruk pada hari kiamat). Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin. (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu – demi sesungguhnya, Kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya). Kemudian kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya).”
Pintu Masuk: Mestilah terhalang dari pandangan luar. Serta tidak menghadap arah rumah jiran. Fikirkan soal privasi.
Tingkap: Perlu dibuat untuk tujuan aliran udara dan cahaya. Sekiranya menghadap rumah jiran, letaklah langsir untuk privasi bersama.
Laluan: Seeloknya ada laluan berasingan bagi kaum wanita supaya memudahkan pergerakan mereka tanpa perlu mendedahkan aurat.
Bilik: Perlu mengambil kira privasi serta jantina penghuni bilik. Lelaki dan wanita bukan mahram mestilah berasingan.
Tandas: Pintu mesti dibina untuk dibuka oleh tangan kanan supaya kaki kiri melangkah masuk dahulu. Arah tandas juga tak boleh menghadap atau membelakangkan kiblat. Serta seeloknya wujudkan tandus cangkung.
Kajian mendapati, mencangkung ketika buang air adalah lebih baik serta cara itulah telah diajar oleh Rasulullah SAW.
Tempat Berwuduk: Lebih afdal berasingan dari ruang tandas.
Islam sangat menekankan soal kebersihan di dalam segala aspek kehidupan. Pastikan rumah kita ada:
Dengan memastikan keberkesanan sistem-sistem ini, maka kebersihan rumah korang akan terjamin dan rumah yang didiami juga akan memberikan keselesaan yang maksimum.
Semoga bermanfaat dan membantu kita semua dalam membuat keputusan mengikut syariah Islam ketika memilih rumah ya!
InsyaAllah!
Sumber :pejuanghartanah