
Benarkah haram melambatkan solat? Persoalan ini dikemukakan oleh netizen bila mana dia mendengar seorang penceramah menyebut tentang ayat Quran: ‘Celakalah orang yang solat yang melambat-lambatkan solat.’
Katanya menurut penceramah tersebut erti ayat ini ialah wajib solat ketika masuk waktu solat dan haram solat di pertengahan waktu atau di hujung waktu walau pun belum masuk waktu solat yang lain.
Adakah betul penafsiran seperti itu? Ustaz Azhar Idrus bagaimanapun telah memberi penjelasan tentang perkara ini dalam satu berkongsian beliau
Ujar beliau yang betulnya ialah afdal solat di awal waktu dan harus pada pertengahan waktu dan makruh pada hujung waktu dan haram sengaja melambatkan solat sehingga telah habis waktunya.
Ayat yang dimaksudkan dalam perosalan ini ialah firman Allah Taala :
فَوَيۡلٞ لِّلۡمُصَلِّينَ ٱلَّذِينَ . هُمۡ عَن صَلَاتِهِمۡ سَاهُونَ
Artinya : “Maka celakalah bagi sekelian orang yang solat yaitu mereka yang lalai dari solat mereka itu.” (Al-Ma’un : 4 & 5)
Orang-orang yang disebut pada ayat ini bukannya orang Islam yang solat pada pertengahan waktu atau hujungnya.
Tetapi yang dicela pada ayat ini ialah orang-orang munafik yang melambatkan solat lima waktu sampai habis waktunya seperti mengerjakan solat Zuhur setelah masuk waktu Asar dan mereka tidak kisah langsung andainya terlepas dari menunaikan solat atau orang-orang yang tidak menunaikan solat sama sekali maka diancam akan mereka ini dengan kecelakaan pada negeri akhirat.
Pandangan ulamak
Dalam pada itu beliau turut memberi beberapa pandangan ulamak tafsir yang muktabar siapakah golongan yang diancam dengan kebinasaan pada ayat tersebut.
Berkata Imam As-Syaukani : Telah berkata oleh Al-Wahidi :
نَزَلَتْ فِي الْمُنَافِقِينَ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ بِصَلَاتِهِمْ ثَوَابًا إِنْ صَلَّوْا، وَلَا يَخَافُونَ عَلَيْهَا عِقَابًا إِنْ تَرَكُوا، فَهُمْ عَنْهَا غَافِلُونَ حَتَّى يَذْهَبَ وَقْتُهَا
Artinya : “Ayat ini turun pada orang-orang munafik yang tidak mengharap oleh mereka dengan solat mereka itu akan pahala jika mereka solat dan mereka tidak rasa takut atas meninggalkan solat akan siksa akhirat dan adalah mereka lalai daripada solat sehingga habis waktu solat.” (Kitab Tafsir Fathu Al-Qadir)
Menurut Imam Ibnu Jarir At-Tobari : Diriwayatkan daripada Ibnu Abazi :
الذين يؤخِّرون الصلاة المكتوبة، حتى تخرج من الوقت أو عن وقتها
Artinya : “Yaitu sekelian orang yang melambatkan akan solat yang fardu sehingga keluar ia daripada waktu atau sampai habis waktunya.” (Kitab Tafsir Jami’ul Bayan)
Dan berkata Imam Abu Mansur Al-Maturidi :
عن ابن عَبَّاسٍ رضي اللَّه عنهما مرفوعا: هم الذين يؤخرونها عن وقتها
Artinya : “Daripada Ibnu Abbas r.a. secara marfu’ : Mereka itu ialah orang-orang yang melambatkan solat sehingga keluar dari waktunya.” (Kitab Tafsir Takwilat Ahli Sunnah)

Dan menyebut oleh Imam As-Suyuthi : Daripada Al-Hasan beliau berkata :
هُوَ الَّذِي يسهو عَن ميقاتها حَتَّى تفوت
Artinya : “Yaitu orang yang lalai dari sekelian waktu solat sehingga habislah waktu solat.” (Kitab Tafsir Dur Al-Mantsur)
Solat hujung waktu makruh bukan haram
Para fuqahak telah menjelaskan berkenaan waktu-waktu ditunaikan solat iaitu solat pada awal waktu adalah paling afdhal. Solat pada pertengahan waktu adalah harus dan solat pada hujung waktu selagi tidak sampai keluar dari waktunya adalah makruh bukannya haram.
Yang haram dan dicela ialah sengaja melakukan solat setelah habis waktunya seperti sengaja melambatkan solat Zuhur sehingga telah masuk waktu Asar atau sengaja melambatkan solat Asar sehingga telah masuk waktu Maghrib.
Sumber: Ustaz Azhar Idrus
Baca Lagi: Solat 60 Tahun Tapi Solatnya Tidak Diterima
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI