Benarkah Iblis Asalnya Malaikat? Namun Kerana Enggan Sujud Pada Nabi Adam…

Share

Iblis berjanji akan menyesatkan anak Nabi Adam dari segala segenap sudut sehingga ke hari kiamat. Ini dilakukan atas dasar kesombongan dirinya selepas enggan sujud pada Nabi Adam as yang diciptakan daripada tanah manakala kata Iblis dirinya lebih mulia kerana dijadikan dari api.

Benarkah berdasarkan surah Al Baqarah ayat 34 menunjukkan bahawa Iblis itu asalnya adalah malaikat? Atau iblis hanya sekadar jin? Mufti Wilayah Persekutuan mengupas pertanyaan ini adakah benar iblis berasal dari Malaikat?

وَاِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلٰٓٮِٕكَةِ اسۡجُدُوۡا لِاٰدَمَ فَسَجَدُوۡٓا اِلَّاۤ اِبۡلِيۡسَؕ اَبٰى وَاسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ الۡكٰفِرِيۡنَ

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam!" Maka mereka pun sujud kecuali Iblis. Ia menolak dan menyombongkan diri, dan ia termasuk golongan yang kafir.

JAWAPAN

“Maka sujudlah mereka, kecuali iblis”, lantas mereka semua sujud, kecuali iblis. Ulama menyebur, pengecualian ini ditafsirkan dengan dua pendapat:

  • Iaitu termasuk dari jenis yang sama, berdasarkan pendapat ini, iblis termasuk di kalangan malaikat, seperti pendapat Ibn Mas’ud dalam satu riwayat dan Ibn Abbas, kecuali ianya ditukar rupa oleh Allah menjadi syaitan.
  • Ia bukan jenis malaikat tetapi jenis jin. Inilah pendapat hasan al-Basri dan al-Zuhri.


Justeru, jadilah pengecualian sebagai pengecualian yang putus. Kami menyokong pendapat kedua berdasarkan ayat al-Quran yang lain, di dalam surah al-Kahfi, ayat 50:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلاَّ إِبْلِيسَ كَانَ مِنْ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلاً

Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin salain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu. (Surah al-Kahfi: 50)

Perkataan iblis seperti yang dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi mempunyai dua pendapat:

  • Ia adalah isim a’jam (bukan nama bahasa arab) yang tiada musytaq dengan sebab itulah ia tidak ditasrif Inilah pendapat Abu Ubaidah, al-Zajjaj dan juga Ibn al-Anbari.
  • Ia musytaq daripada perkataan iblas iaitu putus asa, inilah yang diriwayatkan daripada Abi Soleh dan telah disebut oleh Ibn Qutaibah.


Tarjih
Saya lebih cenderung kepada pendapat bahawa ia daripada kalangan jin dan bukan dari kalangan malaikat kerana nas Ilahi yang juga sebab kejadian:

  • Malaikat dijadikan daripada nur yakni cahaya.
  • Iblis atau jin diciptakan daripada nar yakni api.


Justeru, iblis bukan sebahagian daripada malaikat, makanya istisna’ atau pengecualian iblis daripada malaikat termasuk daripada istisna’ munqati’ yakni terputus dan bukan daripada jenis yang sama. Wallahu ‘alam..

Published by
almaswa Haji Che Ros