Jika merindui insan tersayang atau seseorang yang telah meninggal dunia, maka lepaskan lah kerinduan itu dengan mendoakannya atau boleh sahaja menziarahi kuburnya. Amalan menziarahi kubur merupakan amalan sunnah yang dianjurkan dalam Islam.
Sesungguhnya apabila kita menziarahi kubur, ia akan cepat memberikan kesedaran kepada kita bahawa hidup di dunia ini hanyalah persinggahan sebelum ke dunia akhirat. Namun tahukah kita bahawa, tatkala kita berziarah, mayat kenal akan siapa yang menziarahi kuburnya? Kita dengarkan penjelasan ustaz Azhar Idrus tentang hal ini.
Artikel berkaitan: Ziarah Kubur Ibu Bapa Tiap Jumaat, Doa Anak Derhaka Tetap Diterima Allah
Artikel berkaitan: 15 Minit Percubaan ‘Masuk’ Kubur Hidup-hidup, Amat Menginsafkan
Artikel berkaitan: Belum Terkurung Dalam Kubur Lagi Deep Pesanan Ustaz Kazim Elias Buat Golongan Yang Mula Bosan Hadap PKP
SOALAN :
Bapa saya telah meninggal dunia 12 tahun dahulu. Saya selalu ziarah kuburnya. Adakah arwah bapa saya tahu ketika saya ziarah ke kuburnya?
JAWAPAN :
Sungguhnya apabila seorang ziarah akan kubur maka mayat mengetahui dengan kedatangannya itu dan kenal akan orang yang ziarah dan akan menjawab salam yang diucapkan oleh yang menziarah kerana berdalilkan beberapa hadis yang menyebut tentang perkara ini.
Berkata Imam Ibnu Al-Qayyim :
ان الأحاديث والآثار تدل على أن الزائر متى جاء علم به المزور من الأموات وسمع سلامه ورد عليه وأنس به
“Sungguhnya segala hadis dan perkataan sahabat menunjukkan atas bahawasanya orang yang ziarah apabila datang ke kubur nescaya sekalian penghuni kubur akan tahu dengan kedatangannya dan mendengar akan salamnya dan menjawab salamnya dan merasa terhibur dengan kedatangannya.”
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas r.a. berkata :
ما من أحد يمر بقبر أخيه المؤمن كان يعرفه فى الدنيا فيسلم عليه إلا عرفه ورد عليه
“Tiada dari seorang kamu yang lalu ia pada kubur saudaranya yang beriman, yang dia kenal akan yang menziarah itu ketika di dunia, lalu yang ziarah itu memberi salam atasnya melainkan mayat itu pasti mengenalinya dan mayat itu menjawab akan salam atasnya.”(Hadis marfu’ riwayat Ibnu Abdil Barri)
Berkata bekas Mufti negeri Mesir Syeikh Abdul latif Hamzah :
الموتى ينتفعون بالدعاء والاستغفار لهم من الزائرين ويأتنسون بهم
“Orang yang telah mati mengambil menfaat dengan doa dan istighfar bagi mereka oleh orang yang ziarah dan orang yang telah mati itu gembira dengan kedatangan mereka.” (Majlis Fatwa Negeri Mesir)
KESIMPULAN
Apabila diziarah akan kubur seorang Islam nescaya penghuni kubur tersebut tahu dan kenal siapa yang menziarahnya itu jika dia pernah kenalinya di dunia dan apabila yang ziarah memberi salam nescaya penghuni kubur itu menjawab salamnya dan penghuni kubur merasa suka dengan kedatangan saudara mara yang menziarahinya.
Wallahua’lam
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI