Bercakap Telefon Dalam Tandas, Adakah Ia Adab Sesuai

Share

Tidak dinafikan telefon pintar kini sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Ia kini bukan lagi bertindak semata-mata sebagai peranti komunikasi.

Malah telefon pintar kini mampu melakukan banyak perkara seperti perbankan, e-mel serta komunikasi dalam bentuk teks menerusi pelbagai aplikasi. Apatah lagi penggunaan laman media sosial kini menjadi salah satu perkara yang sudah lumrah dalam kehidupan seharian.

Namun fungsi telefon pintar masih lagi digunakan untuk perbualan telefon terutamanya untuk komunikasi tradisional yang lebih terang, cepat dan jelas.

Maka telefon pintar itu akan kita usung ke mana sahaja termasuklah bila memasuki tandas. Rasanya pada zaman sekarang agak sukar untuk masuk tandas tanpa telefon pintar di tangan. Ia seakan sudah menjadi peneman ketika kita melunaskan hasrat perut.

Ada juga orang yang ketika membuang air sambil bercakap telefon. Lebih mengharukan mereka tidak mempedulikan orang lain yang turut menggunakan tandas tersebut.

Bolehkah kita bercakap telefon ketika membuang air di dalam tandas?

KASHOORGA tertarik dengan perkongsian yang pernah dilakukan oleh pendakwah disegani ramai, Ustaz Azhar Idrus. Beliau menjelaskan antara adab tatkala masuk ke dalam tandas adalah tidak bercakap-cakap di tempat berkenaan.

Ini kerana katanya, ia adalah perbuatan yang dibenci oleh syarak.

Daripada Abu Said Al-Khudri RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiadalah dua orang membuang air dalam keadaan terbuka aurat dan berbual keduanya, maka sesungguhnya ALLAH SWT murka atas yang demikian itu.” (Riwayat Abu Daud)

Tambah tokoh pendakwah popular tersebut, murka yang dimaksudkan adalah bersangatan marah.

“Dalam kitab Syarah Sunan Abi Daud ada dinyatakan tentang perkara itu.

“Sementara itu, Syeikh Bujairimi pula berpandangan: “Dan tiada berkata-kata ketika kencing dan berak, ertinya diam ketika tunaikan hajat, maka tidak berkata dengan zikir dan lainnya dimakruhkan baginya yang demikian itu kecuali darurah.”

“Ia sebagaimana yang dinukilkan oleh beliau dalam kitab Hasyiah Bujairimi,” katanya dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

“Tidak kiralah sama ada individu yang sedang bercakap dengan kita itu dekat atau jauh iaitu termasuklah mereka yang bercakap dengan menggunakan telefon,” katanya.

Justeru, elakkanlah bercakap ketika berada di dalam tandas. Ia bukanlah tempat yang sesuai untuk kita berbual-bual.

Bukankah lebih manis jika kita bersembang di tempat yang sesuai? Hendak berbual pun lebih selesa dan tiada gangguan lain.

Dibimbangi perbualan kita atau perbualan dalam telefon kita tadi akan mengganggu orang lain untuk melepaskan ‘hajat’ terutama jika melibatkan tandas awam.

Sumber: Instagram uiaoriginal & sinarplus

Published by
webadmin