Walaupun bercinta selepas nikah disarankan dalam agama, namun tiada halangan jika cinta itu hadir ketika anda masih bujang. Cinta itu perasaan anugerah daripada ALLAH yang tidak dapat dihalang. Segalanya fitrah manusia.

Pun begitu, sebagai manusia yang hidupnya mempunyai etika dan peraturan, maka lelaki dan wanita perlu membataskan pergaulan. Semua saranan agama ada sebabnya yang tersendiri. Hubungan yang terlalu rapat antara dua jantina berbeza boleh mengundang kemungkaran iaitu zina. Akibat daripada perbuatan zina amatlah hina iaitu lahirnya zuriat yang tidak sah taraf. Sehingga ianya boleh menyebabkan masalah dalam keturunan. Nampak tak bahayanya zina?

Sebab itulah Islam menganjurkan hubungan cinta yang MESTI diletakkan batasannya. Kami berikan 5 batasan yang perlu anda ikut kala bercinta:

1) JANGAN DATING TEMPAT SUNYI

Anda memang mengundang padah kalau selalu dating dan pergi pula ke tempat sunyi. Kenapa? Mengapa mesti dating tempat begitu? Wahai wanita, jika si lelaki selalu ajak anda ke tempat begitu, dia bukanlah lelaki yang baik untuk dijadikan suami. Dia hanya mengambil kesempatan terhadap perasaan sayang anda kepada dia. Jika mahu berjumpa, pergilah ke tempat makan. Pergi tempat yang ramai orang. Lebih baik jika anda keluar bukan berdua-duaan. Ajaklah kawan baik atau adik-beradik anda untuk menemankan.

2) JANGAN BERMESEJ MELAMPAUI BATAS

IKLAN

Sekarang memang macam-macam cara boleh menjadi medium perhubungan. Tanpa bertemu wajah pun, masih boleh membuat maksiat. Inilah jadinya jika kemudahan aplikasi moden di telefon bimbit disalah guna.

Gunakan aplikasi telefon bimbit dengan sesuatu yang bermanfaat. Janganlah menghantar mesej cinta melampaui batas apatah lagi jika diselit dengan perlakuan nakal. Malah ada yang menghantar gambar atau ikon yang berbaur lucah.

Perkongsian gambar dan kata-kata boleh menghanyutkan anda yang sedang asyik bercinta. Usahlah berkongsi gambar yang barangkali mendedahkan aurat atau mendatangkan syahwat. Usah juga memberikan kata-kata yang mengasyikkan sehingga melalaikan.

IKLAN

3) JANGAN BERGAMBAR MELAMPAUI BATAS

Kala bercinta emosi jiwang melanda empunyai diri. Kalau boleh ingin satu dunia tahu bahawa dia sudah mempunyai seseorang untuk dicintai dan mencintai. Kerap bergambar selfie (swafoto) dan kemudian dimuat naik ke laman sosial. Bangga jika ada yang komen “Wow, pasangan ideal”.

Gambar berdua begini dengan kedudukan yang rapat, hanya mengundang fitnah. Jadi, elakkanlah ya. Jaga batas anda sebagai wanita dan lelaki yang masih belum ada ikatan pernikahan.

IKLAN

4) JANGAN MENGGELAR DIRI KETERLALUAN

Satu lagi perkara yang orang anggap biasa tetapi boleh mengundang emosi keterlaluan pada pasangan bercinta ialah gelaran. Jagalah batas diri anda dan si dia. Untuk apa panggil mommy-daddy atau mama-papa? Adakah untuk menambah rasa cinta antara kalian?

5) JANGAN TERLALU INTIM

Bermula dengan membenarkan si dia memegang tangan, lama-lama boleh menjadi sesuatu yang tidak baik. Apatah lagi jika anda berkongsi makan atau minum daripada straw yang sama. Kononnya mahu membuktikan cinta namun anda tidak sedar perbuatan itu bertentangan dengan apa yang disarankan agama. Elakkan terlalu intim dengan si dia sehingga anda boleh berkongsi apa sahaja. Ingatlah anda masih dua individu yang tiada ikatan sah. Jangan berlebihan.

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI