Kerohanian

Berdosa Hukumnya Pakai Tudung Tapi Nampak Leher & Dada. Suami & Bapa Pun Sama Jika Tidak Melarang

Share

Perkembangan fesyen bukan terhad pada pakaian saja tapi juga tudung. Malah ramai juga yang terikut dengan fesyen tudung terkini walaupun lari dari tujuan bertudung yakni menutup aurat.

Banyak fesyen tudung hari ini yang menutup rambut tapi menampakkan leher atau mendedahkan bahagian dada serta belahan baju. Jadi apa hukumnya mengenakan tudung sebegini? Berikut adalah penjelasan Ustaz Azhar Idrus tentang perkara ini. Suami dan bapa juga kena ambil perhatian ya!

Perintah memakai tudung oleh syarak

Memakai tudung adalah setengah dari kesempurnaan menutup aurat perempuan yaitu sekelian badan melainkan wajah dan dua pergelangan tangannya.

Perintah memakai tudung oleh Allah Taala yang disuruh syarak ialah dengan tudung yang menutup rambutnya dan lehernya dan kepalanya dan tengkuknya dan dua telinganya dan dadanya dari dilihat orang.

Firman Allah Taala :

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ “

Ertinya : “Dan hendaklah kaum perempuan memakai tudung mereka atas segala dada mereka.” (An-Nur : 31)

Maksudnya tudung yang wajib dipakai itu ialah tudung yang bukan sahaja menutup kepala dan rambut serta telinga tetapi juga tudung itu menutup belahan baju pada dadanya dan lehernya.

Berkata Imam Al-Baghawi :

( على جيوبهن ) وصدورهن ليسترن بذلك شعورهن وصدورهن وأعناقهن وأقراطهن

Ertinya : “Firman Allah ‘على جيوبهن’ itu ialah segala dada mereka supaya menutup dengan demikian itu akan segala rambut mereka dan dada mereka dan leher mereka dan segala perhiasan pada telinga mereka.” (Tafsir Al-Baghawi)

Amalan memakai tudung tapi menampakkan leher dan dada melalui belahan baju itu adalah amalan perempuan-perempuan zaman jahiliyah.

Berkata Imam Fakhrurrazi :

قال المفسرون : إن نساء الجاهلية كن يشددن خمرهن من خلفهن ، وإن جيوبهن كانت من قدام فكان ينكشف نحورهن وقلائدهن، فأمرن أن يضربن مقانعهن على الجيوب ليتغطى بذلك أعناقهم ونحورهم وما يحيط به من شعر وزينة من الحلى في الأذن والنحر وموضع العقدة منها

Ertinya : “Berkata para ulamak tafsir : Sungguhnya perempuan-perempuan jahiliyah adalah mereka itu melabuhkan tudung mereka itu dari pihak belakang manakala bahagian hadapan dada mereka terbuka menampakkan leher bersama kalung-kalung mereka. Maka diperintahkan mereka memakai tudung atas dada mereka supaya menutup dengan demikian itu akan leher mereka dan tengkuk mereka dan dan sekitarnya termasuk rambut dan perhiasan pada telinga tempat menyangkut perhiasannya.” (Tafsir Al-Kabir)

Kesimpulannya perempuan yang memakai tudung yang menutup rambut dan kepalanya tetapi lehernya atau telinganya atau dadanya tidak ditutup adalah dikira perempuan yang tidak menutup aurat.

Maka dia berdosa, sekali pun baginya sudah memakai tudung dan begitu juga turut sama berdosa suaminya atau bapanya apabila keduanya tidak tidak melarang.

Sumber: Ustaz Azhar Idrus

 

Published by
Team Kashoorga