Hukum Anak Tak Beri Belanja Nafkah Pada Ibu Bapa Yang Hidup Susah

Share

Dari anak kecil hingga mereka dewasa, ibu ayah bekerja keras untuk menyara mereka. Dan akan  sampai satu masa mereka tidak lagi mampu bekerja mengharapkan ehsan anak-anak untuk meneruskan sisa kehidupan.

Inilah juga masa untuk anak-anak membalas budi dan pengorbanan yang dilakukan oleh orang tua membesarkan mereka.

Namun begitu realitinya tidak semua anak mampu menyediakan belanja atau nafkah kepada orang tua ini kerana hidup dalam kesempitan wang.

Dalam satu keadaan ada juga anak yang mempertikaikan tanggungjawab memberi nafkah atau menyara orang tuanya kerana masih ramai adik beradik yang lain.

Mengupas tentang nafkah untuk ibu bapa  ustaz Azhar Idrus ada memberi penjelasan tentang sejauh mana anak perlu beri nafkah kepada ibu ayah yang miskin dan hidup susah.

Apabila kedua ibu bapa itu tidak mampu lagi menyara kehidupan, miskin mereka maka wajib atas sekalian anak-anak mengeluarkan belanja nafkah keduanya dengan ijmak ulamak.

Berkata Imam Ibnu Al-Munzhir :

أجمع أهل العلم على أن نفقة الوالدين الفقيرين الذين لا كسب لهما ولا مال واجبة في مال الولد

Ertinya : “Telah ijmak sekalian ulama atas bahawasanya nafakah kedua ibu bapa yang fakir keduanya yang tiada pekerjaan dan tiada harta wajib atas harta anak.” (Kitab Al-Isyraf)

Oleh kerana itulah apabila anak-anak kaya dan kedua ibu bapa miskin tidak boleh dikeluarkan zakat anak-anak kepada kedua ibu bapa dari kerana telah wajib atas anak-anak ketika itu mengeluarkan belanja nafkahnya.

Telah menyebut oleh Imam Ibnu Quddamah :

ولا يعطى من الصدقة المفروضة للوالدين , ولا للولد . قال ابن المنذر : أجمع أهل العلم على أن الزكاة لا يجوز دفعها إلى الوالدين , في الحال التي يجبر الدافع إليهم على النفقة عليهم

Ertinya : “Dan tiada diberikan dari zakat bagi kedua ibu bapa dan tiada juga diberikan zakat kepada anak. Telah berkata Ibnu Al-Munzhir : Telah ijmak ulamak atas bahawa zakat tidak harus diberikan kepada dua ibu bapa pada ketika anak-anak menampung atas dua ibu bapa dengan memberi nafkah.” (Kitab Al-Mughni)

Dan tempat wajib anak-anak menanggung nafkah ibu bapa itu dengan syarat ibu bapa itu miskin dan anak-anak itu orang yang senang.

Maka jika kedua ibu bapa tidak mempunyai sedikit pun dari belanja maka wajib atas anak memberi semua belanja yang diperlukan.

Dan jika ibu bapa mampu mendapatkan separuh belanja maka wajib atas anak menampung kekurangan yang separuh lagi.

Jika ada dua orang anak maka masing-masing wajib mengeluarkan separuh.

Kesimpulannya wajib atas sekelian anak mengeluarkan belanja nafaqah hidup dua ibu bapa yang miskin dan jika anak-anak sengaja tidak memberi belanja tersebut maka anak-anak itu berdosa.

Sumber: ustaz Azhar Idrus

 

Published by
Team Kashoorga