Berdosakah Menjauhkan Diri Dari Bertemu Rakan Yang Suka Menyakitkan Hati?

Share

Bertemu rakan yang baik akhlaknya adalah satu rezeki, bertemu rakan yang buruk akhlak, menyakitkan hati juga merupakan satu ujian buat kita. Sebagai orang muslim, kita perlu tahu membawa diri dalam bersosial. Jaga tingkah laku dan tutur kata kerana ia cerminan peribadi dan didikan.

Islam menganjurkan silaturahim, untuk itu jangan sesekali menyakitkan orang lain. Namun memang ramai manusia yang berkata-kata semahunya tanpa pedulikan perasaan orang lain dan berasakan tindakannya itu tidak salah.

Jika ada yang terasa dikatanya hati tisu, mudah terasa. Hati tisu atau hati batu, itu bukan alasan untuk kita menjadi manusia yang kurang ajar. Apabila kita tidak berubah dengan perangai buruk ini, orang sekeliling akan menjauh.

Namun adakah perbuatan menjauhkan diri daripada orang kurang ajar ini satu tindakan salah? Kita ikuti penjelasan SS Mufti Wilayah Persekutuan

.

Dalam isu ini kita perlu sedar bahawa sebagai seorang muslim hendaklah seseorang itu menjaga lidahnya dan juga anggota badannya dari menyakiti saudara muslimnya yang lain. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Amru R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Maksudnya : Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.
Riwayat Al-Bukhari (6484)

Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata, yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, perbuatan menjauhkan diri daripada seseorang yang menyebabkan berlakunya kesakitan ke atas diri kita sama ada menerusi lidahnya atau perbuatannya, adalah suatu perkara yang dianjurkan di sisi syarak.
Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Mu’adz bin Jabal R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

خَمْسٌ مَنْ فَعَلَ وَاحِدَةً مِنْهُنَّ كَانَ ضَامِنًا عَلَى اللهِ مَنْ عَادَ مَرِيضًا، أَوْ خَرَجَ مَعَ جَنَازَةٍ، أَوْ خَرَجَ غَازِيًا، أَوْ دَخَلَ

عَلَى إِمَامِهِ يُرِيدُ تَعْزِيزهُ وَتَوْقِيرَهُ، أَوْ قَعَدَ فِي بَيْتِهِ فَسَلِمَ النَّاسُ مِنْهُ وَسَلِمَ مِنَ النَّاسِ

Lima perkara yang mana jika seseorang itu melakukan salah satu daripadanya maka dia akan mendapat perlindungan dari Allah, iaitu seseorang yang menziarahi orang sakit, atau keluar mengiringi jenazah (ke perkuburan), keluar berperang di medan jihad, pergi kepada seorang pemimpin dengan tujuan untuk menghormati dan memuliakannya, atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya (kejahatan lidah dan tangannya) dan dia juga selamat dari (kejahatan lidah dan tangan) manusia.
Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (55)

Kita dapat melihat bahawa Rasulullah S.A.W menyebutkan :

أَوْ قَعَدَ فِي بَيْتِهِ فَسَلِمَ النَّاسُ مِنْهُ وَسَلِمَ مِنَ النَّاسِ
Maksudnya : Atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya (kejahatan lidah dan tangannya) dan dia juga selamat dari (kejahatan lidah dan tangan) manusia.

Maka ini adalah isyarat yang zahir bahawa perbuatan duduk di rumah itu merupakan suatu bentuk penjarakan sosial (social distancing) bagi mengelakkan keburukan berlaku ke atas diri kita dan begitu juga dari menghalang kita melakukan keburukan kepada orang lain.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa dibenarkan untuk seseorang itu menjauhi individu-individu yang menyakitinya sama ada secara lisan atau secara fizikal. Ini bagi mengelakkan sebarang keburukan yang lebih teruk berlaku kepada kedua belah pihak.

Bahkan menjauhkan diri dari bermajlis bersama seseorang yang menyakiti kita sama ada dalam hal agama atau urusan keduniaan merupakan suatu perkara yang dituntut di sisi syarak.

Namun kami mencadangkan bahawa dalam masa yang sama, hendaklah ditegur dengan cara yang terbaik diberikan kepadanya agar menghentikan perbuatan dan perkataan yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati orang lain.

Selain itu juga, perbanyakkanlah doa semoga Allah S.W.T memelihara hubungan persahabatan serta mengurniakan kita sahabat-sahabat yang baik.

Sumber: SS Mufti Wilayah Persekutuan.

Published by
Team Kashoorga