Berhati-Hati Doa Orang Teraniaya, Allah Ajarkan Kita Bersikap Ihsan Sesama Manusia

Share

RASULULLAH SAW bersabda dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Sesungguhnya ALLAH telah mewajibkan ihsan (melakukan kebaikan) dalam semua perkara. Oleh itu apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan cara terbaik dan apabila kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan cara terbaik. Dan hendaklah seorang kamu menajamkan mata pisaunya dan memberi keselesaan kepada haiwan sembelihannya.” (Riwayat Muslim).

Kita bukan saja dituntut bersikap ihsan kepada binatang tapi tentunya pada Allah dan juga makhluk iaitu sesama manusia.

Jika hilangnya sifat belas ikhas dan hati kita, maka seolah-olah kita menganiaya orang lain pula.

Doa orang teraniaya terus makbul

Mungkin kisah Saad bin Abi Waqqas boleh kita jadikan pengajaran. Hati-hatilah menganiayai orang kerana doa orang teraniaya ini Allah kabulkan terus kerana tiada hijab langsung.

Dalam hidup, ada tiga perkara perlu kita bimbang berlaku kepada diri kita iaitu terkena doa orang yang kita aniaya, fitnah dan zaliminya.

Kisah seorang sahabat yang dijamin masuk syurga iaitu Saad bin Abi Waqqas patut dijadikan pengajaeran. Saad bin Abi Waqqas pernah berdoa kepada Allah SWT supaya menimpakan bala kepada Usamah bin Qatadah yang memfitnahnya:

“Demi Allah, saya ingin berdoa meminta tiga perkara: ‘Ya Allah, jika hamba-Mu ini berbohong, bangun memfitnah kerana riyak dan inginkan nama, maka panjangkan umurnya, panjangkan kefakirannya dan dedahkan dia dengan bala bencana.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Allah SWT lalu memperkenankan doa Saad bin Abi Waqqas itu. Perawi hadis berkenaan mengatakan, selepas berpuluh tahun, beliau sampai di Kufah. Di sana beliau mendapati di tepi jalan ada seorang lelaki yang cukup tua.

Dikatakan mengenai diri lelaki itu kelopak matanya jatuh manakala bulu mata dan kening semuanya sudah gugur. Dia hidup dalam keadaan sangat terhina duduk di tepi jalan sambil mengangkat tangan untuk meminta sedekah.

Ada anak muda yang seusia dengan cicitnya turut diganggu. Perawi hadis itu bertanya, “Wahai orang tua, sebab apa kamu jadi terhina seperti ini?”

“Sedangkan orang tua sama usia dengan kamu berada di masjid beribadat kepada Allah, tetapi kamu duduk tepi jalan meminta sedekah dan mengganggu anak-anak perempuan seusia dengan cicit kamu.”

Lelaki itu berkata, “Aku jadi begini kerana aku terkena doa orang yang difitnah. Dulu aku memfitnah sahabat Nabi bernama Saad bin Abi Waqqas. Dia berdoa kepada Allah, maka hari ini kamu melihat aku dihina sebegini kerana doa Saad bin Abi Waqqas.”

Riwayat itu membuktikan doa orang yang dizalimi dibenarkan syarak. Justeru, hidup di dunia ini jangan sesekali kita cuba menganiaya orang lain. Malah, Allah SWT sebagai Tuhan pun mengharamkan Dia melakukan kezaliman.

Dalam satu hadis qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai hamba-hamba Aku, sesungguhnya Aku mengharamkan Aku melakukan kezaliman.”
Dalam Surah an-Nisaa’, ayat 148 yang bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang), kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Ingatlah, doa orang yang teraniaya termasuk dalam golongan doa yang pasti dikabulkan Allah.

Maka, apa saja doa yang mereka panjatkan sama ada bermaksud baik atau sebaliknya akan dimakbulkan.

Published by
almaswa Haji Che Ros