Berhati-hati korek telinga ketika bulan puasa, jangan sampai terbatal puasa iya semua. Ada masanya, kita berasa gatal dalam telinga, lain macam rasa gatalnya.
Lagi-lagi di bulan puasa, nak korek telinga terasa serba salah pula. Bukan apa, bimbang juga perbuatan tersebut akan membatalkan puasa kita.
Tapi jika dibiarkan, jadi tak tenang dan mendatangkan ketidakselesaan pada anggota berkenaan. Rasa tak kena pula sepanjang hari dan membuatkan mood kita untuk melakukan kerja-kerja lain sedikit terganggu.
Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan hadam penjelasan yang disampaikan:
Artikel Berkaitan:
Tak Boleh Korek Telinga Sebab Boleh Batal Puasa, Betul Ke?
Soalan
Bolehkah kita mengorek telinga ketika puasa? Mohon pencerahan…
Jawapan
Hukum korek telinga pada siang hari di bulan Ramadan adalah membatalkan puasa jika melepasi had tengkorak kepala, iaitu alat pengorek masuk ke dalam kawasan lubang telinga.
Pada dasarnya, menjelang tibanya bulan Ramadan, setiap individu Muslim yang mukalaf diwajibkan untuk berpuasa dan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa dari waktu terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari.
Antara perkara tersebut adalah memasukkan sesuatu secara sengaja ke dalam rongga melalui saluran terbuka seperti mulut, telinga, hidung dan saluran qubul dan dubur bagi lelaki dan perempuan.
Berdasarkan kepada penyataan di atas, maka jelaslah bahawa telinga merupakan salah satu saluran yang terbuka.
Al-Imam al-Syirbini menyebut bahawa menitiskan sesuatu ke bahagian dalam (lubang) telinga, sekalipun tidak sampai ke otak adalah membatalkan puasa menurut pandangan yang kuat.
Al-Imam al-Damiri turut menyatakan perkara yang sama bahawa perbuatan menitiskan sesuatu ke bahagian dalam telinga adalah membatalkan puasa sekalipun titisan itu tidak sampai ke otak, bahkan ia melebihi had tengkorak kepala.
Berkenaan perbuatan mengorek telinga, adakah ia membatalkan puasa bergantung sejauh manakah had yang dibolehkan untuk sesuatu sampai ke dalam telinga ketika puasa.
Berdasarkan kepada penyataan Imam al-Damiri di atas, bahawa puasa terbatal sekiranya titisan di telinga melebihi tengkorak kepala, iaitu masuk ke dalam lubang telinga.
Sebagaimana maklum juga bahawa perbuatan mengorek telinga menggunakan hujung jari kebiasaannya tidaklah sampai ke kawasan tersebut, namun sekiranya menggunakan pengorek telinga jenis besi dan sebagainya, ia mampu melangkaui kawasan had tengkorak kepala.
Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa had batin bagi kawasan telinga adalah melepasi tengkorak kepala.
Sehubungan dengan itu, kami menyatakan bahawa mengorek telinga adalah tidak membatalkan puasa jika ia tidak melebihi kawasan tengkorak kepala.
Baca Di Sini:
Hidu Bau Makanan Tak Batal Puasa, Tapi Jangan Berlebihan Bimbang Makruh
Kashoorga: Korek telinga itu biarlah berpada-pada.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.