Beri Makan Kucing Jalanan Tapi Hingga Mengganggu Jiran, Ini Hukumnya

Share

Pasti ramai dalam kalangan kita yang selalu memberi makan kepada kucing jalanan yang mundar-mandir di kawasan rumah. Apatah lagi jika seseorang itu pencinta haiwan, tak sampai hati melihat kucing kelaparan. Malah ada yang sanggup melakukannya setiap hari tanpa mengira kos yang dihabiskan.

Sesungguhnya ia perbuatan yang cukup mulia tapi bagaimana pula jika perbuatan memberi makan kepada kucing jalanan tersebut mengganggu jiran-jiran. Ini kerana mungkin disebabkan kucing jalanan tersebut membuang najisnya merata-rata hingga ke rumah jiran.

Foto: rawpixel.com – www.freepik.com

Dalam hal ini adakah perbuatan ini mendatangkan pahala atau sebaliknya kerana mengguris hati jiran. Berikut adalah penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang persoalan ini.

Hukum asal, sunat memberi makan kucing jalanan

Pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.

Dalam hal ini, keharmonian jiran tetangga merupakan perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya bahawa tidak akan dimasukkan ke dalam syurga kepada sesiapa yang melakukan sesuatu perkara sehingga mengganggu jiran tetangganya.

Ini jelas seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ

Maksudnya: Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya. Riwayat Muslim (46)

Nabi SAW menasihatkan para sahabatnya supaya berbuat baik kepada jirannya kerana sikap dan keperibadian seorang muslim yang sejati itu adalah mereka yang sentiasa berbuat baik kepada jiran tetangganya. Ini sepertimana sabda Nabi SAW, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

وَأَحَسِنْ جِوَارَ مَنْ جَاوَرَكَ تَكُنْ مُسْلِمًا

Maksudnya: Dan jadilah jiran yang baik kepada jiran kamu, maka kamu akan menjadi Muslim sejati  Riwayat Ibnu Majah (4357)

Tidak digalakkan jika menggangu jiran

Sebagai kesimpulan, berdasarkan kepada persoalan yang diajukan di atas serta nas yang diberikan, pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.

Justeru, keutamaan wajib diberi dengan berpandukan keadaan di tempatnya, sekiranya dengan memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.

Sebaiknya kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan

 

Sumber: Pejabat Mufti WP 

Published by
Team Kashoorga